Tidak dapat dinafikan, kemunculan virus pembunuh Covid-19 di bumi ini telah memberi impak yang besar buat semua pihak dalam menjalani kehidupan seharian.
Sehingga kini, angka kes harian virus berkenaan di Malaysia dilihat semakin meningkat berikutan munculnya pula varian Omicron virus Covid-19.
Angkara virus ini, negara ini sudah mencatatkan lebih ribuan angka kematian akibat pandemik ini bahkan bagi bekas pesakit pula, terpaksa menjalani kehidupan long Covid symptoms.
Akui berasa trauma dan paranoid, pelakon Rashidi Ishak yang juga bekas pesakit Covid-19, kini dia sentiasa berjaga-jaga dalam melakukan aktiviti harian terutama sewaktu di tempat kerja.
Menurut anak seni versatil seorang ini, semasa di set pengambaran, dia akan berehat seorang diri bagi mengelakkan daripada orang ramai kerana sudah mempunyai rasa trauma dengan wabak tersebut.
“Saya memang sedikit rasa trauma dengan apa yang sudah terjadi kepada diri saya sebelum ini.
“Sekarang ini juga saya masih menjalani pengambaran. Saya tidak bergaul dengan sesiapa pun di set. Apabila mereka memanggil saya masuk ke set, barulah saya pergi.
“Semasa rehat, saya akan masuk ke kereta untuk berehat dan memang berjauhan daripada orang ramai,” kongsinya ketika ditemu bual.
Kongsi pelakon naskhah popular Kampung People ini juga, kondisinya tubuhnya mudah mengalami keletihan apabila bekerja dalam jangka masa panjang di set pengambaran, akibat kesan virus Covid-19.
Malah, tambah Rashidi lagi, intonasi dan ton suaranya pun berbeza tidak seperti sedia kala lagi.
“Akui, memang saya sangat letih selepas selesai sesi pengambaran yang makan masa yang lama. Selepas empat ke lima jam sahaja, memang saya berasa sudah tidak larat.
“Tiada tenaga, intonasi suara pun berbeza. Dalam babak di mahkamah, ada nampak dari segi perbezaan ton suara saya kerana kesan daripada virus Covid-19.
“Tetapi, sebenarnya ia adalah cabaran yang bagus. Kami semua juga bekerja sebagai satu pasukan dan Alhamdulillah pengambaran habis dengan jayanya dan perjalan dengan lancar,” tuturnya panjang.
Figura tinggi lampai ini turut memaklumkan tiada perancangan untuk percutian bagi tahun ini kerana masih lagi diselubungi dengan rasa paranoid.
“Kini, saya bekerja dan pulang terus ke rumah. Rancangan hendak bercuti langsung tiada untuk tahun ini. Saya jadi paranoid,” katanya.
Tetuan Ang & Rahimin
Bagi perkembangan terbaharu Rashidi Ishak, sebuah naskhah bertajuk Tetuan Ang dan Rahimin lakonan pelakon itu baru sahaja ditayangkan bermula minggu lepas, di Astro Ria.
Sekadar informasi, drama ini adalah satu-satunya karya tempatan yang menampilkan kehidupan seorang peguam dalam bidang firma dan guaman di Malaysia.
Menurut Rashidi yang memegang watak sebagai Ang, dalam kalangan rakan-rakannya yang merupakan seorang peguam adalah sumber inspirasinya dalam membawa watak tersebut.
“Saya semasa ambil pengajian A-Level pada ketika dahulu, memang saya belajar subjek perundangan yang ada kena mengena dengan perundangan Malaysia.
“Jadi, di situ saya mempunyai sikit latar belakang perundangan dan di kalangan rakan saya juga ramai sebagai seorang peguam. Jadi, saya tahu bagaimana kehidpuan mereka, bagaimana cara mereka bersosial dan pekerjaan mereka.
“Watak-watak yang saya garapkan dalam sisi kehidupan sebenar itu adalah daripada rakan-rakan saya yang saya kenali, saya masukkan dalam karakter Ang ini,” kongsinya.
Selain itu, apabila ditanya bagaimana jikalau drama ini menerima kritikan daripada penonton atau sebaliknya, ini jawapan pelakon itu.
“Sudah semestinya juga, kita perlu menjaga integriti profesion seorang peguam. Satu perkara yang kita ambil berat adalah segala prosedur, cara pemakaian dan yang berkaitan yang kita tidak boleh sesuka hati untuk lakukan.
“Perlu juga mengikut peraturan yang telah ditetapkan dengan profesion guaman. Draf skrip setiap episod dihantar kepada satu perunding undang-undang untuk menyemak terlebih dahulu.
“Segala proses memang sangat mendalam terutama melibatkan perundangan yang sangat rigid,” ujarnya.
Tambah anak seni berkaliber ini lagi, naskhah ini juga ingin menyampaikan bagaimana kehidupan seorang yang menceburi dalam bidang guaman.
“Apa yang cuba ditonjolkan dala naskhah ini adalah bagaimana seorang peguam yang mempunyai kehidupan.
“Serta karakter mereka yang berbeza-beza sebagai manusia dalam menjalani kehidupan sebagai seorang yang professional,” tuturnya.











