PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon dan usahawan, Fizo Omar, Fazeera Nazri kini hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama pelakon tersebut.
Khabar gembira itu dikongsi Fazeera menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram (IG) miliknya.
Menerusi video berkenaan, Fazeera membuat kejutan kepada Fizo dengan memberi alat ujian kehamilan pada bulan pertama perkahwinan mereka.
“Video ini diambil ketika bulan pertama perkahwinan kami, ia kejutan besar buat dia apabila tahu saya hamil.
“Alhamdulillah, ini hadiah paling istimewa buat kami dan saya berdoa agar semuanya berjalan lancar,” coretnya di Instagram.
Dalam video itu juga, Fizo dilihat ada memberi reaksi terhadap isterinya selepas terkejut diberikan alat kehamilan itu.
“Maksudnya awak hamil? Serius? Tidak sangka betul sayang.
“So, made in Janda Baik lah ini? Ya, saya gembira sangat,” kata Fizo.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet turut menzahirkan rasa teruja selain mendoakan yang baik-baik buat pasangan itu.
“Bunting pelamin terus, rezeki. Tahniah Faz dan Fizo. Jaga diri,” komen seorang warganet.
“Semoga dipermudahkan segala urusan nanti. Jaga diri selalu dan tahniah kamu berdua,” komen peminat lain.
Sekadar informasi, pasangan merpati dua sejoli itu diijab kabul pada tanggal 21 Oktober 2021 di dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.











