Bergelar ibu tunggal bukan satu tugas mudah. Banyak cabaran perlu dihadapi kerana segalanya terpaksa diurus sendiri.
Namun dengan keazaman, reda dan kematangan, jalan berliku itu pastinya lebih mudah lalui.
Minggu ini saya kongsikan kisah Anis (bukan nama sebenar) ibu tunggal yang sentiasa bersangka baik terhadap ujian daripada Allah. Anis berkahwin pada usia muda.
Bagaimanapun perkahwinan dengan Khairul (bukan nama sebenar) tidak berupaya dipertahankan.
Namun pengalaman itu jugalah mengajar Anis lebih tabah mengharungi kehidupan.
Dia berjaya membina perniagaan sendiri hasil daripada kegagalan rumahtangganya.
Anis tidak menghiraukan umpat keji dan persepsi masyarakat terhadap ibu tunggal senasib.
Oleh kerana itu dia tidak pernah membataskan pergerakannya untuk melakukan sesuatu yang dirasakan berfaedah kepada diri dan anak tunggalnya, Helmi.
Seperti ibu tunggal yang lainnya, Anis membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang.
Helmilah yang menjadi kekuatan kepada dirinya untuk meneruskan kehidupan.
Menyingkap awal perkenalan dengan Khairul, lelaki itu dikenali semasa mereka sama-sama bersekolah menengah.
Dari situ mereka mengukir janji untuk sehidup semati.
Selepas tamat Tingkatan Lima Anis enggan melanjutkan pelajaran sebaliknya nekad bernikah dengan Khairul yang pada ketika itu telah bekerja di sebuah pasar raya di pekan berhampiran.
Keputusan Anis dan Khairul untuk mendirikan rumah tangga mendapat tentangan kedua-dua keluarga pada awalnya.
Usia masing-masing yang terlalu muda menjadi alasan kenapa orang tua mereka membantah.
Namun siapalah yang dapat menolak jodoh yang ditentu Allah Taala. Berwali bapanya sendiri, akhirnya impian Anis untuk menjadi isteri kepada lelaki yang dicintai tercapai.
Anis dibesarkan dalam keruntuhan rumah tangga ibu ayah. Namun keduan-duanya amat bertanggungajwab kepada mereka adik beradik.
Ibu yang membesarkan Anis adik beradik, namun bapanya tidak pernah lepas tangan. Tanggungjawab sebagai bapa dilaksanakan sebaik-baiknya.
Sehingga selamat majlis pernikahan Anis, bapanya telah menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai wali.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Kebahagiaan yang diimpikan hanya bertahan selama dua tahun.
Anis tidak pernah menyalahkan sesiapa termasuk Khairul atas keruntuhan rumahtangga mereka.
Walaupun pelbagai tanggapan daripada pihak keluarga dan saudara mara, Anis tetap mengunci rapat mulutnya.
Bagi Anis dia telah melakukan sebaik mungkin untuk mempertahankan rumah tangganya,namun siapalah dia menolak takdir.
Empat tahun berjuang di mahkamah untuk menuntut cerai.
Akhirnya tanpa menuntut apa-apa kecuali hak penjagaan anak, akhirnya Anis dibebaskan.
Bergelar ibu tunggal dalam usia muda menjadi cabaran paling hebat dalam hidupnya.
Anis tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan masyarakat.
Ketika mengambil keputusan untuk berpisah, apa yang bermain dalam fikiran Anis, adalah anak tunggalnya, Helmi (bukan nama sebenar) yang ketika itu masih kecil.
Allah telah mengurniakan anak yang sihat dan comel. Apatah lagi memikirkan ibu dan bapa mentuanya terlalu baik dengannya.
Walaupun hubungan dengan Khairul sudah tiada, keluarga mentua melayan Anis sangat baik.
Helmi dimanjakan dengan sepenuh kasih sayang dan perhatian.
Apabila berpisah, Anis keluar dari rumah Khairul.
Ketika itu ramai yang meletakkan kesalahan kepada Anis. Seolah-olah dia sengaja meminta berpisah kerana mahukan kebebasan.
Sebaik sahaja mendapat hak penjagaan, Anis berjanji akan memberi kesempurnaan hidup kepada anak tunggalnya itu.
Bagi Anis, Helmi anak yang baik dan tidak banyak karenah.
Tetapi membesarkan sendirian tanpa bantuan sesiapa bukan perkara mudah.
Sukar untuk mengetahui sama ada Anis melakukan benda yang betul atau tidak.
Apabila ada pasangan, mereka boleh berbincang tentang cara dan memperbaiki berdasarkan perbincangan bersama.
Bagaimanapun sikap positif dan terbuka Anis sendiri banyak membantunya untuk membesarkan Helmi.
Anis sering bergaul dengan para ibu bapa yang lain.
Dia banyak belajar dan mengambil inspirasi daripada mereka membesarkan anak-anak.
Apabila Anis melihat Helmi gembira, dia tahu telah melakukan perkara yang betul.
Apa yang penting ketika itu adalah masa depan Helmi.
Dia mahu yang terbaik buat Helmi.
Anis yang semakin selesa dengan kehidupannya sebagai usahawan, kini mempunyai lebih banyak masa bersama Helmi.
Dia sentiasa memastikan masa berkualiti bersama anak kesayangannya itu.
Pada siang hari Helmi dihantar dan diambil dari sekolah, manakala pada waktu malam dia menghabiskan masa rehat untuk mengajar dan memantau Helmi.
Apabila terpaksa menjadi ibu dan ayah kepada Helmi, amat mudah untuk Anis menjadi terlalu sibuk dengan tanggungjawab sehingga lupa akan hak pada diri sendiri.
Bagaimanapun, Anis tidak menolak untuk bercinta atau berkahwin lagi. Dia percaya kepada jodoh yang ditentukan oleh Allah Taala.
Namun keutamaannya kini hanya mahu membesarkan Helmi agar mendapat pendidikan terbaik seimbang dunia dan akhirat.
Anis sentiasa bersangka baik, reda menerima takdir.
Ini sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya dan demikian pula RasulNya, sesungguhkan kami adalah orang yang berharap kepada Allah.(Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka) Surah at-Taubah ayat 59).










