HARI ini hampir semuanya di hujung jari. Membeli, belajar hatta menyemak status kesihatan dibuat secara dalam talian. Internet sudah menjadi keperluan seperti bekalan air bersih dan elektrik.
Pandemik Covid-19 menyedarkan kita semua mengenai hakikat ini. Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi satu norma baharu. Namun, tidak semua dapat mengikutinya. Ada pelajar terpaksa memanjat pokok dan ada yang mendaki bukit untuk mendapatkan talian internet.
Boleh dikatakan banyak tempat di seluruh negara telah ditembusi internet. Namun, di kawasan yang ada liputan, isu utama kini ialah kualitinya. Kata orang, ‘berpusing-pusing’ tetapi halaman internet tidak dapat dibuka.
Isu ini sedang diberikan perhatian oleh kerajaan. Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara telah dilancarkan lebih enam bulan lalu.
Malah, dalam lapan pakej rangsangan ekonomi, peruntukan khusus diberikan untuk merancakkan pendigitalan. Bajet 2021 dan 2022 turut memberi penekanan kepada pendigitalan. Covid-19 menjadi pemangkin kepada semua ini.
Antara isu utama yang sedang diberikan perhatian ialah pembangunan infrastruktur digital. Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah ditetapkan sasaran yang khusus bermula dari tempoh 2020 sehingga 2022. Berikut adalah pencapaian Jendela bagi suku ketiga 2021 di seluruh negara:
Pertama, 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan rangkaian generasi keempat (4G). Sasaran 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G pada 2025.
Kedua, 31.34 megabit per saat (Mbps) kelajuan jalur lebar mudah alih. Sasaran kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 100 Mbps pada 2025.
Ketiga, 6.42 juta premis telah menerima capaian gentian optik berbanding dengan sasaran sembilan juta premis pada 2025.
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga memberikan penekanan kepada pendigitalan termasuk untuk membantu membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Hakikatnya, perkembangan teknologi bermula sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi. Krisis kesihatan telah menyedarkan kita mengenai kepentingan teknologi dan pendigitalan.
Ini jelas dilihat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti ekonomi dipacu oleh e-dagang, ramai yang bekerja dari rumah, penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan yang dipesan secara dalam talian, selain daripada penggunaan teknologi untuk pengesanan kontak melalui aplikasi MySejahtera.
PMKS semestinya menjadi tulang belakang yang telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital. Sebanyak 97.2 peratus perusahaan di Malaysia pada 2020 merupakan PMKS.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 adalah pada kadar 22.6 peratus, satu lonjakan daripada 19.2 peratus pada 2019. PMKS juga telah menyumbang 13.5 peratus kepada eksport dan 48 peratus pekerjaan pada 2020. Ini adalah pencapaian yang membanggakan.
Bagi tempoh Januari hingga September 2021, sejumlah 235,327 PMKS baharu telah mengguna pakai e-dagang. Daripada jumlah ini, 2,759 PMKS telah mula mengeksport melalui e-dagang.
LONJAK
Sebagai contoh, Asmah Abdullah daripada Maran, Pahang mengasaskan Vias Food Sdn. Bhd. Ibu berusia 50 tahun ini mengusahakan pelbagai jenis produk makanan seperti tempoyak, herba dan perasa pada 2020.
Dia memanfaatkan teknologi digital dengan memasarkan produk di laman web serta portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee. Kini, pendapatannya meningkat sebanyak 60 peratus berbanding sebelum menggunakan teknologi digital.
Di Jeli, seorang ustazah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Noraini Ahmad memulakan perniagaan piza secara kecil-kecilan dari rumah. Dengan menggunakan digital untuk mempromosi dan memasarkan pizanya, kini Noraini mempunyai restoran sendiri dengan lebih 40 pekerja.
Sebanyak 60 peratus pelanggan berkunjung ke kedai manakala 40 peratus membeli dalam talian. Dia yang dikenali sebagai Mek Ani mempunyai 18 rider penghantar makanan dan telah mewujudkan 58 peluang pekerjaan.
Melihatkan peranan penting PMKS dalam pembangunan negara, MyDigital telah menentukan peningkatan daya saing ekonomi melalui pendigitalan sebagai salah satu teras utama, dan juga mengenal pasti strategi untuk memudah cara penerimagunaan digital, capaian dan penggunaan teknologi digital yang berkesan merentas saiz firma dan tahap kematangan digital.
Ini dapat melonjakkan pertumbuhan PMKS, membolehkan pencapaian visi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital serta menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh teknologi.
Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini mengumumkan dana Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM200 juta, dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro bumiputera di luar bandar.
Inisiatif Jalinan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) bagi memperkasa PMKS dan membantu usahawan melalui khidmat nasihat dan sokongan kewangan dengan dana kolektif bernilai RM5 bilion; transformasi 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sebagai pusat sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital dan peruntukan RM25 juta untuk Halal Development Corporation (HDC) bagi melaksanakan Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS.
Namun, ada dalam kalangan mereka tidak menyedari sokongan ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang seterusnya menyebabkan kadar pengambilan rendah berbanding jumlah peruntukan disediakan.
Esok, dua program penting diadakan di Bera, Pahang, iaitu pelancaran PEDi Kampung Durian Tawar dan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 (PMKS 2021).
Program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diharapkan dapat mendekatkan usahawan kecil dengan ekonomi digital, meningkatkan kecekapan dan seterusnya memacu perniagaan dalam jangka panjang melalui pelbagai jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta.
Mari bersama-sama sertai program itu mulai esok hingga 23 November ini dan daftar sekarang melalui msme2021.com.
DATUK Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).











