5 sifat utama guru mursyid tarekat - Utusan Malaysia

5 sifat utama guru mursyid tarekat

Kitab 'Muqaddimat al-Tasawwuf' oleh Syeikh Ahmad Zarrouq al-Fasi (w. 899H). Kitab ini dianggap sebagai panduan bagi pemula dalam ilmu tasauf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu polemik yang selalu dibangkitkan untuk mengkritik tarekat tasauf adalah dakwaan negatif terhadap guru-guru mursyid tarekat.

Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada mursyid-mursyid seperti taksub, mengkultuskan, menggunakan murid untuk habuan dunia dan lain-lain.

Di sisi lain pula, memang muncul beberapa orang yang mendakwa sebagai guru ilmu hakikat akan tetapi sosoknya jauh daripada kesolehan beribadah.

Solat tidak lagi wajib, berwirid tidak lagi menjadi tiang amalan, bahkan ada laporan tentang pencabulan – na’uzubillahi min zalik. Orang seperti ini adalah penunggang agama yang wajib dijauhi.

Maka lahir pula pemikiran bahawa tasauf itu perlu tetapi guru mursyid tidak perlu. Mereka beranggapan zaman Rasulullah SAW tiada guru mursyid ataupun tarekat sehingga bertarekat dan bermursyid pada zaman ini bidaah lagi sesat dan keji

Ada pula mungkin berkata dahulu ada guru mursyid seperti Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani (w. 561H) akan tetapi sekarang tiada lagi guru mursyid. Maka berguru di dalam ilmu tasauf tidak lagi menjadi kelaziman.

Menurut ilmu tarekat tasauf pula menuntut ilmu tasauf tanpa bimbingan guru sangat berbahaya. Ia diibaratkan seperti menuntut ilmu fikah melalui bacaan semata tanpa guru yang mengajarinya.

Bagaimana seorang murid yang ingin mencari ketenangan jiwa melalui amalan berzikir sesuai dengan firman Allah SWT: Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia (al-Ra’d: 28).

Mengetahui cara-cara berzikir kalau tidak melalui jalan suhbah dan tarbiah seorang guru. Guru inilah yang dikenal dalam ilmu tasauf dengan nama mursyid.

Oleh sebab itu Qutb al-Aqtab Syeikh Abu Madyan (w. 594H) berkata: “Sesiapa yang tidak mengambil adab daripada pendidik, maka dia akan merosakkan orang yang mengikutinya”.

Semua kekeliruan ini sebenarnya dapat diselesaikan kalau kita benar-benar mengetahui dan mengenal ciri-ciri mursyid yang sememangnya telah diajar oleh ulama tasauf sejak dahulu.

Dalam hal ini, Syeikh Ahmad Zarrouq al-Fasi (w. 899H) telah menyediakan sebuah buku ringkas, lengkap dan mudah bagi pemula yang ingin mengetahui ciri-ciri mursyid agar tidak tersalah memilih guru.

Buku ringkas ini berjudul Muqaddimah al-Tasawwuf.

Syeikh Ahmad Zarrouq di dalam kitab ini menjelaskan, seorang guru mursyid tarekat tasauf mestilah memiliki lima sifat utama.

Pertama: Ilmu. Seseorang yang tidak memiliki ilmu yang cukup, seperti tidak mengetahui bahasa Arab sebagai ilmu alat Islam, tidak mengetahui ilmu fikah, akidah, bahkan ilmu tasauf, maka bagaimana mungkin ia dapat mengajar muridnya dengan ajaran yang betul?

Sedangkan dia sendiri tidak memiliki ilmu untuk menilai benar dan salah? Maka apa yang akan terjadi hanyalah nasihat dan tausiah yang caca merba dan merapu.

Kedua: Semangat. Orang yang tiada semangat atau himmah dalam mendidik ummah juga tidak sepatutnya menjadi guru mursyid.

Ini disebabkan, tugas mursyid adalah bergerak untuk berdakwah tanpa mengira nyawa dan harta.

Segalanya dikorbankan demi umat Islam dan berdakwah semata-mata berharap akan ganjaran Allah swt. Orang yang tidak memiliki semangat berdakwah, tentulah dakwahnya lambat atau tidak memberi kesan kerana tidak memberi komitmen sepenuhnya untuk jalan Allah swt semata.

Ketiga: Keadaan yang sahih. Maksud halnya yang sahih iaitu orang tersebut mestilah sehat akal dan rohani, bukan gila, majzub atau sawan.

Orang yang majzub di sisi ulama tasauf tidak boleh diambil ilmu darinya kerana kalamnya tidak istiqamah dan selalu berada di luar kesedarannya. Kalau mengambil ilmu dari majzub tidak boleh, maka apatah lagi ia dijadikan guru mursyid.

Keempat: Adab. Adab yang mulia adalah kunci mengenal ulama yang agung. Sabda Nabi Muhammad SAW: Aku hanya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Riwayat al-Bukhari dalam Adab Mufrad)

Berdasarkan asas ini, tiada tasauf jika tiada akhlak. Maka adab yang mulia adalah syarat utama bagi setiap guru mursyid. Ia mesti memiliki sopan santun yang mulia serta dipandang mulia juga.

Orang yang buruk budi pekertinya, dibenci oleh ulama lain, lidah suka mengkafirkan sesama muslim serta menuduh sana-sini bukanlah tanda ia memiliki akhlak yang mulia.

Kelima: Pengalaman. Seorang guru mursyid mestilah memiliki pengalaman yang lama di dalam jalan tasauf. Bersuhbah dengan guru-guru tasauf.

Istiqamah di dalam beramal dengan amalan sunat selain teguh dengan amalan yang wajib. Pernah bersuluk dan memimpin zikir selain aktif berdakwah atas perintah gurunya. Semua pengalaman ini penting sebelum seseorang itu jadi mursyid.

Syeikh Ahmad Zarrouq juga menjelaskan bahawa guru mursyid itu pasti ada. Cuma, ada beberapa penghalang yang menjadikan susah bagi seseorang untuk menemukannya.

Misalnya, jika ada orang yang meletakkan persepsi yang terlalu tinggi pada zaman ini, maka sudah tentu ia tidak menemukannya. Bersifat realistik dengan zaman adalah sangat perlu. Dengan syarat, ketakwaan dan patuh dengan syariat zahir itu adalah wajib yang tidak boleh ditawar-tawar lagi.

Oleh sebab itu Syeikh Ahmad Zarrouq menukilkan kata-kata Syeikh Abu Madyan: “Seorang syaikh itu ialah orang yang disaksikan dirimu, padanya ada suatu wibawa, dan lubuk hatimu terdalam pula menyaksikannya dengan keagungan.

‘Shaikh’ ialah orang yang menyempurnakanmu dengan akhlaknya, membimbing adab kepadamu dengan gerak-gerinya dan menyinari batinmu dengan limpahan sinarnya.

‘Shaikh’ ialah orang yang menghimpunkan dirimu (dengan Allah) ketika dia hadir bersamamu, dan memeliharamu ketika ketiadaannya.”

Benarlah kata-kata Syeikh Zarrouq bahawa mursyid palsu ada tiga:

1) Mengikuti keinginan diri pada setiap masa dan keadaannya;

2) Ingin mendapatkan perhatian makhluk dalam mu’amalah kepada mereka;

3) Anggota fizikalnya bergelumang dengan maksiat tanpa merasa malu ataupun berhenti daripadanya.

Semoga kita terselamat daripada penipu seperti ini.

  • Dr. Ayman al-Akiti adalah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN