PETALING JAYA: Seorang pengguna aplikasi Tiktok, berkongsi satu video yang memaparkan rutin penyanyi yang juga juara Gegar Vaganza 8 (GV8), Aliff Aziz di belakang pentas, menerusi platform tersebut.
Dia yang juga dipercayai kru produksi program realiti nyanyian tersebut, memuat naik video berdurasi 16 saat yang memaparkan penyanyi itu sedang mengimamkan solat berjemaah bersama beberapa makmum lain di belakangnya.
“Rutin sang juara. Tahniah Aliff Aziz dan Bella. Pak imam kita juara GV8,” coret pengguna @yesnoooooooo itu.
Menerusi video berkenaan juga, selain kelihatan tiga jemaah lelaki, turut dilihat ada seorang wanita yang dipercayai isteri tercintanya, Bella Astillah.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen tersebut dibanjiri pelbagai reaksi warganet buat penyanyi lagu popular Sayang-Sayang itu.
“Aku suka perjalanan hidup dia. Allah beri dia ujian, demi ujian. Jatuh, bangun, jatuh lagi , menghilang serta timbul semula. Dengan ilmu dan menjadi seorang yang baharu,” komen seorang netizen.
“Semua orang ada kisah silam kan. Sekarang, Alhamdulillah. Semoga terus istiqamah,” komen juga seorang netizen.
Untuk rekod, pentas akhir GV8 menyaksikan penyanyi kelahiran Singapura itu muncul juara program realiti tersebut mengalahkan lima peserta lain iaitu Nikki Palikat, Suki, Adibah Noor, Azan Scan serta Aweera.










