Warung Cendol Sawit tawar aneka cendol durian - Utusan Malaysia

Warung Cendol Sawit tawar aneka cendol durian

Pelanggan hanya perlu mencatat menu dan menghantarnya ke kaunter untuk pesanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi kaki makan atau food hunter, keenakan cendol tersedia di Cendol Sawit (Warung Estate) pasti menggoda selera.

Keunikan cendolnya terletak pada santannya iaitu menggunakan santan kelapa sawit, bukannya santan kelapa yang lazim digunakan.

Pengurus restoran, Mohd. Yusri Denan, 39, berkata sebanyak lapan hingga sembilan kilogram (kg) santan kelapa sawit diperlukan setiap hari.

Namun jumlah itu mencecah sehingga 20kg pada hari minggu serta cuti umum.

“Setakat ini saya tidak menghadapi masalah bekalan cuma terkesan dengan kenaikan harga barang mentah termasuk santan,” katanya kepada Utusan Malaysia. Ada pelbagai pilihan cendol daripada cendol biasa sehingga ke cendol pulut, durian, tapai dan sebagainya.

Pelanggan yang menggemari cendol yang sudah diolah dengan rasa pelbagai, boleh mencuba cendol naga, mangga, durian beku, durian D24, musang king, ais krim, jagung, oreo, pulut dan special ulas (durian, mangga dan naga).

Cendol di sini dijual pada harga bermula RM2.50 sehingga RM19.50 semangkuk, mengikut jenis pilihan. Kedai makan terletak di Jalan Mawar, Kampung Bukit Kuching, Jeram, Selangor ini, berhadapan dengan kebun kelapa sawit.

Pelanggan boleh meletakkan kenderaan di kawasan hadapan mahupun tepi warung, sebelum mengimbas MySejahtera dan memeriksa bacaan suhu sebelum mengambil meja.

Konsep layan diri ditawarkan juga cukup mudah. Pelanggan hanya perlu mencatat menu dan menghantarnya ke kaunter untuk pesanan.

PERNIAGAAN KELUARGA
Mohd. Yusri, berkata sebelum ini warung itu diusahakan emaknya, Halimah Ibrahim, 61, secara kecil-kecilan di sebelah rumah menggunakan payung berwarna biru.

Namun pada 2016, mereka sekeluarga sepakat membesarkan warung itu menjadi kedai sekaligus menambah menu baharu dengan memillih santan kelapa sawit sebagai suatu kelainan.

“Nama Cendol Sawit (Warung Estate) ini dipilih kerana kedudukan kedai berhadapan ladang kelapa sawit atau dalam bahasa Inggeris, estate,” katanya.

Selain Mohd. Yusri, operasi warung turut dibantu ahli keluarganya yang lain.

“Warung ini adalah perniagaan ahli keluarga. Emak memasak kuah laksa, mi Jawa dan rojak manakala adik lelaki menyediakan hidangan cendol.

“Kakak menyediakan roti John manakala isteri saya sediakan pencuci mulut iaitu jagung cawan. Kami turut dibantu lapan orang pekerja pada hari biasa dan tambahan 13 pekerja termasuk pekerja sambilan pada hari minggu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×