PUTRAJAYA: Langkah tidak mengiktiraf lafaz talak di luar mahkamah boleh menimbulkan keraguan dalam masyarakat sekali gus mengakibatkan berlaku kes perceraian yang tidak didaftarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, Seksyen 57 Undang-Undang Keluarga Islam adalah bagi memastikan setiap perceraian di luar mahkamah perlu disahkan dalam mahkamah.
Katanya, selain untuk dikenakan denda, ia bertujuan sebagai antara jalan penyelesaian terhadap tabiat manusia yang tidak mampu mengawal emosi.
Apatah lagi, kata beliau, jika lafaz itu dibuat secara jelas dan nyata di samping mempunyai saksi, maka ia wajib direkodkan dan didaftarkan di mahkamah.
Noor Aziah berkata, pemansuhan Seksyen 57 mengundang kekeliruan kepada status pasangan yang telah melafazkan talak di luar mahkamah dan boleh menjurus kepada kes-kes berikutnya seperti ‘gantung tidak bertali’ dan situasi perceraian yang tidak pasti.

“Jadi, kita mesti ada peruntukan kepada kes orang yang sudah lafaz talak di luar mahkamah, dalam masa sama kita ingatkan bahawa suami dikenakan denda jika berbuat demikian.
“Saya bersetuju kalau denda dinaikkan, jadi mereka yang nak bercerai lebih beringat, tapi manusia ini ketika dia tengah baran, dia tidak ingat talak itu kena perlu buat secara betul,” katanya di sini semalam.
Noor Aziah berkata, rekod perceraian amat penting jika pasangan mahu berkahwin lain, lebih-lebih lagi di pihak perempuan yang perlu dipastikan dia tidak lagi berstatus isteri.
Beliau berkata, amat sukar untuk tidak mengiktiraf lafaz talak di luar mahkamah apatah lagi ia dilafazkan secara jelas kerana dikhuatiri ada pihak menyalahgunakan perkara itu dan akhirnya isteri menjadi mangsa dan mengundang bahaya kepada masyarakat.
Katanya, apa pun bentuk perceraian sama ada berlaku di luar atau di mahkamah, ia perlu didaftarkan dan direkodkan seterusnya suami itu mesti dikenakan denda.
“Kita perlu memastikan semua nak bercerai mesti melalui mahkamah. Dalam masa sama kita beri kesedaran bahawa suami tidak boleh melafaz talak sesuka hati kerana implikasinya selepas itu.
“Ini termasuk isu ketentuan nasab apabila bercerai talak tiga yang tidak boleh dirujuk kembali. Perkara-perkara sedemikian perlu ada peruntukan pasangan bercerai luar mahkamah perlu dapatkan kepastian sama ada sah atau tidak.
“Saya tidak mahu ia menjadi sesuatu perkara yang menjadi fitnah dan kemudian mengundang masalah, di pihak isteri yang terjejas,” katanya.










