Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini pernah saya baca sewaktu bersekolah menengah dahulu, sekitar era 90-an.
Naskhah yang ada di tangan saya ini, merupakan edisi semakan edisi pertama 2019. Buku ini dicetak buat pertama kalinya pada 1981.
Sejarah Perlis ini merupakan Siri Sejarah Nusantara, tulisan bekas pendidik dan pernah bertugas di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim pada 1939 (kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Buku Sejarah Alam Melayu Penggal IV dan Sejarah Alam Melayu Penggal V tulisan beliau, dijadikan buku teks di sekolah Melayu sebelum kemerdekaan.
Tulisan ini, merupakan ringkasan perjalanan sebuah negeri yang dianggap muda. Namun hakikatnya Perlis menyimpan sejarah yang sangat panjang melebihi usia negerinya. Ini kerana Perlis merupakan sebuah daerah yang terletak bawah jajahan Kedah dan pernah dinaungi oleh Raja Siam pada era 1825 hingga 1839.
Apa yang menarik, kajian sejarah membuktikan Perlis wujud sebelum itu lagi.
Menurut Dr. Ibrahim Bakar (2019), Kota Palas atau Negeri Palas wujud sejak 1050 Masihi. Ini terbukti dengan beberapa sumber menyebut berkaitan Kota Palas. Antara sumber menyentuh berkaitan Kota Palas ialah Hikayat Merong Mahawangsa dan Kitab Undang-undang Kedah.
Pada permulaan bab, pengarang membicarakan asal usul nama Perlis.
Ada enam sumber membicarakan asal-usul negeri Perlis, bagaimanapun semua sumber tersebut tidak boleh dijadikan pegangan yang kuat.
Apabila membicarakan sejarah Perlis, kita tidak boleh lari daripada mengangkat kisah peperangan antara Siam-Ligor dengan Kedah.
Perlis berada dalam daerah Kedah dan peperangan ini berlangsung antara 1821 hingga 1841.
Tempoh dua dekad bukanlah tempoh yang singkat. Lebih menarik dalam perbahasan buku ini ialah kisah permulaannya mendapat seorang pemerintah yang bergelar raja.
Berbeza dengan negeri Melayu yang lain. Syed Husain Jamalullail membuka lembaran baru apabila ditabalkan sebagai Raja Perlis oleh Raja Siam pada tanggal 10 Muharam 1250 Hijrah (kalendar Islam). Pertabalan ini berlangsung di balairung seri istana Raja Siam di Bangkok.
Bahkan pertabalan ini juga disokong oleh Raja Ligor Nakhon di Thammarat.
Raja Syed Husain yang telah ditabal menjadi Raja Perlis yang pertama telah dianugerahkan oleh Raja Siam sesalinan, perkakas kebesaran dan senjabat (senjata tujuh).
Pada akhir bab buku ini dibahaskan keadaannya semasa di bawah pemerintahan tentera Jepun.
Pada era ini menyaksikan sistem beraja di negeri kecil paling utara Semenanjung mengalami perubahan.
Apabila Jepun menyerah kalah, barulah siatem ini berjalan seperti biasa semula.
Buku ini saya rasakan sesuai sebagai bahan bacaan semua peringkat usia, khususnya pemula kepada mereka yang ingin mengkaji perjalanan sejarah Perlis.
Sejarah Perlis
» Penulis: Buyong Adil
» Terbitan: Dewan Bahasa Pustaka (DBP)
» Halaman: 47 muka surat
» Pengulas: Aswadyqalbinada











