Meraih keberkatan dalam hidup - Utusan Malaysia

Meraih keberkatan dalam hidup

Menunaikan solat fardu lima waktu adalah antara syarat meraih keberkatan hidup di muka bumi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Kehidupan sebagai manusia tidak pernah sunyi daripada pasang surut kebahagian. Suka-duka, sedih dan tawa sentiasa menghiasi kehidupan seharian kita.

Ada orang memiliki kemewahan hidup, namun jiwanya gersang daripada kasih sayang dan perhatian.

Ada orang hidup dengan serba cukup. Namun jiwanya subur dengan perasaan reda dan sabar dalam menghadapi setiap inci ujian yang menimpa.

Semua itu akan berbalik jua kepada diri kita. Kebahagiaan itu hanya dapat diraih apabila kehidupan kita dicurahkan rahmat dan keberkatan oleh Allah SWT.

Persoalan yang bermain di minda kita ialah apakah kita ini sudah mendapatkan keberkatan dalam kehidupan kita?

Apakah yang dimaksudkan dengan keberkatan? Adakah keberkatan yang dimiliki itu dapat melenyapkan kegusaran dalam jiwa kita?

Di dalam bahasa Arab, keberkatan itu disebut barakah yang membawa maksud Khairul Ilah. Khairul Ilah secara istilahnya ialah kebaikan daripada Allah, yang jika ia diberikan kepada manusia, akan membuahkan manfaat kepadanya.

Sebagai contoh, seseorang yang mungkin hidup serba kekurangan daripada sudut zahirnya, namun tidak pernah putus daripada makanan yang orang lain akan berkongsi rezeki dengannya.

Pasangan keluarga yang memiliki anak yang ramai, namun tidak pernah hidup dalam kelaparan.

Seorang jutawan yang sentiasa memberi bantuan dan sumbangan pada orang lain, ekonomi syarikatnya sentiasa dalam keadaan stabil dan sering dapat keuntungan berlipat ganda.

Demikian sebahagian contoh norma kehidupan manusia yang hidupnya disirami oleh keberkatan oleh Allah SWT. Perkara penting yang harus digarap oleh kita itu adalah keberkatan daripada-Nya.

Jika kehidupan kita ini tidak berkat, kita akan melihat hal-hal yang aneh berlaku pada diri kita. Mempunyai gaji yang lumayan, namun tidak merasa cukup dengan apa yang dimiliki. Bahkan terkadang meminta dan meminjam wang daripada kenalan.

Pasangan suami isteri yang memiliki anak ramai, namun sentiasa bertelingkah sesama sendiri sehingga menuju perceraian. Banyak lagi contoh yang dapat diambil daripada kehidupan sekitar kita.

Sesuatu yang terjadi, sama ada baik mahupun buruk, secara adatnya pasti ada punca yang menjadi asbab kepada perkara tersebut.

Manusia apabila hilang keberkatan dalam hidupnya, pasti ada sesuatu yang dilakukan sehingga keberkatan itu sirna daripada hidupnya.

JANGAN BUAT DOSA

Berbuat dosa dan maksiat itu adalah salah satu punca kehidupan seseorang lenyap daripada diberkati. Keberkatan hidup suatu anugerah daripada Allah kepada hamba-Nya yang soleh dan taat.

Mengambil hak orang juga adalah punca mengapa rezeki yang diperolehi tidak diberkati. Sama ada hak orang lain itu dirampas secara terang mahupun rahsia, Allah SWT tetap Maha Mengetahui setiap yang terjadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia (Allah) mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi, dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (at-Taghabun: 4)

Kurang berbuat amal soleh dan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah, juga akan menyebabkan keberkatan hidup ditarik.

Bagaimana mungkin kita akan mendapatkan perhatian majikan ketika bekerja sedangkan produktiviti dan kualiti kerja kita tiada peningkatan dan sentiasa di takuk yang lama atau kita tidak bertindak seperti mana yang diarahkan majikan?

Jika manusia pun merasa jengkel dengan sikap kita di dalam kerjaya bagaimana pula dengan Allah SWT. Sikap acuh tidak acuh di dalam beramal itu boleh mendatangkan murka Allah SWT.

Latihlah diri untuk mencapai kesungguhan di dalam ibadah supaya Allah memandang kita dengan pandang rahmat dan memberikan kepada kita keberkatan di dalam hidup.

Setiap pintu kebaikan itu mempunyai kuncinya tersendiri untuk kita masuk di dalam, begitu juga keberkatan dalam hidup. Carilah kunci-kuncinya agar hidup kita lebih bahagia dan diberkati.

Takwa kepada Allah SWT adalah kunci utama bagaimana keberkatan hidup diperolehi. Takwa dari sudut istilahnya ialah menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan maksiat kepada-Nya.

Saidina Ali r.a saat ditanya apakah erti takwa, maka beliau menukilkan: “Takut kepada Tuhan, beramal dengan al-Quran, redha dengan pemberian dan bersedia untuk hari pembalasan”
Allah berfirman yang bermaksud: Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan jadikan baginya jalan keluar, Dan diberikan kepadanya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka…..” (at-Talaq: 2-3).

Membaca al-Quran juga boleh menjemput keberkatan dalam kehidupan kita kerana al-Quran adalah kalam Allah yang penuh dengan keberkatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sebuah kitab (al-Quran) yang telah kami turunkan ia kepadamu, yang mempunyai keberkatan untuk diteliti ayat-ayat kandungannya dan untuk orang yang berakal mengambil iktibar. (Sad: 29)

Memperbanyakkan doa keberkatan orang lain dan untuk diri sendiri juga dapat menarik keberkatan dalam hidup.

Bukankah Rasulullah SAW mengajar umatnya agar mendoakan keberkatan orang lain dan juga untuk diri kita. Sebagai contoh, apabila diadakan majlis walimatul urus menjadi sunnah Nabi SAW mendoakan keberkatan dalam rumah tangganya.

Begitu juga sebelum makan, apabila mendengar berita kelahiran dan sebagainya. Apabila kita mendoakan keberkatan bagi orang lain, kita juga akan memperolehi perkara yang sama.

Yang terakhir, untuk kita dapatkan keberkatan pada rezeki kita adalah memperbanyakkan sedekah.

Dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW: Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah. (Riwayat Muslim)

Daripada hadis Baginda SAW ini dapat diketahui bahawa dengan kita bersedekah kepada orang lain, harta kita tidak akan berkurang bahkan bertambah kerana keberkatan sedekah.

Demikianlah besarnya keberkatan daripada Allah SWT dengan asbab beberapa amalan yang dilakukan oleh seorang hamba.

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN