TikTok jadi hobi Shiha - Utusan Malaysia

TikTok jadi hobi Shiha

TikTok beri impak positif dalam kerjaya Shiha Zikir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh pandemik Covid-19, khalayak termasuk artis tempatan, pasti punyai hobi tersendiri, bagi memenuhi masa terluang.

Mengikuti rapat perkembangan karier dan peribadi penyanyi dan pelakon terkenal, Shiha Zikir, beliau dilihat begitu aktif di aplikasi TikTok @shihazikir. Boleh dikatakan ada sahaja kandungan hiburan dikongsinya setiap hari.

Jelas penyanyi lagu Irama dan AEWO ini, hobi baharu berkenaan bukan sahaja sekadar hiburan untuk dirinya, malah buat peminat setia dan pengikutnya di media sosial.

“Sejujurnya hobi ini tidaklah saya meletakkan tetapan sehari berapa kandungan akan buat, ikut keadaan dan mood juga.

“Tetapi kalau datang rajin itu, sehari sampai lima kandungan pun saya gigih membuatnya. Kalau kurang rajin dan kurang sibuk dengan kerja, dalam seminggu mungkin lima sahajalah,” kata bekas protege penyanyi legenda, Datuk Sharifah Aini dalam program Mentor musim kelima ini.

Menurut Shiha, segelintir pengguna mungkin melayani aplikasi itu, sekadar suka-suka, tetapi sebaliknya buat dirinya.

“Saya nampak manfaatnya sebagai ruang hiburan yang dapat mengeratkan hubungan antara keluarga, rakan-rakan dan peminat,” kata pemilik nama penuh Nurshiha Mohd Zikir ini.

Mesra disapa Shiha, katanya, dia juga mencipta kandungan yang dapat menghilangkan rasa tekanan umum seperti buat lawak menerusi parodi komedi, menari seperti cabaran lagu dan banyak lagi.

“Bakat nyanyian, tarian dan lakonan bukan sahaja dimanfaatkan untuk kerjaya semata-mata, sebaliknya untuk membantu masyarakat hari ini yang ramai berdepan dengan masalah kemurungan.

Perkongsian kandungan di TikTok saya mungkin boleh menceriakan,” katanya.

SHIHA kini sedang menjalani drama bersiri 20 episod bertajuk, Ada Apa Dengan Saka.

Impak hobi dalam karier

Pada era media sosial ini, penyanyi berusia 34 tahun ini percaya bahawa TikTok secara tidak langsung memberi impak positif dalam kerjayanya.

“Kalau sebelum media sosial ramai dalam kalangan artis bertemu peminat menerusi sesi tertentu atau pun selepas konsert atau siri jelajah.

“Kini dengan adanya media sosial seperti Instagram, TikTok dan sebagainya, ia sebenarnya memberi impak positif untuk insan seni berinteraksi dengan peminat.

“Selalunya kalau ada pengikut di Instagram yang ikut kandungan saya di TikTok. Saya akan muat naik dan ulang siar semula,” katanya.

Mengulas perkembangan karier pula, penyanyi persis wajah penyanyi terkenal Indonesia, Rossa ini memberitahu, dia bakal menjalani penggambaran muzik video single terbaharu, Irama.

Dia juga sedang mempromosikan lagu runut bunyi drama bersiri Keluarga Untuk Disewa berjudul, Dijaja.

“Buat masa sekarang saya sedang menjalani drama bersiri 20 episod bertajuk, Ada Apa Dengan Saka yang akan disiarkan di saluran TV9,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×