SIMPATI dengan seekor anak kucing buta baka British Shorthair membuatkan Hanna Camelia Mohd. Nadzli, 19, jatuh cinta untuk memeliharanya. Kucing berusia 11 bulan itu diberi nama Cinta.
Cintanya tertumpah pada Cinta, selepas melihatnya di media sosial.
“Cinta dipasarkan untuk rehome di media sosial tetapi tiada orang ingin mengambilnya.
“Simpati melihat nasibnya, mendorong saya mengambil Cinta lalu menjaganya. Walaupun dia buta tetapi ia sangat manja dan suka bermain bersama kucing-kucing lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TUNTUT ILMU JAGA KUCING BUTA
Membuktikan cinta terhadap Cinta, Hanna Camelia turut membuat kajian di media sosial seperti Google dan Youtube untuk mengetahui cara-cara mengajar dan membantu kucing buta.
“Saya bernasib baik kerana menjaga Cinta sejak dia masih kecil. Waktu itu adalah masa terbaik mengajarnya berdikari daripada awal.
“Saya memberi Cinta masa dan ruang yang banyak menyesuaikan diri. Beri ia lebih masa untuk mempelajari cara-cara untuk mendapatkan keperluan harian seperti bekas minuman, air dan kotak pasir. Barang-barang ini tidak boleh diubah lokasinya,” katanya.
Akui Hanna Camelia, dia juga tidak terlepas daripada berdepan cabaran untuk menjaga Cinta namun dia tidak pernah menganggap ia satu kesusahan malah seronok mempelajari ilmu baharu tentang kucing yang buta.
“Paling mencabar adalah mengajar dan membantu Cinta turun dan naik tangga. Setiap anak tangga iaitu dipanggil guiding block diberi arahan dengan nada suara dan loceng.
“Cinta perlu ke tepi dinding untuk menggunakan deria rasa. Dalam hal ini, Cinta perlu tahu, misainya yang berperanan besar membantunya mencari arah dan tidak melanggar benda lain di sekelilingnya,” katanya.
Antara kaedah penjagaan Cinta ialah mencuci matanya dua kali sehari dan dititis ubat mata untuk mengelakkan dari jangkitan dan bernanah.
Suplemen, robiotic, taurine dan immune booster turut diberi pada setiap hari bagi memastikan ia sihat dan mengelakkan daripada dijangkiti kuman.
15 KUCING BERLAINAN BAKA
Selain Cinta, pelajar ijazah sarjana muda perakaunan dan kewangan itu turut memiliki 14 ekor kucing pelbagai jenis dan baka berusia antara lima bulan hingga tujuh tahun.
“Saya ada sembilan baka kucing. Antaranya British Shorthair, Domestic Longhair, British Longhair, Sphynx, Munchkin, Persian, Ragdoll, Abyssinian dan Maine Coon.
“Semua kucing saya ada nama. Paling kecil, Carrera Clara daripada baka Maine Coon, kini berusia lima bulan manakala Rocket berusia tujuh tahun merupakan baka Domestic Longhair.
“Kucing paling aktif di rumah pula bernama Tesla Olwen, spesies Maine Coon yang kini tujuh bulan. Tesla seekor kucing yang gemar bergaul dengan keluarga saya dan sentiasa mengikut ke mana sahaja saya berada di dalam rumah,” katanya yang memiliki kucing import bermula harga RM8,000 dan ke atas.
Kata Hanna Camelia, minatnya memelihara kucing timbul sejak kecil lagi terutama kucing kampung.
“Waktu kecil lagi, saya sudah membela kucing kampung yang selalu datang ke rumah. Bermula dengan memelihara kucing domestik, lama-kelamaan timbul minat yang amat mendalam untuk mempelajari cara-cara memelihara kucing dengan baik sehinggalah kini saya ada kucing baka,” katanya.
LUANG MASA GROOMING SI BULUS
Bagi Hanna Camelia, penjagaan kucing tidaklah begitu sukar jika sudah minat namun setiap baka perlu penjagaan yang berbeza.
“Kalau sayang semua jadi senang, mengujakan dan memberi kepuasan. Saya mempunyai pelbagai jenis kucing dan ada yang keperluannya berlainan. Saya akan membuat jadual harian cattery dari segi pemakanan dan pembersihan sanitasi ruang kucing.
“Paling penting, setiap hari kucing saya akan disikat. Saya turut memperuntukkan masa untuk bermain dan berinteraksi dengannya. Saya juga akan pastikan semua kucing tidak terlepas dengan tarikh pemeriksaan bersama doktor veterinar, pengambilan ubat cacing, ubat kutu dan rawatan-rawatan lain yang diperlukan.
“Grooming dan mandi kucing akan dilakukan setiap bulan manakala dari segi penjagaan pemakanan, saya akan memberi makan mengikut jadual. Jadual akan mendisiplinkan setiap kucing semasa waktu makan,” katanya.
KUCING MENANG 12 ANUGERAH
SI BULUS yang comel dan aktif dengan gelagat yang mencuit hati memberi tuah kepada Hanna Camelia yang berjaya memenangi 12 anugerah hasil daripada pertandingan kucing disertainya tahun lepas.
“Kucing saya masuk cat show secara dalam talian dan virtual. Setakat ini saya menang 12 anugerah.
“Terbaharu, Tesla Olwen menang tiga anugerah iaitu 1st Best Kitten Longhair oleh dua juri undangan. Dia juga menang secara keseluruhan bagi Best Kitten Longhair,” katanya.
Tidak lokek berkongsi tips memenangi anugerah bagi kucing kesayangan, Hanna Camelia berkata, pemilik perlu tahu jenis pertandingan yang disertai sama ada fun show atau international show.
“Untuk fun show, kita memerlukan kucing yang personalitinya aktif, suka bermain dan boleh berinteraksi bersama juri.
“Sementara itu international show pula, juri akan menilai dengan lebih mendalam daripada aspek profil muka, badan dan bulu kucing mengikut standard ditetapkan oleh persatuan berdaftar,” katanya.
Dari segi persiapan kucing pula, katanya antara aspek diambil kira untuk memperoleh markah tinggi adalah bulu.
“Kucing perlu didandan rapi. Bulunya juga perlulah bersih dan bebas kekotoran,” katanya.










