Impian memiliki cahaya mata ketiga, hanya tinggal igauan apabila Hazwan Najib dan isteri
menerima perkhabaran duka. Bayi dikandung cukup tempoh itu, meninggal dunia dalam kandungan.
Lalu, insiden pada 2019 itu menjadi episod hitam yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat mereka berdua.
Kongsi Hazwan, kelahiran anak ketiga yang tidak bernyawa bertambah memilukan apabila pihak hospital tidak dapat mengenal pasti punca ia berlaku.
“Kes anak saya itu tergolong dalam 50 peratus daripada kelahiran mati tanpa diketahui puncanya. Itulah yang menjadi sesalan dan trauma yang menghantui keluarga kami hingga ke hari ini,” katanya pada webinar sempena sambutan Ulangtahun Project Sidekicks sejajar dengan Bulan Peringatan Kesedaran Terhadap Kelahiran Mati dan Kehilangan Zuriat, baru-baru ini.
Turut serta Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Aqmar Suraya Sulaiman dan Peguam daripada Nor Zabetha Cinna & Co, Nor Zabetha Mohamad Noor.
Kelahiran mati atau stillbirth turut dikenali sebagai intrauterine fetal death (IUFD) iaitu keadaan bayi yang meninggal dalam kandungan atau setelah dilahirkan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan bayi meninggal dalam kandungan adalah bayi yang lahir tanpa tanda-tanda bernyawa pada usia kandungan 28 minggu atau lebih.
Hazwan yang juga Pengasas Bersama, Doctor on Call Malaysia, berkata ilmu dan kesedaran mengenai kelahiran mati amat penting kerana ia menyebabkan traumatik kepada sesiapa yang melaluinya.
“Saya lihat isu ini tidak begitu diperkatakan umum. Ia sesuatu yang dilarang untuk dibicarakan. Oleh itu, perlunya kesedaran dalam hal ini dan ia perlu dibincangkan dengan pendidikan yang sewajarnya,” katanya.
PANDUAN UMUM
Pengalaman lalu dijadikan panduan. Hazwan menerusi portal dibangunkan itu digunakan sebagai platform penjagaan kesihatan digital yang menghubungkan pesakit kepada doktor dan pengamal perubatan untuk mendapatkan maklumat kesihatan yang tepat.
Persoalan mengenai kehamilan membolehkan ibu bapa memilih pakar obstetrik dan sakit puan secara privasi dengan masa menunggu yang minimum melalui platform tersebut.
“Perkara paling penting sebagai bapa atau suami apabila isteri mengandung adalah setiap kerisauan dia ambil peduli dan buat yang terbaik untuk hilangkan kerungsingan terhadap kandungan.
“Datanglah ke hospital untuk membuat pemeriksaan jika rasa bayi kurang bergerak. Kadang-kadang isteri ada beritahu yang dia risau jika kerap ke hospital akan dilabel mengada-ngada. Sebenarnya saya juga dulu begitu dan menganggap isteri paranoid, sedangkan itulah naluri keibuan.
“Jika rasa ingin berjumpa doktor pergi sahaja. Penting untuk tahu bahawa setiap kehamilan itu ternyata berbeza-beza walaupun sudah beberapa kali isteri atau ibu mengandung. Selain itu, sentiasa rujuk dengan pakar atau doktor bertauliah. Sebagai suami, permudahkanlah isteri yang hamil. Kelahiran mati boleh dielakkan jika masalah kandungan dapat dikesan awal,” katanya.
50 PERATUS TIADA PUNCA
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan bayi meninggal dalam kandungan adalah bayi yang lahir tanpa tanda-tanda bernyawa pada usia kandungan 28 minggu atau lebih.
Kelahiran mati seawal 22 minggu atau berusia lebih lima bulan dalam kandungan dianggap sebagai kematian anak yang sudah lengkap sifatnya. Dengan kata lain, seandainya dilahirkan pada tempoh tersebut ia mempunyai peratusan hidup yang tinggi.
Manakala keguguran atau miscarriage pula adalah kandungan bayi tidak melebihi daripada usia lima bulan atau berat janin kurang 500 gram.
Dr. Aqmar Suraya berkata, kematian boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu bayi meninggal dalam perut atau meninggal sejurus, sebelum atau semasa proses kelahiran.
