Pokok bukit Perlis bernilai tinggi - Utusan Malaysia

Pokok bukit Perlis bernilai tinggi

Nor Hisham Md. Saad menunjukkan pokok Bogak, yang memiliki nilai tinggi. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN keindahan flora dan fauna, bukit-bukit di sekitar negeri ini juga mempunyai keunikan dengan kewujudan pokok-pokok yang mempunyai nilai tinggi.

Antaranya, pokok bogak atau paku aji dan pokok pandan bukit iaitu sejenis tumbuhan liar spesies paku pakis yang tumbuh di celah batu di puncak bukit.

Istimewanya, pokok berkenaan mempunyai nilai komersial cukup tinggi sebagai tanaman hiasan dengan harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Malah, bagi peminat tanaman hiasan, mereka tidak kisah berbelanja lebih atau sanggup menempuh perjalanan jauh beratus kilometer khususnya dari Kelantan, Terengganu atau Johor untuk ke negeri ini bagi mendapatkan pokok tersebut.

Difahamkan, pokok bogak hanya terdapat di bukit atau gunung sekitar negeri ini dan Kedah manakala pokok pandan bukit pula dikatakan hanya wujud di puncak bukit negeri ini.

Bagi seorang penduduk, Nor Hisham Md. Saad, 50, dari Kampung Nesam, Kurung Batang, Kangar, Perlis, dia sanggup menempuh cabaran memanjat sehingga puncak bukit bagi mendapatkan pokok tersebut.

Nor Hisham sentiasa memantau koleksi pokok bogak yang dimilikinya di Kampung Nesam, Kurung Batang, Kangar, Perlis.

Dia juga mempunyai sekitar 15 pokok bogak termasuk berusia lebih 200 tahun yang ditemukannya di puncak bukit di Kampung Ujung Bukit di sini, sekitar 10 tahun lalu.

Selain itu, Nor Hisham juga mempunyai puluhan pokok pandan bukit dan dalam masa turut menjual pokok berkenaan kepada peminat tanaman hiasan tersebut yang kebanyakkan dari luar negeri ini.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia sering meluangkan masa lapang bersama rakan-rakan memanjat bukit di sekitar kawasan Batu Pahat di sini bagi mencari pokok berkenaan khususnya bogak.

Katanya, bagi mendapatkan pokok tersebut bukannya mudah dan perlu menempuh pelbagai cabaran serta berdepan risiko kerana pokok itu tumbuh di celah batu di puncak bukit.

Disebabkan itu, katanya, harga pokok tersebut bernilai cukup tinggi dan bagi peminat tanaman hiasan itu, mereka sudah pasti memahami bagaimana kesukaran bagi mendapatkan pokok bogak berkenaan.

Malah dia juga pernah menjual pokok bogak dengan nilai RM12,000 kepada seorang pelanggan dari Terengganu, malah terdapat pokok yang harganya boleh mencecah sehingga RM30,000.

“Dahulu pokok bogak yang terdapat di rumah saya cukup banyak namun banyak juga yang telah dijual. Yang ada ketika ini, adalah pokok-pokok yang berusia lebih 200 tahun, 20 tahun, 10 tahun dan setahun.

“Pokok berusia 200 sekitar 200 atau 300 tahun di rumah saya ketika ini, ditemukan kira-kira 10 tahun lalu ketika mencari pokok berkenaan bersama rakan-rakan. Masa saya temukan pokok itu, ia sudah besar.

“Pokok bogak memakan masa sehingga puluhan tahun sebenarnya untuk besar dan penjagaannya tidaklah susah hanya ditanam di kawasan rumah dan membesar dengan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Nor Hisham, pada masa ini, pokok hiasan berkenaan kembali menjadi trend apabila ramai khususnya peminat dari luar negeri ini mula mencari pokok tersebut.

“Selalunya orang menjadikan pokok bogak sebagai tanaman hiasan yang ditanam di laman-laman rumah. Malah, bagi mereka yang rajin mencari pokok tersebut ia boleh memberikan pendapatan lumayan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan pokok tersebut walaupun seperdu kerana pokok itu hidup di celah-celah batu di atas bukit,” katanya yang melakukan kerja-kerja kampung.

Sementara itu, anaknya, Nor Helmi pula memberitahu, pokok pandan bukit juga terdapat di puncak bukit namun apa yang istimewa ia hanya ditemukan di Perlis.

Katanya, pokok pandan bukit kebanyakan terdapat di puncak bukit sempadan Malaysia-Thailand di kawasan ini.

Ujarnya, terdapat lebih 15 pokok tersebut di rumahnya yang berusia puluhan tahun.

“Pokok pandan bukit juga dijadikan sebagai tanaman hiasan dengan harganya juga bernilai ribuan ringgit. Lazimnya, pokok ini ada di atas batu di puncak bukit dan untuk mengambilnya kita perlu memahat batu itu.

“Masa pokok tersebut diambil ia sudah besar. Kami sekeluarga sememangnya suka mencari pokok-pokok bukit ini yang mempunyai keistimewaan serta keunikan tersendiri,” katanya.

Katanya lagi, pokok pandan bukit mempunyai peminat tersendiri dan ramai yang mencarinya termasuk mereka dari Terengganu.

“Kami sudah jual lebih 30 pokok sebelum ini iaitu kira-kira dua tahun lalu kepada pelanggan yang datang dari Terengganu. Masa itu, kami ambil dari bukit dan terus jual dengan harga sekitar RM12,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×