SEJAK sebelum merdeka lagi usaha membasmi kemiskinan diperdebatkan. Pendeta Zaaba menulis mengenai kemiskinan khususnya dalam masyarakat Melayu sejak 1920-an.
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz juga dilihat sealiran dengan Zaaba. Ungku Abdul Aziz memulakan kajian mengenai kemiskinan di Ulu Tiram, Johor sehingga ke Terengganu dan Kelantan pada 1963. Beliau memperkenalkan teori Indeks Sarong bagi mengukur tahap kemiskinan.
Kesimpulan yang dibuat oleh kedua-dua tokoh ini hampir sama iaitu orang Melayu miskin dalam semua aspek bukan harta benda sahajanya.
Kerajaan menyedari hakikat ini. Membasmi kemiskinan menjadi agenda utama sejak Rancangan Malaysia Pertama (RMK1). Malah dalam pelan jangka panjang Dasar Ekonomi Baru (DEB) memberikan penekanan serius terhadap isu kemiskinan dengan membesarkan kek ekonomi agar jurang yang wujud antara kaum tidak terus melebar.
Umumnya, DEB yang dilaksanakan bermula 1971 berjaya, terutamanya dalam bidang pendidikan dan dari segi kemiskinan. Insiden kemiskinan di Malaysia turun secara mendadak dari 1970 sehingga 2000.
Dalam tempoh 30 tahun, insiden kemiskinan berjaya diturunkan daripada 52.4 peratus sehingga 5.1 peratus. Bagaimanapun, pandemik Covid-19 telah meningkatkan kadar kemiskinan kepada 8.4 peratus.
Dalam RMK12, kemiskinan adalah salah satu isu utama yang akan ditangani. Masalah kemiskinan juga diberikan perhatian dalam belanjawan tahunan negara.
Peruntukan yang besar diberikan kepada kementerian atau agensi terbabit. Tetapi kadar kemiskinan di beberapa negeri masih lagi tinggi. Salah satu sebab punca utama adalah kerana membasmi kemiskinan dilaksanakan secara sendirian, in silo.
Oleh itu, pendekatan baharu akan dilaksanakan di bawah RMK12 bagi memastikan pembasmian kemiskinan tegar secara holistik dapat dilaksanakan. Ia juga akan melibatkan penyelarasan kesemua agensi Persekutuan, negeri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Perdana Menteri dalam pembentangan RMK12 pada 27 September lalu mengumumkan program pembasmian kemiskinan menggunakan pendekatan keseluruhan negara.
Di bawah RMK12, strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada 2025.
Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar. Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah yang mempunyai empat ahli keluarga.
Untuk menjamin pelaksanaan yang lebih berfokus, unit kemiskinan ditubuhkan di Unit Perancangan Ekonomi serta pada peringkat negeri dan daerah bagi mengenalpasti pegawai yang tugas mereka cuma tertumpu kepada pembasmian miskin tegar.
Bagi melaksanakan program ini, pangkalan data kemiskinan bersepadu dan berpusat iaitu e-Kasih digunakan. Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang membuat pemutihan data ini.
Usaha-usaha pembasmian kemiskinan tegar ini akan diterajui bersama oleh EPU dan ICU. Jadual pelaksanaan bagi Fasa Pertama adalah seperti berikut:
– Pertengahan Disember 2021: Senarai kira-kira 50 lokaliti di seluruh negara akan dikenal pasti oleh ICU;
-Penghujung 2021 dan awal 2022: Senarai lokaliti akan diverifikasi dengan kerjasama kerajaan negeri;
-Januari 2022: Program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing;
-Februari 2022: Pembentangan strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar Fasa Pertama kepada jemaah menteri; dan
-Mac 2022: Pelaksanaan program bagi Fasa Pertama 50 lokaliti di seluruh negara akan bermula.
Pelaksanaan ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi berkesan. Selain 50 lokaliti terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan.
Saya melawat beberapa kawasan di beberapa negeri untuk berdialog dan mendapat gambaran mengenai kemiskinan tegar termasuk di Putatan, Sabah; Sik, Kedah; Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru dan Tumpat, Kelantan. Hasil tinjuan yang dilaksanakan ini, pendekatan berbeza harus dilaksanakan berdasarkan demografik dan keadaan sosioekonomi sesebuah lokaliti.
Sebagai contoh, pendekatan di Sik tidak boleh sama dengan miskin bandar di Johor Bahru atau Putatan. Sik mempunyai kawasan pertanian yang luas dan kos sara hidup lebih rendah.
Ini amat berbeza dengan ketua isi rumah miskin tegar di Johor Bahru, masalah perumahan dan pelaksanaan projek pertanian seperti di Sik tidak dapat dilakukan disebabkan oleh ketiadaan tanah.
Ahli ekonomi, Amartya Sen dalam bukunya, Development As Freedom menyifatkan kemiskinan disebabkan oleh keupayaan mereka yang terhalang. Tiga bentuk keupayaan tersebut ialah :
i. Sumber peribadi seperti bakat, kemahiran;
ii. Sumber luar termasuk pendapatan dan kekayaan;
iii. Sosial, budaya, perundangan dan struktur material bersesuaian dengan konteks semasa individu.
Potensi yang dimiliki oleh golongan ini harus dicungkil dan diberikan keupayaan untuk keluar daripada kepompong miskin tegar. Justeru, EPU mengendalikan beberapa siri perbincangan melalui kumpulan terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan negeri, agensi, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO) memperhalusi semua aspek bagi memastikan program pembasmian kemiskinan ini benar-benar berkesan.
Input daripada kumpulan ini akan digunakan dalam merangka strategi membasmi miskin tegar dengan lebih berkesan.
Semua tenaga yang ada harus digembleng. Saya yakin dengan usaha berterusan semua pihak, usaha untuk membasmi miskin tegar pada 2025 seperti disasarkan dalam RMK12 akan tercapai.
DATUK Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).