Katanya, kelahiran mati bermaksud apabila bayi yang dilahirkan tiada tanda-tanda bernyawa dengan mengambil kira situasi tiada kadar degupan jantung, tiada pernafasan dan bayi tidak menangis setelah dilahirkan.
“Kajian mendedahkan kira-kira 50 peratus daripada kes kelahiran mati adalah tidak diketahui namun ia boleh berpunca daripada pelbagai antaranya masalah kromosom, bayi lemas dalam perut ibu, tali pusat, rahim pecah, plasenta yang kekang sebelum masanya dan paling utama adalah tahap kesihatan ibu itu sendiri.
“Walaupun punca khusus kematian tidak dapat dipastikan namun, penyakit atau kesihatan ibu sepanjang kehamilan seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan beberapa masalah lain antara boleh meningkatkan risiko insiden berkenaan,” katanya.
Malaysia antara negara terawal di Asia Tenggara mendefinisikan kelahiran mati sebagai keguguran kandungan seawal 22 minggu sebagaimana tertakluk dalam Akta Majikan 1955.
Bermakna, ibu layak mendapat cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari dan bergaji penuh walaupun melahirkan bayi yang tidak bernyawa. Malangnya, ramai ibu tidak tahu mengenai hal ini menyebabkan majikan juga tidak mengetahuinya. Ia memaksa mereka kembali bekerja selepas dua minggu kelahiran kerana tidak perlu menjaga bayi.
Jelas Nor Zabetha, isunya adalah dari segi kesedaran.
“Ibu bapa yang mengalami kelahiran mati dapat menikmati hak penuh seperti cuti pantang bergaji penuh sebagaimana tertakluk dalam Seksyen 2 Akta Kerja 1955. Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) memberikan definisi apakah kelahiran mati (stillbirth) atau (stillborn) apabila kandungan berusia 28 minggu ke atas.
“Jadi, jika bayi tersebut lahir dalam keadaan tidak bernafas atau tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa bayi tersebut hidup, adakah relevan kelahiran mati sewaktu melahirkan jika ibunya adalah seorang pekerja? Adakah akta yang melindungi?,” katanya.
Negara lain seperti Singapura baharu sahaja membuat pindaan undang-undang malah banyak negara lain yang mengikut piawaian WHO iaitu pada 28 minggu.
Menjadi contoh kepada negara jiran untuk mengikuti jejak langkah negara seperti Malaysia, Singapura dan Filipina yang telah mengiktiraf kehilangan bayi pada usia kandungan 22 minggu sebagai kelahiran mati.
Sistem perundangan di Malaysia melindungi hak ibu yang mengalami kelahiran mati.
“Tempoh berpantang apabila kandungan berusia lebih daripada 22 minggu sama ada mati atau hidup. Maka, ibu yang mengandung lebih pada tempoh itu namun berlaku kelahiran mati tetapi dipanggil bekerja selepas 30 hari berpantang sebab tidak perlu menjaga bayi, ia merupakan kesalahan undang-undang,” katanya.
MELINDUNGI WANITA
Tambah beliau, Bahagian 9 Akta Kerja 1955, daripada Seksyen 37 hingga 44 pula melindungi hak wanita yang melahirkan anak (Perlindungan Bersalin serta syarat-syarat) dan pekerja mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap majikan.
“Tempoh cuti bersalin boleh diambil adalah 60 hari tetapi andaikata jika 60 hari tidak mencukupi kerana berlaku depresi atau kemurungan. Jadi, di bawah Seksyen 42 Akta Pekerja 1955 memperuntukkan larangan seorang majikan membuang pekerja wanita sekiranya selepas tempoh 60 hari cuti bersalin tetapi dengan syarat perlu ada melampirkan laporan perubatan akibat anak meninggal.
“Jika majikan tetap membuang pekerja ini, mereka mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap majikan. Manakala jika pekerja yang telah lama berkhidmat di sesebuah syarikat dan sudah dimaklumkan cuti bersalin tetapi mungkin majikan mahu mengurangkan kos kerana kurang tenaga pekerja, lalu dibuang kerja.
“Pekerja mempunyai hak untuk buat aduan ke Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan. Namun terdapat sesetengah pekerja tidak mahu membuat aduan, jadi nasihat saya supaya ibu perlu tahu hak dan teruskan ambil tindakan,” katanya.










