Marsila Hassan sudah tidak asing kepada penonton Buletin Utama di TV3. Disebabkan itu jugalah wanita berusia 32 tahun ini sentiasa menjaga penampilan ketika muncul di kaca televisyen mahupun ketika berada di khalayak umum.
Figura awam seperti Marsila pasti jadi tumpuan ramai. Bukan sahaja Marsila yang perlu menghadapi kenyataan tersebut. Semua individu yang menceburi dunia kerja yang memerlukan penglibatan di hadapan lensa kamera turut melalui perkara yang sama.
Oleh itu bagaimana wanita yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini menjaga penampilannya ketika muncul di kaca televisyen dan di khalayak ramai?
“Tidak ada banyak bezanya penampilan saya ketika bekerja dan muncul di kaca televisyen dan ketika berada di luar setelah habis bekerja. Ini kerana saya seorang yang sentiasa bersiap tatkala melangkah keluar rumah.
“Cuma mungkin bezanya ketika berada di luar solekan yang saya kenakan tidak setebal ketika bersiaran. Apa pun, ketika berada di luar saya akan sentiasa pastikan rambut saya didandan rapi, solekan saya kemas dan pakaian yang saya kenakan itu selesa dan sesuai dengan tempat yang saya kunjungi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disebabkan kerjaya Marsila perlu mengenakan soleka tebal, beliau akan sentiasa pastikan wajah dibersihkan menggunakan kaedah triple cleansing.
“Sebelum tidur saya akan pastikan memakai pelembap muka untuk mengelakkan kulit daripada kering,” katanya.
MINAT SEJAK KECIL
Marsila memilih kerjaya itu kerana dari kecil lagi beliau suka melihat pembaca berita ketika menyampaikan berita.
“Mereka (pembaca berita) kelihatan sangat berpengetahuan dan cantik. Ketika berumur 13 tahun, saya pernah menonton drama Korea bertajuk All About Eve. Drama itu mengisahkan perjalanan karier sebagai pembaca berita. Bermula dari situ, semakin bersemangat saya untuk menjadi pembaca berita,” katanya.
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada 2015 sebagai penyampai berita sukan di Bernama TV. Pada 2016, beliau beralih ke TV3 dan dipertanggungjawabkan menjadi penyampai berita sukan.
Hanya pada 2018 beliau ditawarkan menjadi penyampai Buletin Utama sehingga kini.
Selain membaca berita, Marsila juga pernah menjadi pengacara untuk rancangan bual bicara pagi, Malaysia Hari Ini pada 2020 hingga 2021.
Elak stres
Setiap individu mempunyai pandangan berbeza mengenai maksud cantik dan sihat. Bagi Marsila untuk menjelaskan maksud cantik dan sihat, ia bukan sahaja terlihat melalui luaran tetapi dalaman juga.
“Saya percaya jika kita mempunyai kecantikan dalaman secara tidak langsung kita akan terlihat cantik.
“Pemikiran yang positif dan simple juga membantu memberi kesihatan mental yang baik. Elakkan stres.
“Bagi saya, kita akan kelihatan sentiasa sihat, cantik dan muda jika kita tidak terlalu stres,” jelasnya.
Berkaitan dengan kecantikan wajah pula, Marsila amat menitikberatkan bahagian kulit mukanya kerana dirinya memiliki kulit jenis sensitif.
“Jika salah pakai produk sahaja, pasti akan naik jerawat berminggu lamanya. Selain itu, saya juga gemar melakukan scrub pada bibir untuk membuang sel kulit mati. Senang dan cantik bila mahu mengoles gincu,” katanya.
Kurangkan manis
Amalan gaya hidup dan pemakanan sihat sedikit sebanyak membantu diri untuk kekal sihat dalam kehidupan seharian.
“Jika dahulu, setiap hari saya akan minum minuman manis. Akibatnya, badan saya naik mendadak dan kulit saya kerap naik jerawat.
“Kini lepas setahun mengurangkan minuman manis, berat badan saya semakin menurun. Kulit juga sudah kurang bermasalah,” katanya.










