Barangkali ramai yang tahu bagaimana ‘menikmati’ burger. Tetapi bila burger dimakan dengan mencelup ke dalam sos sudah pasti berbezakan?
Menikmati burger celup ditawarkan di Pasadena Burger & Coffee, memberikan keterujaan kepada saya. Persoalan berlegar dalam fikiran, adakah saya perlu mencelup keseluruhan burger dalam sosnya atau makan seperti mencicah goreng pisang bersama sambal kicap?
Persoalan itu dirungkai Pengasas Pasadena Burger, Cornelius Lu.
Katanya, kadangkala ada pelanggan yang sukakan banyak sos tetapi tidak mahu burger kelihatan ‘comot’.
“Sos ini menjadikan burger tidak terlalu padat dengan sos. Nak makan pun lebih mudah.
“Saya sengaja memperkenalkan kaedah ini. Selain memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan, saya dapati ia lebih menyeronokkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jenama pertama yang memperkenalkan burger celup atau lebih dikenali sebagai dipping burger, ini melancarkan kedai fizikal di Plaza Mont Kiara, di ibu kota baru-baru ini.
IKONIK
Menu ikonik ini menyediakan tiga pilihan sos iaitu keju madu, keju pedas cajun dan keju habanero California Selatan.
“Sos keju ini berasal dari Pasadena, sebuah bandar di dalam California yang terkenal dengan menu burger keju serta beberapa lagi makanan yang menjadi tarikan dunia,” katanya.
Lu berkata, sejak penubuhannya tahun lepas, jenama ini menjamin kualiti yang konsisten dengan menggunakan ramuan bermutu tinggi seperti daging lembu premium Australia, keju cheddar dan roti ala muffin.
Sempat saya mencuba menu iaitu Burger Ayam Bakar dan juga Burger Daging Celup Cheese.
Sebagai penggemar daging, saya jatuh hati pada ‘gigitan’ pertama Burger Ayam bakar, tekstur ayam yang rangup dan sedap dimakan begitu sahaja tanpa perlu dinikmati dengan apa-apa jenis sos.
Itu pengalaman pertama menikmati keju rangup dikombinasikan bersama muffin, daging serta sos keju dan rasa dia boleh tahan sedap!
Item lain dalam menu ialah Burger Ayam Bakar baharu, tiga varian kentang goreng istimewa Pasadena terbaharu, Kentang Keju Cajun, Kentang Goreng Habanero Chili Queso dan Kentang Keju Madu, serta pilihan roti ala muffin baharu untuk burger Celup.
Lu berkata, ramai orang mempertikaikan mengenai menu burger yang dikatakan kurang sihat. Namun beliau optimis mengatakan, bahawa mana-mana sajian sudah pasti ada baik dan buruknya.
“Ia bergantung kepada gaya hidup individu. Sajian enak dan istimewa adalah anugerah untuk diri kita. “Saya tidak menyarankan untuk makan burger setiap hari. Ia bergantung kepada kebijaksanan individu,” katanya.
Berpegang dengan misi untuk menyatukan burger klasik dengan gaya Amerika, Pasadena Burger & Coffee turut memperkenalkan menu Milkshake California.
“Di California, ramai orang makan burger bukan bersama air berkarbonat, sebaliknya milkshake,” katanya.
Minuman diperbuat daripada 100 peratus ais krim ini merupakan gandingan sempurna untuk dinikmati bersama burger ala Western bagi memberi rasa enak dan mewah.










