Realitinya, nasib setiap individu berbeza. Allah menguji setiap individu berbeza-beza ujiannya. Cuma berbeza jenis dan kadar ujian tersebut. Kecil atau besar bersesuaian dengan penerimanya. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, hllang harta, pekerjaan, sakit, kematian dan lain-lain.
Minggu ini saya kongsikan kisah Erin (bukan nama sebenar), yang diuji dengan menjaga ibu bekas pelacur.
Sehingga hari ini, selepas tiga dekad masyarakat masih belum menerima ibu Erin dengan sepenuhnya.
Ibu masih dianggap jahat.
Bagi Erin orang hanya pandai menuduh tetapi tidak pernah mahu faham keadaan hidup ibunya sebelum perbuatan itu terpaksa dilakukan.
Erin tidak setuju jika masyarakat terus menerus menghukum ibu dan turut memandang serong seluruh keturunannya.
Sehingga ke hari ini Erin tidak pernah menyalahkannya 100 peratus kepada ibunya atas apa yang berlaku.
Sebagai anak sulung, Erin memahami penderitaan yang ditanggung ibunya.
Selama ini ibulah yang bersusah payah membesarkan Erin dan adiknya, Azudin (bukan nama sebenar) sejak kecil selepas bapa mereka ditangkap dan dipenjara atas kesalahan mengedar dadah.
Ibu memohon cerai dengan alasan tidak sanggup meneruskan kehidupan dengan bapa.
Sepanjang hidup bersama bapa, ibu sering didera secara fizikal dan mental, terutama jika ibu menolak sebarang kehendak bapa.
Bapa Erin tidak bekerja dan hanya keluar masuk pusat pemulihan.
Ibu ketika itu bekerja di sebuah kantin di sekolah rendah.
Pendapatan ibu sebanyak RM200 sebulan itulah digunakan untuk perbelanjaan makan minum, pakaian dan keperluan persekolahan Erin dan Azudin.
Sebahagian wang itu jugalah diminta bapa Erin untuk membeli dadah.
Selepas berpisah, bermulalah episod baru dalam kehidupan mereka tiga beranak.
Melalui bantuan seorang rakan ibu, mereka berpindah ke Kuantan,Pahang untuk memulakan kehidupan baru.
Ketika itu usia Erin mencecah 10 tahun, manakala Azudin lapan tahun.
Erin juga berasa gembira kerana mempunyai rakan-rakan di sekolah baru. Dia tidak lagi disisih seperti sebelum itu hanya disebabkan bapanya seorang penagih dadah.
Ibu Erin seorang yang gigih bekerja. Dia melakukan dua pekerjaan pada satu masa. Sebagai pekerja pembersihan pada sebelah siang, manakala pada sebelah malam mengambil upah mencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran masakan panas.
Erin terpaksa menerima hakikat, bahawa ibunya bekerja siang malam semata-mata untuk membesarkan mereka dua beradik.
Ibu hanya pulang lewat malam selepas operasi perniagaan tamat pada jam 12 .30 tengah malam.
Walaupun kepenatan, ibu tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Erin dan Azudin.
Ibu sentiasa memastikan keperluan makan, pakai Erin dan Azudin mencukupi selain mendapat pendidikan yang seimbang dunia dan akhirat.
Dalam tempoh itu juga, Erin mendengar pelbagai cerita kurang enak tentang ibunya.
Ibunya didakwa menjual diri dan sering dilihat keluar masuk hotel murah setiap kali habis waktu bekerja pada sebelah malam.
Pada awalnya, Erin tidak mempercayai cakap-cakap jiran sekeliling. Sehinggalah pada satu hari, Erin melihat dengan mata sendiri ibunya keluar dari bilik di rumah mereka bersama seorang lelaki.
Ketika itu Erin dan Azudin baru pulang dari sekolah.
Disebabkan masih kecil, Erin tidak bertanya apa-apa kepada ibunya selepas itu.
Kejadian itu bukan pertama kali. Erin sering juga melihat ibunya membawa pulang lelaki berlainan ke rumah mereka selepas pekerjaannya di restoran pada sebelah malam selesai.
Hari berganti minggu, minggu berganti tahun Ekin dan Azudin semakin dewasa.
Mereka berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan mempunyai pekerjaan tetap.
Sehingga ke hari ini, selepas 30 tahun berlalu, Erin tidak pernah membuka mulut dan bertanya kepada ibunya tentang pekerjaan sebenar yang dilakukan sebelum itu.
Setiap kali selepas solat, Erin sering memanjatkan doa agar Allah memaafkan segala perbuatan lampau ibu.
Erin kini sudah berumahtangga dan menjadi ibu kepada sepasang cahaya mata comel.
Erin bersyukur mempunyai suami yang sangat memahami dan menerima ibu apatah lagi dengan keadaan kesihatan ibu semakin merosot.
Dia dan suami sama-sama bertanggungjawab menjaga ibu yang kini sudah tidak mampu menguruskan diri sendiri.
Meskipun, Azudin tinggal berjauhan dan sudah memiliki keluarga sendiri, dia sendiri tidak culas menunaikan tanggungjawab sebagai anak.
Bagi Erin, ibunya seorang wanita yang cukup kuat dan dugaan ini antaranya membesarkan mereka dua beradik sendirian.
Ibu berhak untuk bahagia setelah sekian lama terpaksa menanggung derita.
Kebahagiaan ibu adalah kebahagiaan mereka juga.
Bagi Erin, walau apapun kesalahan yang dilakukan ibu, dia tetap menyayangi dan menghormati insan itu.
Siapa kita untuk menilai dan menghukum orang lain?. Allah lebih mengetahui. Apalagi seorang insan bergelar ibu yang wajib dimuliakan.
Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 23 dan 24 bermaksud:
“Dan Tuhan memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah, wahai Tuhanku!, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
—-
ROSLAH OTHMAN ialah bekas wartawan meja Keluarga, Utusan Malaysia.










