Segala-galanya bermula selepas tertarik dengan sekeping gambar anak patung di atas sebuah piano yang dijumpai secara tidak sengaja sewaktu melayari internet.
Entah mengapa anak patung memakai gaun cantik itu melekat kemas di hati Siti Norhayati Salleh, 31 hingga mahu menghasilkan gaun secomel anak patung yang duduk atas piano itu.
Inspirasi daripada sebuah anak patung atas piano yang dilihat lapan tahun lalu itu, akhirnya membawa Siti Norhayati pergi sejauh ini.
Tidak setakat dijadikan hobi, sebaliknya hasil kreatifnya turut membolehkan dirinya meraih keuntungan hasil jualan gaun dan baju comel anak patung.
“Dulu, agak sukar mencari aksesori dan kelengkapan untuk membina karakter anak patung yang saya idamkan. Kalau ada pun mahal. Kekangan duit dan situasi, menyebabkan saya memutuskan untuk menjahit dan membuat sendiri aksesori untuk baju anak patung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dari situlah juga bermula titik tolak kelahiran jenama Olumis Dolls, nama baju anak patung yang dijahitnya.
Dua tahun kebelakangan ini dia semakin aktif menghasilkan baju anak patung kerana peminat baju comel itu kian bertambah.
“Sebelum pandemik Covid-19 melanda banyak pameran dan jualan pembuat aksesori untuk anak patung diadakan di Kuala Lumpur. Tetapi terhalang oleh pandemik.
“Walaupun saya tidak pernah turun ke acara tersebut disebabkan lokasi jauh, hasil tangan saya pernah dijual dan dipamerkan di acara tersebut. Biasanya saya hanya hantar hasil kerja saya kepada kawan-kawan yang menyertai pameran itu,” katanya yang menetap di Sandakan, Sabah.
Kerja tangan Siti Norhayati untuk dijual adalah rekaan khas yang disesuaikan mengikut cita rasa orang yang menempah. Harga baju juga berbeza mengikut tahap kesusahan membuat baju tersebut dan jenis bahan yang digunakan.
KUMPUL PATUNG
Selain menjahit, lulusan Ijazah Sarjana Muda Hortikultur dan Landskap dari Universiti Malaysia Sabah ini turut menjadi mengumpul anak patung.
“Sekarang saya mempunyai beberapa koleksi anak patung ball jointed doll (BJD) atau Disney Animator doll, blythe doll, pullip doll dan monst doll. Kesemua anak patung itu saya gunakan untuk memperagakan baju-baju hasil jahitan dan rekaan saya.
“Paling penting anak patung itu turut menjadi subjek dalam gambar yang saya ambil dan masukkan ke dalam internet untuk dikongsi kepada kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama,” katanya.
Jelas Siti Norhayati, anak patung BJD itu diberi nama sempena jenis sendi bebola pada kaki dan tangan anak patung tersebut. Sendi bebola itu membolehkan anak patung membuat pelbagai gaya semasa meragakan pakaian dan diambil gambar.
Patung Disney Animator pula merupakan anak patung yang selalunya dimain oleh kanak-kanak tetapi sejak kebelakangan ini sesetengah pengumpul dewasa meminati jenis anak patung ini untuk dijadikan sebagai koleksi.
Ditambah pula terdapat artis yang mengolah semula mekap anak patung tersebut, memberi rupa baru dan membuat anak patung itu lebih menarik.
MEKAP PATUNG
Selain menjahit baju anak patung, Siti Norhayati turut berjinak-jinak dengan khidmat menyolek anak patung.
“Saya belajar mekap dari internet sahaja. Khidmat ini mahal, lebih-lebih lagi kalau kita menempah daripada artis lain. Kekangan kewangan merupakan masalah utama. Oleh itu saya berusaha untuk belajar mekap anak patung sendiri bagi mendapatkan muka dan karakter anak patung yang saya ingini,” jelasnya.
Selepas berkongsi hasil mekap berkenaan dalam kalangan kawan sehobinya, kata Siti Norhayati, rakan-rakannya yang lain mula berminat dan mahu mengupahnya.
Berkongsi cerita, katanya, proses menyolek anak patung perlu dilakukan dengan teliti.
Sebelum anak patung disolek, muka anak patung itu perlu dibersihkan terlebih dahulu menggunakan thinner atau alkohol.
Setelah dibersihkan, muka patung akan disembur menggunakan penyembur jenis matt dan clear bagi memudahkan proses melukis.
“Setelah kering, pensil warna, warna pastel lembut dan akrilik akan digunakan untuk melukis.
“Saya bermula pada bahagian mata, pipi barulah mulut. Saya berikan lebih tumpuan pada bahagian mata bagi menambahkan seri patung.
“Proses ini memakan masa agak panjang dan memerlukan ketelitian. Justeru saya selalu galakkan kawan-kawan yang berminat dengan proses mekap anak patung ini untuk mencuba sendiri kerana bakat setiap orang tidak sama.
“Mana tahu ini merupakan bakat terpendam yang belum terserlah lagi,” katanya yang membeli patung berkenaan secara dalam talian.
Bercerita tentang aspek penyimpanan, Siti Norhayati memberitahu, kalau koleksi anak patung ia disimpan dalam rak buku bagi memudahkannya mengambil dan menyimpan semula sewaktu melakukan kerja menjahit baju.
“Kalau koleksi baju anak patung pula, saya simpan dalam beg plastik dan susun di dalam kotak mahupun kabinet almari supaya kemas dan mudah dicapai,” terangnya.
Menjahit ketika anak sedang tidur
Memiliki dua anak kecil yang memerlukan perhatian menyebabkan ia bukanlah satu hobi yang mudah untuk dilaksanakan.
“Saya berusaha mencuri masa walaupun sedikit dari kesibukan mengurus anak dan rumah tangga kerana hobi ini juga merupakan me time saya.
“Selalunya saya menjahit ketika anak tidur siang ataupun ketika suami boleh mengambil alih menjaga anak ketika dia cuti bekerja. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang memahami dan sentiasa menyokong walaupun hobi saya ini di luar daripada kebiasaan,” katanya. Siti Norhayati belajar menjahit daripada internet dan media sosial sahaja.
Selain jahit tangan, dia turut menggunakan dua jenis mesin jahit.
“Mesin jahit dan mesin jahit tepi ini banyak membantu mempercepatkan proses menjahit baju anak patung yang comel ini,” katanya.










