MENJADI alat kebesaran raja sejak dahulu, keris merupakan lambang kedaulatan dan warisan orang Melayu. Biarpun dahulunya ia salah satu senjata mempertahankan diri orang Melayu, keris tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Hingga kini ia masih digunakan dan mendapat tempat di hati peminat senjata itu.
Keris kini dijadikan sebagai perhiasan ketika mengenakan busana tradisional Melayu terutamanya di majlis perkahwinan selain turut dijadikan koleksi bagi penggemarnya.
Sebuah syarikat di Kuala Kangsar, Perak, Keris Empire mengambil inisiatif membuka galeri dan menjual keris di Kampung Kota Lama Kanan bagi memartabatkan budaya dan warisan Melayu zaman berzaman itu.
Ketua Operasi Keris Empire, Edzreen Edzwan Kamalrudin berkata, meskipun keris adalah warisan Melayu, tidak banyak jurnal dan kajian berkenaan senjata tersebut dihasilkan orang Melayu sebaliknya daripada negara luar.
“Jurnal kajian mengenai keris kebanyakannya dibuat orang luar dan bukan orang Melayu. Jika ada pun, tidak ramai, di mana kebanyakan sumber rujukan mereka adalah dari Eropah.
“Malah pengumpul-pengumpul keris ramai dari negara-negara Eropah. Mereka memiliki keris-keris hebat daripada zaman dahulu,” katanya.
Edzreen berkata, biarpun keris merupakan salah satu warisan Melayu masih ramai generasi muda tidak mengenali jenis dan bentuk keris yang ada.
Bagi memastikan keris dikenali generasi muda, beliau mengambil beberapa inisiatif termasuk membuka galeri yang mempamerkan pelbagai jenis keris. Malah ia turut dijual kepada mereka yang berminat.
“Selain misi kami membantu tukang pembuat senjata tradisional seperti keris, kami juga memberi tumpuan mendidik generasi hari ini untuk mengenali keris. Ia bukan sahaja bertujuan memastikan keris tidak dilupakan malah memartabatkan budaya Melayu agar terus menjadi sanjungan bangsa kita.
“Kami mengambil inisiatif dengan membuat penulisan serta perkongsian mengenai ilmu berkaitan keris di halaman Facebook kami untuk memberi manfaat kepada generasi muda Melayu dan orang luar,” katanya.

PAMOR TARIKAN KEPADA PEMINAT KERIS
Edzreen Edzwan memberitahu, terdapat pelbagai jenis keris di negara ini dan beberapa lagi negara seperti Indonesia dan Thailand, mengikut budaya mereka.
Katanya, keunikan keris di negara ini satu masa dahulu adalah mengikut setiap daerah di mana senjata tradisional ini pada ketika itu mewakili daerah-daerah berkenaan.
“Keunikannya ialah setiap daerah akan ada keris yang mewakili ciri-ciri daerah berkenaan termasuklah dari segi ukiran, bahan yang digunakan serta pemakaiannya.
“Dahulu mereka banyak menggunakan bahan-bahan seperti gigi ikan paus, tanduk kerbau, kayu kemuning dan pelbagai lagi,” katanya.
Menurut Edzreen Edzwan, setiap keris juga mempunyai pamor iaitu seni lipatan besi pada bilah senjata tersebut yang sering menjadi tarikan kepada mereka yang mengumpulnya.
“Pamor ini terdapat beribu jenis dan setiap pamor tidak akan nampak sama walaupun ia dihasilkan oleh tukang yang sama serta jenis keris yang sama.
“Inilah yang menjadi tarikan kepada peminat-peminat keris ini sehingga ada yang tidak kisah membelanjakan sejumlah wang yang tinggi untuk mendapatkannya,” katanya.
Edzreen Edzwan berkata, buat masa ini terdapat beberapa jenis keris yang dipamer dan dijual di Keris Empire miliknya.
Menurutnya, antaranya keris Bugis, Semenanjung, malela, tajong, Palembang, Perak, Kedah dan beberapa jenis lagi yang mempunyai keunikan tersendiri.
“Selain keris, kami turut mempamer dan menjual beberapa lagi senjata tradisional seperti golok, parang, aksesori untuk keris dan buku-buku berkenaan senjata tradisional Melayu.
“Daripada segi harga pula keris di galeri kami dijual serendah RM270 sehingga RM4,000 mengikut jenis,” katanya.

Selain itu terdapat juga keris yang ditempah khas oleh peminat-peminat senjata tersebut dan ia mengambil masa sekitar empat hingga lima bulan untuk disiapkan.
Jelasnya, tukang yang bekerjasama dengan mereka kebanyakannya masih menghasilkan senjata ini secara tradisional bagi menjaga kualiti selain memastikan ia tidak dilupakan.
“Pembeli kami pula bukan sahaja daripada Malaysia malah juga luar negara seperti Australia, Taiwan, Kuwait dan Jordan.” katanya.
BANTU TUKANG KERIS TEMPATAN
Selain memastikan keris terus dimartabat dan dikenali generasi muda, Keris Empire turut membantu tukang-tukang pembuat senjata tradisional ini menjual hasil tangan mereka bagi menjana pendapatan.
Buat masa ini terdapat 10 tukang tempatan dari beberapa negeri seperti Perlis, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor menghasilkan keris dan pedang untuk dijual di galeri Keris Empire.
Ada juga keris dan pedang dihasilkan tukang senjata dari Indonesia dijual di galeri berkenaan selain secara dalam talian.

“Tukang membuat keris terdiri daripada pelbagai peringkat umur sama ada berpengalaman mahupun yang masih muda dalam menghasilkan senjata tradisional ini.
“Mereka yang kami bantu sebelum ini kebanyakan daripadanya menjual keris dan pedang sendiri dan produk mereka susah untuk dijual hingga pendapatan juga tidak banyak.
“Tapi alhamdulillah, bila ada yang meluahkan rasa gembira apabila pendapatan mereka bertambah selain sentiasa ada tempahan yang mereka terima daripada kami untuk dijual kepada pelanggan,” katanya.
Edzreen Edzwan turut berharap usaha itu dapat membantu mempromosi budaya dan warisan Melayu khususnya golongan muda.
“Saya juga berharap kerajaan mengambil berat untuk memartabatkan keris seperti Indonesia dan Thailand yang mempunyai hari keris nasional yang disambut setiap tahun,” katanya.










