IRAMA muzik ghazal cukup sinonim dengan masyarakat Melayu di Johor setelah alunan muzik mendayu-dayu yang berasal dari tanah Arab mula dikesan sekitar pada abad kelapan.
Dalam bahasa Arab, perkataan ghazal ini secara harfiahnya membawa definisi bahasa kasih dalam bentuk syair yang berbicara tentang cinta dan kasih sayang
Baris kata dalam ghazal itu diubahsuai setelah pengaruhnya tersebar ke India pada abad ke-12 di bawah pengaruh Mughal sebelum ia mendarat dan bertapak di negeri ini pada abad ke-18.
Menurut pemuzik Yayasan Warisan Johor (YWJ), Amin Kalid, apabila ghazal itu bertapak di Johor, ia sudah menjadi satu bentuk muzik dan rangkap pantun serta syair yang disampaikan dalam bentuk nyanyian.
Katanya, pada awalnya, muzik ghazal adalah hiburan bagi golongan atasan seperti persembahan di istana sebelum ia mengalami pengubahsuaian dan berkembang ke daerah-daerah seperti Batu Pahat, Muar dan daerah-daerah lain.
Tambahnya, bermula dari itu, muzik ghazal dirakyatkan dengan dimainkan di rumah penghulu atau ketua kampung dan kumpulan pendengarnya turut berkembang menjadi yang lebih umum dan dekat di hati masyarakat.
“Antara tokoh penting yang membawa ghazal ini berkembang di negeri ini ialah Datuk Bentara Luar iaitu Datuk Muhamad Salleh Perang. Beliau sendirilah yang menyemarakkan muzik ini dan memperkenalkannya ke mana sahaja dia pergi.
“Setiap kali beliau ditugaskan untuk membuka daerah-daerah, dia akan mengembangkan muzik itu di kawasan berkenaan dengan mengajar pekerja-pekerjanya untuk bermain muzik di kawasan tersebut.
“Ghazal yang dimainkan itu berkisar tentang keindahan alam, gunung, hutan dan sebagainya. Dan alat muzik yang digunakan ketika itu ialah harmonium, gambus, tabla dan dol (gendang),” katanya.
Kemudian, muncul lagi seorang tokoh iaitu Pak Lomak atau nama sebenarnya Musa Yusoff yang merupakan cucu kepada Datuk Bentara Luar.
Amin berkata, sebagai penyambung legasi, peranan Pak Lomak cukup besar apabila beliau bertanggungjawab melahirkan ramai pemain muzik dan penyanyai ghazal hasil didikannya.
Katanya, darah seni yang mengalir dalam diri Pak Lomak itu telah berkembang dan membentuk muzik ghazal yang disesuaikan mengikut keadaan pada masa itu sehinggalah bentuk ghazal itu kekal sehingga sekarang.
Ujarnya, Pak Lomak yang juga merupakan anggota Timbalan Setia Johor (JMF) itu menyesuaikan ghazal dengan instrumen asas yang mudah didapati antaranya harmonium, tabla, gitar, gambus, biola, tamborin dan maracas.
Tambahnya, antara karya malar segar tokoh berkenaan yang masih dikenali dan dimainkan pada hari ini ialah Seri Mersing, Pak Ngah Balik dan macam-macam lagi.
Perjuangkan muzik ghazal
Dalam pada itu, Pegawai Kebudayaan YWJ, Ismail Bahari berkata, seperti genre muzik tradisional yang lain keroncong, asli dan sebagainya, ghazal juga mengalami musim surutnya dengan kemunculan genre muzik baharu yang lebih dekat dengan pendengar.

Katanya, pelbagai usaha yang dilakukan bagi menaikkan semula genre muzik tradisional itu hinggalah ia berjaya kembali bersinar sekitar tahun 70-an dengan kemunculan kumpulan ghazal di beberapa daerah di negeri ini.
Antara penyanyi ghazal yang terkenal pada ketika itu ialah Ahmad Jusoh, Hamzah Dolmat, Rosiah Chik, Fadhil Ahmad dan ramai lagi.
Katanya, kerajaan negeri juga memainkan peranan dengan mengadakan Pertandingan Ghazal Kebangsaan Johor pada 1998 dengan menamakan piala rebutan itu sebagai Piala Pak Lomak sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya.
“Kita berharap muzik ghazal yang diperjuangkan sejak sekian lama ini dapat diturunkan kepada generasi muda pada masa kini dan mampu mencari pelapis bagi meneruskan perjuangan muzik ini.
“Jika kita lihat, muzik ghazal pada hari ini juga turut ditambah baik supaya ia ada nilai komersil pada hari ini selain menepati selera pendengar muda,” ujarnya.
Berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, beberapa program termasuk pertandingan di peringkat sekolah terpaksa dihentikan kerana perlu mengutamakan kesihatan pelajar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Katanya, program pembangunan muzik ghazal di peringkat sekolah ini melibatkan 30 sekolah di beberapa daerah di negeri ini bagi merancakkan muzik ghazal ini dalam kalangan golongan muda










