Lilit sedia koleksi wanita sopan, bergaya - Utusan Malaysia

Lilit sedia koleksi wanita sopan, bergaya

Butik berwarna merah jambu ini menampilkan produk dan pakaian yang dipamerkan mengikut kategori bagi kemudahan pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini pilihan busana wanita yang sopan tetapi bergaya tidak sukar dicari. Kalau dahulu wanita perlu memakai inner untuk memastikan gaun dipakai lebih sempurna. Selain baju bahagian dalam, ada extender khusus bagi menutup bahagian tangan dan labuh baju.

Kini segala-galanya berubah. Hanya klik di hujung jari mendapatkan busana idaman.

Memahami keinginan wanita jenama Lilit melebarkan sayap perniagaan busana sopan dengan pembukaan butik baharu di pusat beli belah, Bangsar Village II.

Butik seluas 1,960 kaki persegi itu memperlihatkan barangan keperluan asas, pakaian, dan koleksi yang menarik selain hasil kolaborasi baharunya seperti Lilit X Mira Filzah dan yang akan tiba tidak lama lagi, Lilit. X Fizi Woo.

Jenama bergaya ini terkenal kerana ia menawarkan penyelesaian yang mudah dan mesra untuk wanita kontemporari. Lilit memberikan keyakinan diri menerusi pelbagai pilihan gaya yang berlainan.

Koleksinya merangkumi pakaian dalam asas, skarf dan pakaian, serta kategori sopan menarik yang diperlukan oleh semua. Ada koleksi pakaian untuk ibu mengandung, pakaian aktif serta pakaian renang.

Ia turut berkongsi komitmennya kepada kelestarian alam sekitar dengan memperkenalkan koleksi RE:LIT. yang diperbuat daripada koleksi Lilit lama yang telah dikembalikan sebagai pakaian kreatif baharu.

Pengurus Pemasaran Lilit, Shasha Sekharan, berkata butik ketiga itu buka selepas dua tahun tertangguh dek pandemik Covid-19.

“Setahun lepas kami kukuhkan platform digital. Ia diikuti dengan pelancaran aplikasi tidak lama lagi. Banyak rancangan yang kami rancangkan untuk 2022 bila keadaan pulih secara perlahan-lahan,” katanya.

Butik berwarna merah jambu itu menampilkan produk dan pakaian yang dipamerkan mengikut kategori bagi kemudahan pelanggan.

Antara menarik perhatian ialah ruangan seperti muzium, di mana orang ramai boleh meneroka setiap sudut dengan mudah. Dengan menggunakan tiang dan reka bentuk lengkung, butik itu mempertingkatkan ruang dengan mencipta laluan dan aliran yang berbeza, membolehkan pelanggan meneroka butik itu dengan lebih selesa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×