ALOR GAJAH: “Saya hanya makan nasi,” kata bapa kepada legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann tentang rahsia pemakanannya kerana masih sihat meskipun usia sudah menganjak 107 tahun.
Soh Tee Tong ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Kolam Air di sini berkata, sambutan Tahun Baru Cina menjelang hujung bulan ini amat bermakna kerana dirinya masih dikurniakan kesihatan yang baik.
“Syukur tuhan kasi (beri) umur saya panjang,” ujarnya yang lahir pada 29 Julai 1916.
Pada usia mencecah 107 tahun, warga emas yang mempunyai susuk tubuh kurus itu dilihat masih mempunyai kudrat, mampu berjalan, bercakap, mempunyai daya ingatan dan mendengar dengan baik.
Dalam pada itu, Chin Ann berkata, bapanya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung kecuali gastrik.
Menurutnya, sewaktu umur belum mencecah 100 tahun, beliau masih boleh memandu kereta dan kerap keluar bersarapan dengan rakan-rakan, malah turut pergi berkaraoke.
“Saya mempunyai lapan adik beradik iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.
“Kakak yang sulung berumur 80 tahun manakala saya 72 tahun. Kami semua masih hidup dan tidak mengalami penyakit kronik,” katanya.
Chin Ann menambah, bapanya datang ke Tanah Melayu dari Tanah Besar China sewaktu berusia dua tahun.
“Sebelum datang ke Tanah Melayu, bapa saya pergi ke Singapura dan selepas beberapa tahun dia terus datang ke Melaka dan menetap di Alor Gajah serta membuka kedai runcit,” jelasnya.











