Dyya Nawai sudah lapan tahun tidak minum ais - Utusan Malaysia

Dyya Nawai sudah lapan tahun tidak minum ais

Nurul Hidayah Md. Nawai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengambilan air suam sejurus bangun pagi membantu melancarkan sistem pencernaan individu. Sistem pencernaan yang berfungsi dengan baik adalah kunci kepada kesihatan tubuh secara keseluruhannya.

Amalan itu menjadi rutin penyampai berita dan juga penyampai dan pengacara di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nurul Hidayah Md. Nawai dalam memulakan harinya.

Katanya sistem pencernaan yang tidak berfungsi dengan baik boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan emosi lantaran itulah ia amat perlu diberikan perhatian.

“Saya hanya minum air manis kalau rasa teringin. Selebihnya saya lebih gemar air suam. Kalau saya minum air manis sekalipun, mesti saya ‘bilas’ dengan minum air kosong selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nurul Hidayah yang mesra disapa Dyya Nawai berkata, memiliki kulit jenis kering juga menyebabkan dia perlu minum air kosong dengan lebih banyak.

“Kalau tidak mengambil air secukupnya pasti kulit mukanya akan menunjukkan simptom-simptom kulit kering pada wajah. Kalau kering, wajah rasa tidak selesa,” katanya.

Dalam menjaga kesihatan, Nurul Hidayah turut berhenti ambil ais dalam minuman sejak kira-kira lapan tahun lalu. Kesannya dia merasakan tubuhnya lebih segar dan jarang mengalami demam.

Suara dan wajah Dyya Nawai tidak asing dalam kalangan pendengar radio dan penonton televisyen RTM. Bekas peserta program Ikon Siarawan 2014 ini mula muncul dalam dunia penyiaran pada tahun sama setelah mendapat tempat keempat dalam final program tersebut.

Kerjayanya bermula sebagai seorang wartawan, penyampai berita dan juga penyampai pengacara di RTM.

Semenjak tahun 2017, beliau mula bertugas sebagai Penyampai radio Nasionalfm Sentiasa Di Hati. Terkini beliau turut menjadi penyampai berita di Berita Perdana RTM.

JAGA MAKAN

Mengenai aspek pemakanan, Dyya Nawai mengakui dirinya jenis pemakan. Beliau akan makan sahaja apa yang diinginkan. Cuma katanya kadangkala beliau mengawal dari segi kuantiti makanan yang diambil.

“Kalau saya rasa dalam sehari saya makan banyak maka saya akan melebihkan pada senaman. Saya akan melakukan senaman di dalam atau di luar rumah lebih kurang dua hingga tiga kali dalam seminggu atau mengikut kesempatan ruang waktu yang ada.

“Semestinya apabila badan berpeluh kita akan rasa lebih segar, aktif dan rasa ringan. Cuma sejujurnya saya bukan orang yang rajin bersenam. Perlu juga ada yang mengajak atau menjadi pemula langkah,” katanya.

Suka kasual

Sentiasa muncul di khalayak ramai menyebabkan wanita berusia 34 tahun ini sentiasa menjaga penampilan diri. Ketika bertugas di konti radio beliau banyak bergantung kepada diri sendiri dari segi penampilan. Gaya pilihannya adalah gaya simple kerana beliau memang agak lasak sejak kecil.

“Untuk penampilan di televisyen pula biasanya saya serahkan kepada perunding imej di RTM untuk membantu dari segi penampilan baik sebagai penyampai berita atau pengacara. Kalau di luar waktu kerja saya lebih suka memilih pakaian kasual dan santai. Sebenarnya saya dan kasut sukan memang tidak boleh dipisahkan.

“Namun kalau nak nampak rapi, wanita perlu memilih warna yang tepat untuk personaliti. Gayakan style yang kita selesa sepanjang kita berada di luar rumah. Pastikan pilih corak yang bersesuaian kerana ia memainkan peranan penting dalam penampilan kita.

“Tambah juga aksesori yang bersesuaian dengan pakaian yang digayakan. Akhir sekali yakin dengan diri sendiri dan imej yang ditonjolkan. Jangan meniru orang lain kalau itu membuatkan kita rasa tidak selesa atau terpaksa berpura-pura. Jadilah diri sendiri,” ujar ibu kepada seorang anak ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×