Memiliki perniagaan bakeri terutama biskut memang impian Nur Heida Shamira Haidzir sejak sekian lama.
Biar pun begitu, minatnya dalam bidang bakeri dipendamkan sahaja kerana terlalu sibuk menguruskan kerjaya sebagai pengacara di beberapa stesen televisyen.
Namun, takdir menentukan segalanya. Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak hampir dua tahun lalu akhirnya membuka jalan kepada wanita berusia 29 tahun itu mencapai impiannya.
Kekangan kewangan akibat ketiadaan tawaran mengacara ketika awal pandemik bermula, ‘memaksa’ Heida untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi kemelut yang dihadapi.
Ketika keadaan mendesak itulah, anak keempat daripada lima beradik itu mengambil langkah berani memulakan perniagaan biskut brownies miliknya.
Bermodalkan hanya RM300 dan berbekalkan sebuah ketuhar kecil di rumah, dia mula membakar biskut brownies mengikut resipi rahsia yang diolahnya sendiri pada Mac 2020.
“Pada permulaannya saya menerima tempahan biskut sebanyak 300 botol dan saya siapkan kesemua tempahan seorang diri sahaja.
“Syukur juga masa itu menjelang hari raya, jadi dalam masa dua minggu sebelum perayaan itu saya berjaya mendapat keuntungan sehingga RM6000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berbekalkan kejayaan yang disokong oleh keluarga dan rakan-rakan itu membuatkan Nur Heida lebih berani untuk terus meneroka bidang perniagaan tanpa menoleh ke belakang.
Paling berharga bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi itu adalah tunjuk ajar selok-belok dunia perniagaan daripada abangnya, Heidi Shafiq yang juga pengasas produk penjagaan wanita, Pinklady.
Semakin hari, permintaan biskut brownies yang kini dijenamakan C’ Brookies terus mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan dari seluruh negara sehingga berjaya mencatat jualan sehingga RM1.6 juta dalam masa setahun.
Menurut Nur Heida, kejayaan itu berbaloi dengan keringat yang dicurahkan selama ini untuk membangunkan jenama makanannya sendiri, Heida’s.
Cabaran
Mengimbas kembali cabaran di awal pembabitannya dalam dunia baking, Nur Heida berkata, itu adalah pengalaman paling berharga buat dirinya.
“Cabaran saya pada awalnya adalah untuk menyiapkan tempahan seorang diri bertemankan ketuhar kecil di rumah.
“Ketika itu hampir setiap hari saya membakar biskut selama 23 jam dan hanya tidur selama satu jam sepanjang menjelang hari raya,” ujarnya.
Bagaimana pun, Nur Heida kini mampu menarik nafas lega apabila pengeluaran biskut sudah dijalankan di sebuah kilang yang terletak di utara tanah air.
Sementara itu, wanita asal Gombak itu turut tidak menafikan sokongan daripada suami dan 4,000 agen berdaftar di bawahnya menjadi tulang belakang kejayaan.
Mereka bukan sahaja membantu melariskan jualan, malah turut memainkan peranan menguatkan lagi jenama Heida’s di negara ini.
“Kekuatan daripada pasukan yang menjadikan perniagaan ini sebagai kerjaya membantu mengembangkan jenama ini dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Namun, yang lebih menggembirakan adalah perniagaan berkenaan turut mampu memberi peluang menjana pendapatan kepada orang ramai terutamanya suri rumah.
Kata Nur Heida, sejak awal mengusahakan perniagaan berkenaan, dia sememangnya sudah berniat untuk menyediakan platform bagi orang ramai yang mahu berniaga dengan mudah.
Malah, sehingga kini ada agen dibawahnya yang sudah mampu menjana keuntungan sebanyak RM20,000 sebulan hasil jualan biskut.
“Agen kami 60 peratus terdiri daripada suri rumah. Ada antara mereka yang sudah mampu membeli kenderaan seperti kereta, motor dan van dengan hasil jualan.
“Disebabkan itu kami menyediakan produk yang berkualiti supaya ramai yang dapat turut sama menjual dan mendapat hasil,” ujarnya lagi yang merancang untuk meluaskan perniagaan ke luar negara tidak lama lagi.
Berdebat untuk kebaikan
Bagi suaminya pula, Muhammad Zul-Haziq Mohd. Tohid, 29, keputusan berhenti kerja bagi membantu isteri menguruskan perniagaan adalah pilihan yang tepat dan betul.
Katanya, biarpun sering saja bertelagah pendapat mengenai urusan kerja, namun baginya itu adalah perkara biasa dalam perniagaan.
“Kita bertukar idea dan pendapat setiap masa. Kadangkala memang terpaksa berdebat, tapi semuanya untuk kebaikan perniagaan.
Walaupun bekerja bersama isteri sendiri, namun waktu kerja kami bersikap profesional supaya perniagaan ini terus dapat dikembangkan dengan jayanya pada masa akan datang ,” katanya yang mengendalikan bahagian pengurusan.
Mengenai situasi semasa harga bahan mentah yang semakin meningkat ketika ini, Nur Heida berkata setakat ini semuanya masih terkawal, namun mengakui operasi bakal terganggu tidak lama lagi.
“Tidak dinafikan syarikat bakal terganggu dengan kenaikan harga barang dan bekalan yang terhad selepas ini.
“Pastinya sudah ada persediaan yang dibuat, antaranya menambah sumber untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal yang lain dan merancang untuk pembelian bekalan sebulan awal. Kebiasaanya pembelian bekalan mengikut mingguan tetapi kali ni perlu lebih awal kepada bulanan.
“Namun risiko yang kami hadapi adalah perlu menanggung segala kos kenaikan harga bekalan tanpa menaikkan harga produk dan mengekalkan kualiti yang sama demi kepuasan hati pelanggan,” ulasnya.
Bagaimana pun, memasuki tahun 2022, perancangan rapi sudah pun dilakukan untuk membawa jenama produk makanannya ke peringkat antarabangsa.
Bagi mencapai objektif itu, Nur Heida kini sedang giat mencari kerjasama dengan beberapa pihak berwajib untuk membawa masuk produknya ke negara Eropah.










