Rambut yang cantik dan sihat amat penting dalam menyempurnakan penampilan diri setiap individu. Setiap orang memiliki warna rambut semula jadi yang unik.
Warna-warni semula jadi seperti hitam, perang muda (blonde), merah, perang ataupun warna putih.
Namun bila sinar rambut kian pudar tidak hairanlah ada yang mengambil keputusan untuk mencantikkannya semula dengan pelbagai kaedah termasuk merubah warna semula jadi menggunakan pewarna rambut.
Bagaimanapun yang menjadi masalah apabila terlalu kerap merubah rambut, boleh meningkatkan risiko kerosakan rambut termasuk alahan kulit kepala.
Pakar Dermatologi Pantai Hospital, Sungai Petani, Kedah, Dr. Loh Ken Chen berkata, bila individu terlalu kerap merubah warna rambut, boleh meningkatkan risiko kerosakan rambut dan megalami alahan kulit.

Katanya, gejala alahan terhadap pewarna rambut termasuk sensasi gatal dan terbakar pada kulit kepala, muka, belakang telinga dan leher.
“Kulit boleh bertukar menjadi merah, berair dan lepuh. Bukan setakat itu, kadangkala ia turut melibatkan kawasan sekitar kelopak mata, bibir, tangan atau kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai tabiat segelintir individu yang suka bereksperimen dengan gaya termasuk terlalu kerap merubah warna rambut menggunakan pewarna rambut.
Dr. Loh menjelaskan situasi itu berlaku berikutan sesetengah tindak balas individu terhadap bahan kimia yang terkandung dalam pewarna rambut.
“Hingga kini, tiada bukti jelas menyatakan kerap merubah dan mewarna rambut menggunakan pewarna rambut boleh meningkatkan risiko mendapat kanser. Namun ramai yang mengadu pewarna rambut boleh menjejaskan pernafasan individu seperti sesak nafas dan asma,” katanya.
PEWARNA RAMBUT GUNA BAHAN KIMIA
Umumnya pewarna rambut mengandungi ammonia atau monoethanolamine dan peroxide bagi membolehkan ia bertindakbalas mengeluarkan warna terhadap rambut.
Ammonia boleh menembusi batang rambut manakala peroxide melunturkan pigmen semula jadi pada rambut.
Proses berkenaan, pada dasarnya boleh merosakkan rambut, apatah lagi sekiranya ia dilakukan secara berlebih-lebihan.
“Pendedahan kepada bahan kimia boleh menyebabkan struktur rambut mudah pecah, sekali gus lebih mudah gugur,” katanya.

Tambah Dr. Loh, bahan kimia berkenaan tidak setakat merosakkan rambut tetapi turut memberi mudarat kepada kesihatan individu.
“Paraphenylenediamine (PPDA), toluene-2, 5-diamine, lead acetates, ammonia, hydrogen peroxide, persulfat. PPDA, toluene-2, 5-diamine adalah agen alahan yang boleh membawa alahan kulit.
Sementara lead acetates pula bukan saja mudah diserap melalui kulit. Tetapi turut berupaya meresap ke pelbagai organ dalaman. Ia adalah satu neurotoksin.
“Persulfat adalah bahan kimia yang terdapat dalam agen pemutihan pewarna rambut. Sebilangan besar produk rambut komersial mengandungi 60 peratus persulfat, penyedutan berterusan boleh menyebabkan batuk, sakit tekak dan juga asma. Ammonia dan hydrogen peroxide boleh merosakan rambut jika digunakan berlebihan,” katanya.

Lantaran itu, Dr. Loh menjelaskan individu yang mahu menggunakan pewarna rambut untuk merubah warna rambut lakukan penyelidikan terlebih dahulu bagi memastikan pewarna rambut dipilih selamat digunakan.
“Gunakan produk dari jenama dipercayai yang tidak menggunakan ramuan kimia berbahaya. Kalau nak warnakan rambut, jangan terlalu dekat tempohnya. Mungkin selepas enam minggu, baru boleh warnakan semula,” katanya.
TIPS merubah warna rambut:
1. Jumpa pakar kulit jikalau ada masalah alahan. Pakar boleh menjalankan ujian (patch test) pada kulit untuk mengesan kemungkinan anda mengalami alergi sebelum menggunakan pewarna pada rambut anda.
2. Jumpa individu yang profesional untuk mewarnakan rambut. Terdapat banyak perkara salah bila anda mewarnakan rambut sendiri.
3 Sekiranya mahu mewarnakan sendiri rambut, sentiasa pakai sarung tangan semasa mencampurkan pewarna rambut.
4. Ikut arahan tertera pada produk.
5. Bilas kulit kepala dengan air selepas selesai mewarnakan rambut.
6. Jangan sekali-kali mencampurkan formulasi warna rambut yang berbeza.
7. Jangan sekali-kali mencelup bulu mata atau kening dengan pewarna rambut. Ini boleh merosakkan mata secara kekal dan boleh menyebabkan kebutaan.
8. Ibu hamil tidak digalakkan mewarnakan rambut. Biarpun tiada bukti kukuh menyatakan ia boleh memudaratkan kehamilan, adalah lebih baik elakkan pewarna rambut semasa trimester pertama. Kalau mahu juga mungkin boleh gunakan jenis semi-permanent.










