Minggu ini saya berkongsi kisah Zaiton dan Shamsudin (bukan nama sebenar) yang diuji hidup dalam serba kekurangan dan miskin.
Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Begitupun, pasangan ini tidak pernah mengeluh dengan ujian yang menimpa mereka.
Sebaliknya, Shamsudin berusaha keras untuk menyara keluarganya.
Pun begitu sudah menjadi resam dunia, disebabkan miskin, keluarga mereka sering dihina termasuk oleh ahli keluarga sendiri.
Kisah keluarga ini diceritakan sendiri oleh Ema, anak keempat pasangan tersebut.
Selain Ema, pasangan ini mempunyai lima lagi anak iaitu Noraini, Norana, Safwan dan pasangan kembar Amirul dan Amira.
Akui Ema, kisah itu walaupun telah lima dekad berlalu, tetap segar dalam ingatan mereka adik beradik.
Zaman kanak-kanak mereka tidak seperti orang lain yang menjadi perhatian mahupun kesayangan ibu atau bapa saudara sendiri.
Bukan mahu membuka aib keluarga sendiri, perkongsian ini sekadar untuk berkongsi pengajaran kepada pembaca.
Memulakan cerita, mereka adik beradik dibesarkan oleh bapa yang ketika itu bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah rendah di kampung mereka.
Ibunya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik pula suri rumah sepenuh masa.
Selepas tamat tingkatan Lima, ibu Ema mahu dijodohkan oleh abang dan kakaknya dengan seorang guru sekolah menengah di kampung itu.
Bagaimanapun ibu Ema menolaknya secara baik kerana berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ia tidak dipersetujui abang dan kakaknya yang ketika itu sudah berumahtangga.
Sebaliknya mereka mendesak ibu Ema berkahwin dengan pilihan mereka yang dirasakan dapat menjamin masa depannya.
Dalam masa sama, mereka memasang niat mahu ibu Ema tinggal dan menjaga ibu bapa mereka.
Keengganan ibu Ema menerima cadangan tersebut menyebabkan abang dan kakaknya menyimpan perasaan marah.
Sejak itu, hubungan ibu Ema dengan dua abang dan kakaknya menjadi dingin.
Dua tahun selepas itu, ibu Ema menemui pilihan hatinya sendiri iaitu bapa mereka dan sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
Datuk dan nenek Ema bersetuju dengan pilihan ibunya itu, namun hasrat tersebut ditentang hebat oleh abang dan kakaknya. Pelbagai cara dilakukan untuk memisahkan ibu dan bapa mereka.
Kalau jodoh tidak ke mana. Begitulah kesudahan hubungan mereka yang akhirnya dipaterikan oleh ijab dan kabul.
Dengan sekali lafaz, mereka akhirnya sah menjadi suami isteri dengan berwalikan datuk Ema.
Selepas mendirikan rumahtangga, bermulalah episod duka dalam hidup ibu Ema.
Layanan diterima semakin buruk selepas ibu Ema melahirkan anak sulung, iaitu Noraini.
Selang setahun, lahir pula Norana dan kemudiannya Norman. Ini diikuti Ema seterusnya dua adik kembar mereka.
Membesarkan anak-anak yang ketika masih kecil dan rapat bukan perkara mudah.
Namun pasangan ini tetap tabah membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Disebabkan itu juga mereka sekeluarga sering dipandang rendah oleh ibu dan bapa saudara.
Bukan itu sahaja kata Ema, layanan buruk juga diterima daripada abang dan adik sepupu mereka.
Kebetulan ada antara mereka sebaya dengan kakak, abang dan Ema sendiri.
Ibu dan bapa saudara sering membandingkan anak-anak mereka yang sentiasa dilihat lebih hebat dan baik.
Bermula dari sekolah rendah, memasuki menengah hinggalah ke menara gading.
Walaupun menerima pelbagai hinaan, tidak pernah sekalipun ibu dan bapa Ema melawan.
Ema cukup mengagumi ibu bapanya yang sentiasa merendah diri dan sering menasihatkan anak-anak agar tidak membalas perbuatan mereka.
Walaupun hidup serba kekurangan, ibu bapa mereka tidak pernah mengeluh. Ibu bapa Ema sangat mementingkan pelajaran.
Mereka sentiasa memberi galakan agar anak-anak terus belajar hingga ke peringkat tertinggi.
Ema masih ingat pesanan arwah bapa bahawa mereka tiada harta untuk ditinggal mahupun diberi kepada anak-anak kecuali pendidikan.
Dengan pelajaranlah mereka dapat mengubah kehidupan.
Kesemua mereka enam beradik berjaya melanjutkan pengajian di menara gading dan masing-masing mempunyai pekerjaan dan keluarga sendiri.
Namun begitu, walaupun usia Ema kini mencecah 30 tahun, dia masih belum bertemu jodoh.
Ema percaya segalanya ditentukan oleh Allah Taala.
Adik bongsu mereka, Amirul dan Amira kini menuntut di tahun akhir di salah sebuah universiti di Australia.
Mengenang kembali bagaimana ibu bapa saudara memperlakukan ibu bapa mereka, terlalu sukar untuk dilupakan.
Sehingga ke hari ini mereka berasa cukup terkilan dengan sikap ibu dan bapa saudara terus berkeras hati untuk tidak menerima bapa mereka.
Sehinggalah ketika bapa mereka menghembuskan nafas terakhir pada pertengahan November lima tahun lalu, tiada seorang pun daripada mereka bertanya khabar.
Akui Ema jujur, sehingga hari ini mereka adik beradik tidak mengetahui kenapa ibu dan bapa saudara sangat membenci arwah bapa.
Setiap kali cuba bertanya kepada ibu mereka, tiada jawaban diterima.
Sebaliknya, ibu Ema meminta mereka adik beradik agar melupakan kisah silam dan memaafkan perbuatan ibu dan bapa saudara mereka.
Nasihat ibunya, agar mereka ingat betapa hebatnya ungkapan kemaafan kerana Allah akan meninggikan darjat orang yang memaafkan kesalahan orang lain.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan kepada orang melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya (Riwayat Muslim).










