Program khatan percuma libatkan 350 kanak-kanak - Utusan Malaysia

Program khatan percuma libatkan 350 kanak-kanak

AHMAD Nazlan Idris (duduk depan, tiga dari kiri) dan Dr. Amir Faisal Mohd. Khairi (kanan) menyantuni kanak-kanak dengan bergambar sebelum masuk ke bilik berkhatan di Poliklinik Kesihatan bandar Jerantut, Pahang, baru-baru ini. -UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAMA Islam menggariskan berkhatan sebagai perkara sunat kerana ia dapat menjaga kebersihan. Menurut hadis Nabi SAW daripada Abu Hurairah r.a.: Fitrah itu lima; berkhatan, memotong bulu di kemaluan, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Umumnya, bangsa Arab biasanya berkhatan pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan, berbeza dengan adat orang Melayu. Jumhur ulama berpendapat Nabi Muhammad SAW telah dikhatankan pada hari ketujuh oleh Abdul Mutalib.

Tidak hairanlah jika diteliti akan kebaikannya, berkhatan mampu mengelakkan seorang lelaki itu mengalami kanser zakar. Adapun bagi wanita ia mampu mengurangkan risiko mereka dijangkiti barah pangkal rahim daripada pasangannya.

Bagi umat Islam di Malaysia, musim berkhatan sering dikaitkan dengan cuti sekolah kerana mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah. Pada waktu itu juga kebanyakan murid lelaki Islam berusia tujuh tahun ke atas berkhatan.

Sehubungan itu, ada wakil rakyat dan pemimpin setempat mengaturkan majlis berkenaan dengan membiayai majlis berkhatan kepada kanak-kanak yang kurang mampu atau kategori dalam kalangan keluarga B40 dan asnaf.

Senario hari ini menyaksikan pelbagai ragam dan reaksi kanak-kanak yang berkhatan sama ada secara berseorangan atau beramai-ramai.

AHMAD Nazlan Idris (berdiri, kiri) bersama Dr. Amir Faisal Mohd. Khairi (tengah) melihat petugas Jabatan Kesihatan mengkhatankan seorang kanak-kanak, Mohd. Firdaus Mohd. Affendi di Poliklinik Bandar Jerantut, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Ini dapat dilihat sama ada di klinik kerajaan dan swasta berasaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu.

Sebelum ancaman pandemik Covid-19, majlis berkhatan diadakan bagaikan satu pesta rakyat kerana kanak-kanak diraikan ibarat ‘raja sehari’.

Mereka diberi layanan istimewa apatah lagi semua agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyumbang derma wang dan makanan.

Tetapi hari ini, senario sudah berubah lantaran pematuhan SOP dan amalan norma baharu bagi mengawal pandemik Covid-19, majlis berkenaan cuma dilaksanakan di klinik kesihatan berdekatan.

Itulah yang boleh digambarkan melihat seramai 114 kanak-kanak lelaki yang bakal menempuh alam dewasa dalam majlis berkhatan. Ia diadakan sempena Program Khatan Perdana B40 anjuran Pejabat Parlimen Jerantut dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) di Poliklinik Kesihatan bandar Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Selain di bandar Jerantut, majlis yang sama juga diadakan sehari sebelum itu, apabila 68 kanak-kanak kawasan Damak, Batu Balai, Kampung Som, Kampung Koi dan beberapa penempatan lain menyertai majlis berkhatan di Klinik Kesihatan Damak, Jerantut.

Turut diadakan majlis yang sama di Klinik Kesihatan Kuala Tahan berdekatan Taman Negara dan Felda Jengka 8 pada hari berikutnya. Ia melibatkan keseluruhan 350 kanak-kanak keluarga B40 kawasan Parlimen Jerantut.

MANDI AIR PANCUT

Lazimnya, kanak-kanak yang berkhatan dimandikan dengan pancutan air oleh anggota bomba dan penyelamat.

Namun tidak ada lagi acara ‘bertandu’ di atas bahu penjaga masing-masing, perarakan bunga manggar dan pencak silat seperti kelazimannya dalam budaya orang Melayu sebelum ancaman pandemik Covid-19.

Perasmian majlis ringkas Program Khatan Perdana B40 dengan titipan motivasi kepada kanak-kanak berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Sebahagian peserta berbaris mengikut penjarakan fizikal memasuki ruang pendaftaran majlis Program Berkhatan Perdana B40 di Klinik Kesihatan Damak, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Jerantut, Dr. Amir Faisal Mohd. Khairi.

Menurut Ahmad Nazlan, majlis berkhatan itu adalah acara tahunan Pejabat Parlimen Jerantut dengan kerjasama JKD Jerantut tetapi tidak dilaksanakan tahun lalu (2020) berikutan penularan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada tahun ini, kita cuma memilih kanak-kanak dalam kalangan keluarga B40 berasaskan mereka tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan untuk berkhatan di klinik ekoran masalah pendapatan berikutan ancaman pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP.

“Majlis ini dilaksanakan di klinik kesihatan berdekatan tempat tinggal iaitu di bandar Jerantut, Kampung Damak, Kampung Kuala Tahan dan Felda Jengka 8 untuk memudahkan ibu bapa dan penjaga terbabit menghantar anak-anak mereka berkhatan dengan pematuhan SOP,” jelasnya.

Ahmad Nazlan menambah, sekiranya ancaman pandemik Covid-19 pulih sepenuhnya di masa hadapan, majlis berkhatan peringkat Parlimen Jerantut akan dirancang secara besar-besaran dan lebih meriah dengan penonjolan warisan adat orang Melayu sekali gus menarik perhatian pengunjung.

Sementara itu, Dr. Amir Faisal berkata, sebanyak 11 pasukan paramedik iaitu 30 doktor dan penolong pegawai perubatan terlibat secara langsung dalam program ini di empat kawasan Parlimen Jerantut.

“Selain tanggungjawab kesihatan, kerjasama dengan Pejabat Parlimen Jerantut merupakan sumbangan khidmat masyarakat kalangan petugas Pejabat Kesihatan Daerah ini dengan beramal jariah menerusi kepakaran dan berbakti selari dengan tuntutan agama Islam.

“Petugas kesihatan di sini yang sebelum ini sebagai ‘frontliners’ semasa pandemik Covid-19 hampir dua tahun kini turun padang semula di majlis berkhatan ketika musim cuti persekolahan sekali gus mengeratkan ukhuwah dengan masyarakat setempat .

Mengenai program tersebut, Dr. Amir Faisal berkata, teknik berkhatan yang digunakan adalah dorsal slit yang begitu popular dan mengikut prosedur garis panduan serta keseragaman berkhatan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, program berkhatan itu dapat mendidik kanak-kanak yang melangkah ke alam dewasa selepas ini mengenai bidang kesihatan iaitu mengutamakan kebersihan supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman pada salur kencing dan risiko beberapa penyakit lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×