Seorang tabien terkenal, Sya’bi menyatakan, penurunan al-Quran dari awal hingga akhir adalah dalam tempoh lebih 20 tahun.
Menurut beliau, al-Quran adalah pengajaran yang berhikmah, tali hubungan dengan Allah, perjanjian yang termeterai, lindungan yang luas dan jalan yang lurus.
Di dalamnya mengandungi banyak mukjizat yang jelas, tanda-tanda kebesaran yang zahir, hujah yang benar, dalil yang berucap, meruntuhkan hujah yang bertentangan dengannya dan menolak tipu daya musuh.
Ilmu asbab nuzul adalah amat penting dan berperanan besar untuk memahami al-Quran. Ia adalah satu bab dalam Ulum al-Quran. Ulama menjadikan ilmu ini sebagai syarat wajib yang perlu dikuasai sebelum mentafsir al-Quran.
Melalui ilmu ini pemahaman terhadap al-Quran akan menjadi lebih lengkap. Disebabkan kepentingannya, para ulama sejak dahulu lagi menulis ilmu asbab nuzul ini.
Imam Sayuti berkata, sebahagian ulama menulis ilmu ini dalam bentuk berasingan daripada Ulum al-Quran. Perintis kepada penulisan asbab nuzul ialah Ali Ibn al-Madini iaitu guru kepada Imam al-Bukhari.
Adapun kitab yang masyhur dalam ilmu asbab nuzul yang menjadi rujukan hingga ke hari ini pula ialah kitab Asbab al-Nuzul yang ditulis oleh Imam al-Wahidi (meninggal ada tahun 468 Hijrah).
Selain itu, Imam Sayuti sendiri menulis satu kitab dalam Asbab Nuzul yang diberi nama Lubab al-Nuqul Fi Asbab al-Nuzul.
Penurunan ayat al-Quran dibahagikan kepada dua: Ibtidai dan Sababi. Makna Ibtidai ialah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan tanpa sebab yang berlaku. Kategori inilah paling banyak.
Adapun makna Sababi ialah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan dengan sebab tertentu sama ada dengan peristiwa yang berlaku, menjawab kepada soalan atau menolak kepada syubhah yang dilontarkan.
Sebagai contoh, berlaku peristiwa seorang lelaki munafik berkata: “Aku melihat pembaca al-Quran di kalangan kita ini (Rasulullah dan sahabat r.a) adalah yang paling suka mengenyangkan perut, paling kuat penipu dan paling takut di medan perang.
Mendengar ucapan tersebut, Auf ibn Malik r.a berkata: “Kamu penipu dan munafik. Aku akan sampaikan berita ini kepada Rasulullah SAW. Apabila Auf Ibn Malik r.a sampai kepada Nabi SAW, wahyu telah mendahuluinya.
Firman Allah: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatnya serta Rasul-Nya kamu persendakan”. (Taubah: 65)
Sejurus wahyu ini diturunkan, si munafik tersebut datang kepada Rasulullah SAW yang ketika itu baginda menaiki unta untuk memulakan perjalanan.
Mereka berkata: “Wahai Rasulullah kami hanya berbual dan bergurau.” Rasulullah SAW menjawab dengan tegas: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatnya serta Rasul-Nya kamu persendakan”.
Berlaku juga wahyu diturunkan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan tentang sesuatu isu.
Ibn Abbas menyatakan bahawa al-‘Asi Ibn Wail membawa tulang manusia ke hadapan Nabi SAW sambil berkata: “Adakah Allah menghidupkan tulang ini?
Sabda Nabi SAW: “Betul Allah berkuasa menghidupkannya, Allah akan mematikan kamu kemudian menghidupkan kamu dan memasukkan kamu dalam neraka jahanam”.
Lantas Allah SWT menurunkan ayat surah Yasin. Firman Allah SWT: Dia memberikan satu perumpamaan kepada Kami dalam menentang kekuasaan Kami menghidupkan orang yang telah mati, sedang dia sendiri lupa asal kejadiannya. Dia lalu bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur luluh itu?” (Yasin: 78 dan diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim)
Berlaku juga wahyu yang diturunkan menjawab kepada soalan berkaitan perkara yang telah lepas seperti pertanyaan tentang Zulkarnain dalam surah al-Kahfi ayat 83.
Firman Allah: Mereka bertanya kepada kamu wahai Muhammad tentang Zulkarnain. Jawablah: “Aku akan ceritakan kepadamu sebahagian daripada kisahnya.” Terdapat juga menjawab kepada pertanyaan semasa, seperti tentang roh. Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu ialah urusan Tuhanku. Kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit.” (Israk: 85)
Dan menjawab soalan yang akan datang. Seperti firman Allah SWT: Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang kedatangan hari kiamat, katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya ada di sisi Allah. Bagaimana kamu dapat mengetahui? Barangkali kiamat itu sudah dekat. (Ahzab: 63)
Manfaat Ilmu Asbab Nuzul
Imam Zarkasyi memberi ulasan menarik berkaitan ilmu tafsir dan peranan asbab nuzul dengan berkata, melalui ilmu tafsir dapat memahami al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, menerangkan makna, mengeluarkan hukum-hakam dan hikmah.
Semuanya itu dapat dicapai dengan syarat menguasai ilmu lughah, Nahu dan Soraf, Ilmu Bayan, Usul Fiqh, Qiraat dan perlu mengetahui Asbab Nuzul dan Nasikh Mansukh.
Beliau seterusnya menjawab kepada mereka yang mendakwa ilmu Asbab Nuzul tidak memberi faedah dengan berkata, ia adalah dakwaan yang salah. Ini kerana ilmu ini diambil perhatian sepanjang zaman bahkan ia memberi manfaat yang banyak.
Ilmu Asbab Nuzul membantu mengetahui hikmah atau hukum-hakam yang Allah syariatkan dalam al-Quran.
Bagi mukmin, ilmu ini akan menambahkan lagi iman mereka dan berusaha untuk melaksanakan hukum-hakam dalam al-Quran. Ini kerana amat jelas kebaikan dan keistimewaan hukum tersebut.
Bagi yang bukan mukmin pula, apabila mereka mendalami hukum-hakam yang Allah turunkan akan membawa mereka kepada keinsafan dan akhirnya beriman kepada Allah SWT.
Semua hukum yang Allah turunkan adalah bagi menjaga kemaslahatan insan bukan menghancurkan dan tidak ada kezaliman. Perkara ini amat jelas jika mereka melihat bagaimanakah proses perjalanan perundangan dalam sesuatu perkara yang berlaku secara berperingkat.
Syeikh Abdul Wahab Khallaf berkata, jika nas syarei datang dalam bentuk umum maka hendaklah beramal dengan keumumannya dan tidak diambil kira dengan sebab penurunan ayat tersebut yang terjadi sesuatu hukum.
Manusia wajib mengikutinya dan beramal dengannya. Syariat perundangan adalah untuk seluruh alam dan bersifat umum. Maka tidak logik jika nasnya adalah untuk sebab tertentu dan untuk orang tertentu sahaja.
- Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.









