Amaran jatuh cinta pada Islam - Utusan Malaysia

Amaran jatuh cinta pada Islam

Amaran Yanasegran gembira bila kini dikenali dengan nama Amir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak zaman kanak-kanak, Amaran a/l Yanasegran teringin bersolat seperti orang Islam. Namun, beliau bukan datang daripada keluarga Islam.

Malah, mendengar azan dikumandangkan hatinya sayu apatah lagi melihatkan rakan-rakan Muslim menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Terasa bagai ingin turut sama.

Amaran sejak di bangku sekolah lagi akan membaca surah al-Fatihah bersama rakan-rakan Muslim sewaktu perhimpunan.

Walaupun hatinya terpaut dengan Islam, dia masih dibelenggu pandangan negatif terhadap agama suci ini yang dilihat agak keras dan bersikap memaksa.

Selain itu, dia melihat terlalu banyak batas dan pantang larang dalam Islam seperti tidak boleh minum arak, wajib solat dan puasa menyebabkan penganutnya tidak bebas.

“Selain itu, saya juga melihat Islam agama yang zalim kerana orang yang mencuri hukumnya potong tangan. Terlalu banyak buruk sangka dalam fikiran saya sebelum mengambil keputusan memeluk Islam,” katanya ketika ditemui di Bentong, Pahang.

Setelah dewasa, himbauan solat semakin menggegar hati dan sekarang ia bukan lagi mimpi sebaliknya kini Amir atau nama asalnya Amaran a/l Yanasegran dapat bersolat bersama mereka.

Akhirnya pada 30 Mei 2013, Amir mengucapkan dua kalimah syahadah dan bersyukur kerana dapat memulakan hidupnya yang baharu sebagai seorang Muslim.

Namun yang merungsingkannya sehingga kini ialah ahli keluarganya masih tidak dapat menerima keputusannya menukar agama. Bahkan mereka tidak mengizinkannya menjejakkan kaki ke rumah.

Ajaran Islam itu suci dan murni, Amir sedar hakikat bahawa Islam sangat mengutamakan hubungan kekeluargaan terutamanya dengan ibu-bapa dan keluarga.

Oleh itu, beliau terus berusaha semampu yang boleh mengeratkan hubungan dengan mereka selain terus berdoa agar Allah menyinari hati keluarganya dengan hidayah Islam.

Selain menjadi siak di masjid, Amir juga bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara hidupnya.

Amir mengakui antara cabaran yang masih dihadapinya adalah berhadapan rakan-rakan yang cuba mempengaruhinya untuk kembali ke agama asal.

“Saya cuba jelaskan perkara yang sebenar dan betul tentang ajaran Islam tetapi mereka tak dapat terima dan masih berpegang kepada tanggapan negatif tentang Islam.” jelasnya.

Amir berkata, selain minat terhadap ajaran Islam, dia juga berada dalam persekitaran kondusif ketika menetap dengan keluarga di kuarters JKR di Parit Buntar, Perak.

“Sepanjang di sana kira-kira 11 tahun saya banyak belajar tentang Islam daripada kenalan orang Melayu dan ini sedikit sebanyak memudahkan saya mendekati Islam.

“Cuma saya belum yakin untuk berdakwah kepada orang lain kerana mahu belajar tentang Islam dengan mendalam terlebih dahulu.

“Insya-Allah satu hari nanti saya akan menyebarkan ajaran Islam terutamanya kepada ahli keluarga terdekat,” katanya.

Bersarapan dengan roti bakar telur goyang
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sembahlah kamu sekalian akan Tuhanmu dan sebarkan salam dan jamulah akan makanan nescaya kamu sekalian akan masuk ke dalam syurga. (Riwayat Ibnu Hibban)
Begitu besar ganjaran yang diberi kepada mereka yang menjamu makan kepada orang lain. Jamuan itu pula tidak semestinya besar kerana yang lebih utama adalah keikhlasan si pemberi.

Menyedari hal ini, Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor mengambil inisiatif menyediakan sarapan pagi kepada para jemaah pada hari Ahad.

Ia diadakan sebulan sekali usai kuliah Subuh.

Langkah ini sebagai usaha ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk menarik masyarakat hadir dan mengimarahkan lagi program-program yang dianjurkan.

Selain menjadi lokasi utama solat berjemaah, masjid juga mempelbagaikan aktivitinya termasuk mengadakan program kemasyarakatan.

Apa yang istimewa, ia menyajikan menu roti bakar, roti kukus dan telur ayam kampung separuh masak yang disediakan secara bergotong-royong oleh kru dapur seramai sembilan orang.

Ia diketuai oleh AJK masjid, Azhar Sani yang juga Chef Bakery di salah sebuah hotel terkenal di Subang Jaya. Beliau menggunakan roti benggali yang dibakar dengan arang.

Program yang kali pertama diadakan pada 28 November lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada para jemaah lelaki dan juga wanita. Selain itu, jemaah disajikan nasi lemak daun pisang dan minuman panas.

Berikutan itu, program yang sama diadakan buat kali kedua pada 5 Disember lalu. Kali ini jumlah telur separuh masaknya meningkat sekali ganda kepada 180 biji berbanding 120 biji pada minggu sebelumnya.

Rata-rata para jemaah berpuas hati dengan menu yang disajikan. Masing-masing tersenyum lebar sambil menikmati sarapan pagi yang ringkas tetapi enak. Malah, ramai turut menghulurkan sumbangan supaya aktiviti itu diadakan dari semasa ke semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN