Balu Abam Bocey lega keputusan mahkamah berpihak padanya - Utusan Malaysia

Balu Abam Bocey lega keputusan mahkamah berpihak padanya

Balu arwah pelawak popular, Abam Bocey, Nor Hidayah Mohammad Ali lega keputusan mahkamah berpihak kepadanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Balu kepada arwah pelawak popular, Abam Bocey, Nor Hidayah Mohammad Ali, 33, melahirkan rasa lega apabila keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

Kemenangan itu adalah menerusi saman fitnah yang difailkan olehnya terhadap adik Allahyarham Abam iaitu Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan dua tahun lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai keputusan mahkamah hari ini, Hidayah dalam genang air mata meluahkan rasa syukur dan lega.

“Alhamdulillah, saya rasa lega dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini. Doakan saya dan anak saya,” katanya.

Hidayah berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain itu, ditanya mengenai kesihatan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 3, Hidayah menjawab secara ringkas.

“Anak saya baik,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Hidayah, Mohamed Ibrahim Mohamad berkata, kemenangan itu sekali gus telah membersihkan nama serta reputasi keluarga anak guamnya.

“Alhamdulillah mahkamah hari ini memberikan keputusan yang mana ia berpihak kepada anak guam kami.

“Tuntutan keluarga arwah Abam dan Ali terhadap anak guam saya, Nor Hidayah telah ditolak dengan kos.

“Manakala, tuntutan kami terhadap Ali telah dibenarkan dengan kos juga, ganti rugi RM60,000 telah dipersetujui oleh mahkamah untuk dibayar kepada Hidayah.

“Kami percaya keputusan ini telah membersihkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami dan berharap selepas ini tiada lagi.

“Sebelum ini ada kenyataan dibuat seolah-olah ada pihak dianiaya oleh anak guam kami tapi hari ini mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada berlaku sebarang penganiayaan, sebaliknya yang dianiaya adalah anak guam kami,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tuntutan faraid Ali, ujar Mohamed Ibrahim proses terbabit masih dalam peringkat mahkamah syariah.

“Mengenai tuntutan faraid masih dalam peringkat mahkamah syariah lagi tapi saya percaya ia tiada kena mengena dengan Ali kerana dia bukan waris. Yang warisnya adalah ibu kepada arwah Abam, isteri dan anak sahaja.

“Cuma ada pihak lain yang terlalu proaktif yang terlibat yang menyebabkan konflik berlaku,” tambahnya.

Kontroversi mula tercetus apabila Nor Hidayah memfailkan saman terhadap Ali sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.

Saman yang dibuat Nor Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim.

Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.

Pada 27 Ogos 2020, Ali memfailkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.

Nor Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN