PANDEMIK Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia seakan-akan tiada penghujungnya. Kemunculan wabak maut itu memberi kesan mendalam kepada pelbagai pihak, lebih-lebih lagi sewaktu perintah berkurung dilaksanakan di kebanyakan negara.
Ada dalam kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan, mengalami kemurungan, malah ada yang sanggup ‘menarik nyawa sendiri’ dek tidak tahan dengan ‘kaedah pencegahan Covid-19’ yang dilaksanakan di negara masing-masing.
Namun, keadaan itu tidak meruntuhkan semangat seorang remaja wanita dari Cambridge, United Kingdom (UK) untuk memajukan diri dan mengukuhkan kewangannya. Paling utama, mencuba sesuatu yang tidak pernah dianggapnya boleh menjadi sumber pendapatan.
Usianya baru mencecah 19 tahun dan ketekunannya berlatih menghasilkan sulaman menjadikan Maisie Crompton mampu memperoleh pendapatan sehingga 12,000 pound (RM68,594) sehari.
Segala-galanya bermula ketika perintah berkurung dilaksanakan dan Crompton. Dia ketika itu bekerja sehari seminggu di pasar raya menghabiskan kebanyakan masanya berlatih membuat sulaman bagi mengelakkan rasa bosan.
MODAL RM142
Berbekalkan modal sebanyak 25 pound (RM142), Crompton bersama neneknya membeli kit dan sejumlah barangan sulaman menerusi platform belian dalam talian, Amazon.
Pada mulanya, gadis itu hanya berkongsi dalam TikTok mengenai fasa latihannya melakukan sulaman.
Crompton memuat naik pelbagai video menunjukkan bagaimana proses sulaman dilakukan. Sedikit demi sedikit, hasil kerjanya mula mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.
Kini, Crompton mempunyai seramai 176,000 pengikut di Tiktok dan hampir 7,000 subscriber dalam YouTube.
Gadis itu memaklumkan, dia tidak pernah menyangka aktiviti yang disifatkannya sebagai hobi itu kini mampu menjadikannya ‘gadis kaya’.
TOTES FOR YOU
Crompton terpaksa berhenti daripada kerjanya di pasar raya selepas melancarkan produk keluarannya yang diberi nama Totes For You.
Produk itu terdiri daripada pelbagai rangkaian beg pelbagai saiz dan para pelanggan boleh menempah sulaman mereka berdasarkan rekaan dihasilkan oleh Crampton.
Gadis itu mengenakan caj serendah 15 pound (RM86) kepada pelanggannya untuk mendapatkan karya sulamannya.
TIDAK PERNAH BERNIAGA
Ketika perintah berkurung dilaksanakan, Crompton baru sahaja menamatkan pengajian dan bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya bagi mencari duit poket.
“Masa kerja yang tidak terlalu padat membuatkan saya berasa bosan lalu mencari idea melakukan aktiviti menarik. Selepas didorong oleh nenek, saya mula menyulam,” katanya.
Crompton mengakui pada awalnya dia sekadar suka-suka berkongsi video mengenai hobinya dalam TikTok, termasuk sering bertanya kepada pengguna media sosial itu tentang idea dan bahan yang diperlukan untuk menyulam.
“Video pertama sulaman saya dalam TikTok memperoleh lebih 60,000 tontonan dalam tempoh seminggu dan itu amat menggembirakan saya,” katanya yang mengakui tidak pernah berniaga, malah tidak terfikir langsung untuk melibatkan diri dalam bidang tersebut.
BAKAT SEMULA JADI
Crompton memaklumkan, dia minat menjahit sejak kecil dan percaya dia mempunyai bakat semula jadi untuk melakukan pelbagai perkara berkaitan jahitan.
Jelas gadis itu, dia amat mementingkan kesempurnaan dan akan berusaha bersungguh-sungguh memastikan semua hasil sulamannya menjadi dan berkualiti.
“Setiap sulaman mengambil masa satu hingga tiga jam ketika mula-mula melakukan aktiviti itu.
“Akhirnya, saya sendiri berpuas hati dengan hasil sulaman yang dibuat dan sejak itu, saya amat mementingkan kualiti kerja kerana mahu pelanggan gembira serta rasa berbaloi,” jelasnya.
LAMAN WEB SENDIRI
Crompton meminta rakannya menghasilkan laman web untuk menjual hasil sulamannya.
Gadis itu juga menjadikan rakannya sebagai model memperagakan koleksi beg dan sulamannya.
“Pada hari pertama produk dilancarkan, saya berjaya menjual 13 beg. Saya amat gembira.
“Masa berlalu dan saya berjaya meraih 4,000 pound (RM22,853) sebulan. Saya tidak pernah melihat duit begitu banyak dan ini sangat hebat,” ujarnya.
KEMBANGKAN PERNIAGAAN
Kini, produk Crompton bukan sekadar beg, gadis itu mengembangkan perniagaannya dengan menjual pakaian dan alat tulis yang boleh disertakan seni sulaman.
Dia mengakui gembira dengan pencapaiannya ketika ini. Namun katanya, apa yang lebih penting, kesenian sulaman itu perlu diteruskan.
“Saya mempunyai kewangan yang kukuh ketika ini, tetapi ia bukanlah satu-satunya perkara yang saya utamakan kerana kepuasan itu adalah lebih penting,” katanya.










