SEBUT sahaja nama Sungai Rambai, sudah terbayang pelbagai pembangunan wujud di daerah yang bersempadan dengan Muar, Johor.
Terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari bandar Melaka, daerah itu tersohor dengan kepelbagaian tarikan menarik.
Daripada sebuah daerah terpencil sejak sepuluh tahun lalu, kini Sungai Rambai mula dikenali ramai kerana beberapa produk pelancongan dan beberapa infrastruktur yang ada. Laman Belia 1Malaysia antara yang menarik perhatian.
Ini kerana selain menjadi tempat riadah orang ramai dengan adanya jambatan gantung, paling mencuri perhatian adalah kejernihan air Sungai Kesang bak kristal clear hingga tular di media sosial semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.
Bukan itu sahaja, daerah itu juga mempunyai lapangan terbang khusus untuk pesawat ringan dikenali sebagai Sungai Rambai Aerodrome.
Ia diiktiraf sebagai lapangan terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selain pernah menganjurkan beberapa kali Karnival Udara Sungai Rambai sejak 1999.
Selain itu, pembinaan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) juga menjadikan Sungai Rambai mempunyai pelbagai infrastruktur atas inisiatif bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Datuk Hasan Rahman.
Kini, daerah itu mengorak langkah bakal menjadi pusat kegiatan Islam di Gerbang Selatan yang dijangka berkembang pesat tidak lama lagi.
Bermula dengan terbina masjid terindah, Al-Hassanal dengan kubah hijaunya serupa dengan Masjid Nabawi di Tanah Arab yang melindungi makam Nabi Muhammad SAW.
Disusuli pula wujudnya Mahkamah Rendah Syariah yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada Mac 2017.
Ia terletak bersebelahan Masjid Al-Hasanah, mengorak langkah ke arah menjadikan daerah itu sebagai pusat kegiatan Islam, mula menjadi kenyataan.
Mahkamah Syariah yang beroperasi pada 14 Mei 2016 bersebelahan dengan Masjid Al-Hassanal itu bagi memberi kemudahan pendaftaran dan pendengaran kes-kes kepada penduduk setempat dan masyarakat sekelilingnya.
Ia melibatkan kawasan Umbai, Merlimau, Serkam, Sungai Rambai dan lain-lain kawasan yang berhampiran.

Akademi al-Quran
Terbaharu, daerah itu bakal mempunyai Akademi al-Quran Sungai Rambai iaitu sebuah institusi yang akan mengkaji, mengajar dan mendidik generasi mudah ke arah celik al-Quran bagi manfaat penduduk di situ.
Tapak pembinaan akademi itu sudah dikenal pasti terletak di kawasan masjid Al-Hassanal di kawasan seluar 1.2 hektar dengan kos pembinaan keseluruhan RM5 juta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hasan berkata, idea membina akademi tersebut bermula sejak beliau menjadi wakil rakyat pada 2008 tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tidak ada pihak swasta mahu bekerjasama.
Menurutnya, hasrat merealisasikan pembinaan akademi tersebut terhenti hingga tahun ini. Idea itu timbul semula selepas sebuah syarikat swasta menyatakan kesanggupan bekerjasama dengan memperuntukkan RM5 juta.
“Saya seperti dibuai mimpi dan seperti tidak percaya kerana ada pihak mahu memberikan peruntukan bagi merealisasikan hasrat saya untuk membina akademi ini.
“Sungai Rambai sudah ada masjid baharu dan Mahkamah Rendah Syariah. Dengan wujudnya akademi ini, ia dapat mendidik generasi muda ke arah celik al-Quran,” ujarnya.
Menurutnya, pembelajaran di akademi berkenaan akan meliputi semua aspek berkaitan al-Quran, dengan kemudahan asrama, bilik kuliah, perpustakaan, kantin dan sebagainya bagi memudahkan pembelajaran di situ.
Beliau berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut memberi persetujuan membantu akademi berkenaan seperti penyediaan tenaga pengajar dan bentuk kaedah pengajaran.
Penubuhan akademi itu kata Hasan lagi, adalah sejajar dengan usaha untuk melahirkan qari dan qariah negeri ini yang berupaya membawa saingan ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Impian saya ingin melihat suatu hari nanti, para pelajar menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran di usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah. Akademi ini meletakkan sasaran untuk melahirkan ramai huffaz setiap tahun,” ujarnya.
Sehubungan itu jelasnya, akademi tersebut apabila siap kelak dalam tempoh tiga tahun ia akan dapat membantu para pelajar mencapai impian untuk menjadi hafiz dan hafizah 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun.
Lebih penting ujarnya, dengan adanya akademi tersebut mampu merubah lanskap pendidikan negara dalam tempoh 10 tahun akan datang dan menjadikan pengajian tahfiz sebagai teras pengajian sebelum ke peringkat menengah.
Penduduk bangga, teruja
PENDUDUK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menyambut baik usaha untuk membangunkan Akademi al-Quran Sungai Rambai bernilai RM5 juta yang akan mula dibina tahun hadapan.
Mereka menyifatkan dengan wujudnya akademi tersebut, ia dapat membantu anak-anak di daerah itu untuk dididik menjadi hafiz dan hafizah 30 juzuk al-Quran.
Seorang penduduk, Rosnan Mahat, 61, dari Kampung Parit Sidang Seman berkata, pembinaan akademi itu secara tidak langsung dapat melonjakkan nama daerah itu menjadi pusat kegiatan Islam di Gerbang Selatan.

“Usaha ini amat disanjung tinggi demi untuk anak-anak di daerah ini dapat mengikuti pengajian al-Quran. Anak-anak generasi muda seharusnya didedahkan untuk melahirkan ramai celik al-Quran.
“Saya sebagai anak jati kelahiran di sini sangat teruja dan berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Hasan Rahman,” ujarnya.
Pendapat yang sama dikongsi peniaga, Mohd. Shaiful Yusof, 42, dari Kampung Parit Penghulu yang berkata, ia satu usaha yang harus disokong oleh seluruh penduduk di Sungai Rambai.

Menurutnya, dengan tertubuhnya akademi itu tidak lama lagi memberi peluang kepada anak-anak generasi muda di sini menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran.
“Secara tidak langsung perkembangan Islam di daerah ini dapat ditingkatkan. Melihat kemudahan di akademi ini ia sungguh mengagumkan.
“Sebagai penduduk di sini, saya cukup bangga jika daerah ini dijadikan pusat pengembangan Islam dan bukan hanya akademi dibina tetapi banyak lagi aktiviti keislaman dapat diwujudkan,” ujarnya.










