“HAIWAN eksotik juga layak disayangi dan dibelai seperti haiwan peliharaan lain seperti kucing dan anjing. Namun, individu yang ingin membela haiwan eksotik perlu mempunyai cukup ilmu mengenainya,” ujar influencer haiwan ternakan, Nur Nina Farisha Woo Abdullah.
Disebabkan kurang kesedaran tentang haiwan eksotik dalam kalangan masyarakat, wanita berusia 24 tahun itu dan suami, Zulaiman Din tekad berkongsi ilmu mengenai peliharaan haiwan di media sosial bagi membuka minda dan menarik ramai pencinta haiwan.
“Saya dan suami bersama-sama kongsi ilmu tentang haiwan eksotik ini kepada umum terutama di media sosial. Di Malaysia, kita tidak terlalu terdedah dengan haiwan eksotik berbanding luar negara seperti Indonesia dan Amerika Syarikat. Kita sering dimomokkan semua ular atau biawak berbisa dan berbahaya malah sering dinasihatkan untuk tidak menyentuh dan mendekati haiwan ini.
“Sebenarnya, jika kita selalu melihat atau belajar tentang haiwan eksotik, tidak semua bahaya dan berbisa. Malah ia sangat tenang dan mudah untuk dijaga. Contohnya, ular hanya diberi makan satu atau dua minggu sekali berbanding haiwan mamalia seperti kucing atau anjing yang perlu makan setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
KESEDARAN LINDUNGI HAIWAN PUPUS
Tambah Nur Nina Farisha atau lebih mesra disapa Nina, dia turut memasang impian menjadi individu yang berjaya memupuk kesedaran terhadap haiwan eksotik terutama cara melindunginya bagi mengurangkan dan menangani kepupusan haiwan-haiwan.
“Banyak haiwan yang hampir pupus bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Sebab itulah saya ingin memupuk kesedaran perlunya melindungi haiwan yang sedia ada agar generasi akan datang juga dapat melihat, menyentuh dan mengenal haiwan-haiwan ini.
“Dengan cara menyebarkan info tentang haiwan eksotik, saya yakin kita mampu untuk melahirkan generasi yang akan melindungi dan lebih menyayangi haiwan-haiwan. Siapa tahu, generasi akan datang berupaya mencipta teknologi baharu untuk melindungi haiwan-haiwan. Secara tidak langsung, kes haiwan pupus dan terancam akan menjadi sangat rendah,” katanya yang terlalu obses dengan haiwan eksotik seperti ular dan biawak sejak berusia 18 tahun.
SUAMI ‘GURU’ AJAR TERNAK HAIWAN
Kongsi Nina, dia juga ‘berguru’ bagi mempelajari dan mendalami mengenai haiwan eksotik untuk tidak bercakap kosong kepada audien malah banyak belajar daripada suaminya, Zulaiman, 24, dan veterinar.
“Suami sangat menyayangi haiwan. Dia ada ilmu yang banyak tentang haiwan eksotik berbanding saya. Dia belajar tentang haiwan eksotik bertahun-tahun awal daripada saya. Daripada situlah saya belajar dengannya termasuk sifu dan veterinar.
“Suami juga yang mengajar saya cara-cara untuk ternak haiwan eksotik. Minat semakin membuak-buak selepas dia (ketika itu rakan sekelas) membawa beberapa ekor haiwan eksotik ke kelas sebagai presentation untuk tugasan kami di kolej,” katanya.
HAIWAN EKSOTIK JANA PENDAPATAN
Nina dan Zulaiman turut menjual haiwan eksotik dimilikinya bagi menjana pendapatan.
“Pada awalnya saya hanya membuat dropship, menjual sebagai kerja sampingan dan hobi. Permintaan tidak begitu tinggi berbanding haiwan yang bukan eksotik seperti kucing, anjing, arnab, hamster dan burung.
“Namun selepas kerap berkongsi di laman media sosial, permintaan haiwan eksotik terus meningkat. Lebih 300 ekor berjaya kami ternak dan biak. Antaranya Reticulated Pythons (Ular Sawa Batik); Ball Pythons (Ular Sawa Bola); Green Tree Pythons (Ular Sawa Pokok); Kingsnakes (Ular Diraja); Ratsnakes (Ular Tikus); Water Monitors (Biawak Air); Bearded Dragon (Naga Berjanggut), Chameleons (Sesumpah), Iguana, Kucing Bengal dan Kucing Sphynx,” katanya.
Harga jualan ditawarkan antara RM120 hingga RM12,000 seekor, bergantung kepada jenis, spesies, umur, saiz dan jantina.
“Paling murah yang kami jual adalah katak spesies Pacman Frog iaitu berharga RM120 untuk Albino dan Strawberry Pacman. Cornsnake bermula daripada RM300 hingga RM3,500. Antara termahal adalah Ular Sawa Batik antara RM750 hingga cecah RM12,000 bergantung pada saiz, umur dan jantina. Kura-kura darat dijual antara RM550 hingga RM1,200 serta lizards bermula daripada RM350 hingga RM3,000.
“Biasanya pelanggan yang berminat dengan haiwan eksotik ini selepas mereka membaca dan mendengar ilmu yang kami kongsikan. Kemudian mereka dapatkan haiwan eksotik peliharaan itu daripada kami,” katanya.
TANDA HAIWAN PERCAYA PADA TUANNYA
Setiap pemilik haiwan peliharaan pasti ada pengalaman pahit dan manis. Bagi Nina, pengalaman pahit sebagai penternak semestinya apabila haiwan peliharaan mati.
“Semua pemilik haiwan pasti akan berduka apabila haiwan peliharaan yang disayangi dan dibela dari kecil tidak dapat bertahan lama atau mati. Itu persediaan mental yang perlu dihadapi oleh pemilik haiwan peliharaan.
“Namun pengalaman manis adalah apabila haiwan percayakan tuannya,” katanya.
Kongsinya, antara tanda-tanda haiwan percayakan tuannya adalah apabila haiwan tersebut tidak lari menyembunyikan diri atau menyerang malah apabila dihulur tangan atau dekat kepadanya, ia akan datang atau memanjat kepada individu itu.
PENTERNAK BAHARU
Bagi yang baharu berjinak-jinak memelihara haiwan eksotik, dicadangkan untuk membela ular kerana ia merupakan haiwan eksotik paling mudah dijaga.
“Ular diberi makan satu atau dua kali seminggu sahaja dan ia akan membuang air besar juga sekali seminggu. Kandangnya hanya perlu dicuci sekali setiap minggu manakala makanannya bergantung pada saiz atau diet ular tersebut.
“Contohnya, Ular Sawa Batik dewasa akan makan dua ekor ayam atau tiga hingga empat ekor arnab. Ular sawa atau colubrids seperti Ratsnake, Cornsnake dan Kingsnake pula akan diberi puyuh atau tikus,” katanya yang berpandangan menjaga kucing lagi ‘banyak kerja’ kerana kucing akan makan setiap hari dan sangkarnya perlu dibersihkan hampir setiap hari.










