Apabila doktor memerlukan diagnosis muktamad untuk sesuatu penyakit, mereka bergantung kepada pakar histopatologi untuk mendapatkan jawapan.
Pakar histopatologi bekerja dalam bidang patologi. Ia suatu kepakaran perubatan dalam mengkaji punca penyakit, di mana mereka memainkan peranan penting dalam mendiagnosis sesuatu penyakit, terutamanya dalam diagnosis kanser.

Apabila laporan pakar histopatologi dihantar kepada doktor, doktor berkenaan boleh memahami keadaan kesihatan pesakit, seterusnya menguruskan rawatan penjagaan pesakit sewajarnya.
Permulaan proses
Pakar histopatologi bekerja di makmal perubatan dalam pasukan terdiri daripada antaranya juruteknologi makmal perubatan dan juga pegawai sains.
Menurut Pakar Histopatologi dari Pantai Premier Pathology, Dr. Sarala Ravindran, mereka memerlukan pasukan yang ramai kerana aliran kerja di makmal mengambil masa yang lama.
“Kerja kami bermula apabila spesimen tisu tiba di makmal. Spesimen akan didaftarkan dan diasingkan mengikut keutamaan sebelum menjalani perjalanan proses yang panjang, melibatkan beberapa siri prosedur seperti pengawetan, pembedahan, penyahhidratan, pembersihan, penyusupan lilin dan pembenaman,” katanya.
Dr. Sarala yang memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan berkata, sebagai permulaan, spesimen diletakkan ke dalam agen pengawet cecair (bahan pengikat) seperti larutan formaldehid (formalin).
Proses ini menembusi tisu secara perlahan-lahan menyebabkan perubahan kimia dan fizikal yang akan mengeras dan memelihara tisu serta melindunginya daripada langkah pemprosesan seterusnya.
Spesimen diawet selama enam hingga 24 jam.

Selepas pengawetan, spesimen mungkin memerlukan pembedahan selanjutnya untuk memilih kawasan sesuai untuk pemeriksaan. Spesimen yang ingin diproses akan diletakkan ke dalam kaset berlabel yang sesuai untuk diasingkan daripada spesimen lain.
Setelah dibedah, tisu akan melalui proses dehidrasi. Kebanyakan air di dalam spesimen harus dikeluarkan sebelum ia boleh diserapkan dengan lilin. Proses ini biasanya dilakukan dengan merendam spesimen ke dalam satu siri larutan etanol (alkohol) dengan kepekatan yang meningkat.
Malangnya, walaupun tisu tersebut pada asasnya bebas daripada air, pakar histopatologi masih tidak boleh menyusupinya dengan lilin kerana lilin dan etanol tidak boleh bercampur.
“Kita perlu menggunakan pelarut perantaraan yang akan menggantikan etanol di dalam tisu tersebut. Proses ini dipanggil sebagai ‘pembersihan’,” jelas Dr. Sarala.
Tisu tersebut kini boleh disusupi dengan lilin histologi yang sesuai, di mana ia bertukar menjadi pejal pada konsistensi yang membolehkan bahagian tertentu dipotong secara konsisten.
Apabila spesimen tersebut telah disusupi sepenuhnya dengan lilin, ia perlu dibentuk menjadi ‘blok’ di mana sebuah acuan diisi dengan lilin cair dan spesimen diletakkan ke dalamnya.
Sebuah kaset diletakkan di atas acuan tersebut, ditambahkan lagi dengan lebih banyak lilin dan semua itu diletakkan di atas pinggan sejuk untuk membiarkan ia memejal. Apabila proses ini selesai, blok dan kaset yang dilekatkan bersama itu boleh dikeluarkan daripada acuan dan bersedia untuk proses mikrotomi.
Mengkaji slaid
“Mikrotomi ialah proses memotong tisu yang telah dibenam di dalam blok paraffin. Proses ini dilakukan untuk membuat analisis mikroskopik bagi sel dan tisu.
Penyediaan bahagian (hirisan) yang sangat nipis dan berkualiti tinggi perlu diletakkan pada slaid kaca yang diwarnakan dengan sewajarnya bagi menunjukkan struktur normal dan tidak normal,” katanya.
Keseluruhan proses ini boleh mengambil masa selama enam hingga 24 jam bergantung kepada saiz spesimen. Slaid diwarnakan kini sedia untuk diperiksa pakar histopatologi.
Dr. Sarala menjelaskan sesebuah kes itu mungkin terdiri daripada satu slaid sehingga lebih daripada 40 slaid.
Bagi pakar histopatologi, setiap satu slaid itu, ibarat seorang pesakit.
“Kami perlu mengkaji setiap slaid untuk memberikan diagnosis sesuai. Memandangkan setiap kes boleh berbeza daripada diagnosis mudah hinggalah kepada analisis yang lebih mencabar, pakar histopatologi mungkin mengambil masa antara beberapa minit hinggalah ke beberapa jam untuk setiap slaid,” katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Sarala, bilangan kes tidak menunjukkan bebanan kerja yang mereka lakukan.
“Jika ada tisu itu mempunyai tumor, kes tersebut mungkin memerlukan analisis tambahan. Contohnya pewarnaan khas, imunohistokimia, sitogenetik dan ujian genetik molekul. Ini bagi membolehkan pakar histopatologi dapat mencirikan tumor itu sepenuhnya selain mengenal pasti penanda genetiknya untuk membolehkan doktor membuat keputusan mengenai pengurusan terbaik bagi penyakit,” katanya.
KETERUJAAN
Namun katanya, ada ketikanya kepakaran ahli histopatologi diperlukan dengan kadar segera, contohnya ketika pembedahan sedang dijalankan ke atas pesakit, pakar bedah memerlukan maklumat tertentu untuk memutuskan tindakan dan pengurusan pembedahan selanjutnya bagi pesakit tersebut.
“Inilah waktunya apabila pakar histopatologi perlu menjalankan prosedur pemprosesan tisu yang dipanggil cryosection, atau irisan beku (frozen section).
Prosedur ini dilakukan dalam kriostat iaitu ruangan yang boleh mengekalkan suhu yang sangat rendah. Kriostat digunakan untuk memelihara sampel tisu beku manakala mikrotom, sebuah alat pemotong yang sangat tajam yang dipasang di dalam kriostat, akan menghiris tisu menjadi kepingan yang cukup nipis (4-7 m) untuk dianalisa di bawah mikroskop.
“Terdapat beberapa langkah mesti dilakukan termasuk pemeriksaan kasar dan pensampelan tisu, pembenaman tepat pada tisu, mikrotomi dan mewarnakan slaid berkualiti tinggi dan akhirnya mentafsirkan slaid tersebut. Penyediaan yang kurang baik boleh menyebabkan hasil yang kurang memuaskan, atau salah pentafsiran,” katanya.
Proses itu kata Dr. Sarala amat mencabar kerana terdapat kekangan masa.
“Pakar histopatologi boleh jadi berasa tertekan membuat diagnosis tepat yang akan menentukan tindakan seterusnya untuk pakar bedah.
“Tetapi jangan terkejut sebab momen getir itulah yang amat mengujakan pakar histopatologi,” katanya.










