BAU aroma kek marble membuka selera sesiapa sahaja yang menghidunya. Hidangan kek ini sememangnya evergreen dan diminati ramai, tanpa mengira usia.
Kek ini adalah resipi turun temurun nenek moyang sejak dahulu lagi dan popular di kebanyakan negara.
Ia dipanggil marble kerana adunan terang dan gelapnya itu, membentuk corak marmar atau marble.
Rasa kek marble ini tidak mudah muak dan sedap dinikmati ketika minum petang.
Ada pelbagai variasi menghasilkan kek ini.
Seri paparkan resipi hasil perkongsian Cef Wan Noor atau Wan Noor Zamran Hashim, 50, yang menyediakan Marble Butter Cake Loaf. Kek sedap ini katanya bertaraf 5 bintang. Jom cuba!

Resipi Marble Butter Cake Loaf
Bahan-bahan:
250 gram (g) mentega
230 g gula pasir halus
4 biji telur
250 g tepung kek
15 g serbuk penaik
5 g baking soda
10 g esen vanila
100 g susu segar
30 g serbuk koko
Cara-cara penyediaan:
Masukkan mentega dan gula ke dalam mangkuk. Putar menggunakan senduk kayu hingga kembang dan berubah warna menjadi cerah.
Masukkan telur satu persatu, kacau rata hingga bancuhan sebati.
Ayak tepung kek bersama serbuk penaik dan baking soda. Masukkan sedikit demi sedikit bahan yang diayak ke dalam bancuhan telur dan mentega tadi.
Dalam masa yang sama boleh juga masukkan susu segar dan esen vanila ke dalam bancuhan. Selang-selikan proses memasukkan tepung dan susu bagi memudahkan kerja membancuh. Pastikan adunan digaul rata dan tidak ada lagi kesan tepung.
Jika sudah berpuas hati, ambil satu per lima bahagian adunan dan campurkan serbuk koko.
Apabila siap, baharulah ke proses marbling. Cara yang paling mudah adalah masukkan bancuhan cerah ke dalam loyang yang telah siap dialas dengan kertas minyak.
Kemudian masukkan adunan coklat ke dalam piping bag dan paipkan ke dalam adunan putih di beberapa bahagian.
Bagi menampakkan efek marbling, gunakan lidi dan lorekkan bahagian-bahagian yang ada campuran coklat tadi.
Bakar pada suhu 160°C selama 30 hingga 40 minit.
Siap untuk dihidang!
Nota: Bancuhan ini boleh disediakan untuk dua hingga tiga loyang loaf. Bagi mempelbagaikan rasa atau sebagai hiasan, boleh tambahkan chocolate chip ke dalam adunan.










