Saya memang pantang! Bukannya naskhah Moonfall ini tidak bagus, cumanya saya sedikit hairan bila sampai ke penghujung penceritaan. Ibarat menyaksikan filem merepek.
Sejujurnya, naskhah ini ada pengisian dan nilai-nilai murni yang dapat kita timba. Tetapi konsep penyelesaiannya itu di luar kotak fikiran.
Bagi saya, kelainan itu menarik dan bagus. Namun kalau dilihat seakan-akan terlalu tidak logik.
Rasanya bukan bulan sahaja yang lari dari orbitnya! Malahan pemikiran saya pun turut terganggu.
Secara ringkasnya, Moonfall mengisahkan bulan yang tiba-tiba lari dari orbit dan bakal melanggar bumi.
Bahkan, akibat kejadian itu juga akan mempengaruhi graviti di bumi sekali gus mengakibatkan bencana.
Demikian ancaman itu, pihak tentera dan presiden sepakat untuk menghancurkan saja bulan itu. Pun begitu, seperkara yang tentera tidak tahu, ada sesuatu yang menyebabkan bulan lari dari orbitnya.
Justeru, penyelesaiannya bergantung kepada tiga individu berkenaan.
Angkasawan lakonan Patrick Wilson sebagai Brian Harper dan rakannya juga merangkap ketua NASA, Jocinda Hewl lakonan Halle Berry serta seorang pengkaji teori konspirasi.
Jangan bazir duit
Sepanjang tempoh saya memberi ulasan wayang, ini kali pertama saya rasa simpan saja duit anda. Tunggu saja karya ini ditayangkan di Netflix.
Durasi hampir dua jam, konsep filem sains fiksyen ini membuatkan beberapa penonton di wayang kebosanan. Boleh dibilang dan dengar berapa orang yang memberi reaksi positif, segelintir lain sekadar menggeliat bosan atau sudah hilang tenaga.
Bagi saya naratif Moonfall ini perlu diperhalusi lebih lagi. Hal itu ketara apabila pelakon melontarkan dialog. Skrip cerita ini ada bahagian atau pada babak yang kurang sesuai.
Sayang seribu kali sayang sebab pelakon layar semuanya hebat-hebat belaka. Nama-nama kuat yang menghidupkan jalan cerita untuk membantu dalam sesebuah perkembangan naratif.
Satu hal lain, saya merasakan idea pengarah dan penulis skrip menjangkau kreativiti. Asalnya dek bulan yang bakal melanggar bumi kerana tersasar dari orbit. Tiba-tiba ada unsur transformasi dan transisi membabitkan makhluk lain pula.
Apa pun, ini hanyalah ulasan hiburan semata-mata menerusi pemerhatian dan pengamatan saya. Tapi, selepas tonton, cuba anda duduk seketika dan memberi pandangan sendiri pula. Boleh?










