Filem Hollywood yang gempak, kreatif dan berkualiti tinggi terus menerus menjadi kegemaran dan pilihan utama penduduk seantero dunia. Nama-nama artis tersohor seperti Angelina Jolie, Jennifer Lawrence, Dwayne Johnson serta ramai lagi sentiasa meniti di bibir penggemar filem barat.
Namun sebelum Hollywood melangkah sebegitu jauh, mereka terpaksa mengharungi dan menyelesaikan segala kontroversi dan krisis yang membelenggu dunia perfileman mereka terutamanya berkenaan isu pendiskriminasian kaum dan stereotaip terhadap pelakon bukan kulit putih.
Menerusi catatan sejarah kelam industri perfileman barat, pertunjukan minstrel terkenal pada pertengahan abad ke-19, ia mencakupi tarian, teater dan persembahan muzik. Tetapi apa yang menjengkelkan ialah para pelakon tersebut akan disolek dengan solekan yang menukar wajah putih mereka kepada hitam dengan niat untuk mempersendakan dan merendah-rendahkan kaum kulit hitam.
Begitu juga pada pertengahan abad ke-20, apabila filem-filem Hollywood yang sekadar menjadikan watak kaum kulit hitam dan Asia sebagai pemandu, orang gaji atau watak-watak jelek seperti hamba abdi dan sebagainya.
Penghujung abad ke-20 mengubah segalanya apabila Hollywood mengambil langkah ‘membersihkan dosa-dosa’ mereka setelah ditekan oleh pelbagai gerakan hak asasi manusia dengan memberi lebih banyak ruang penyertaan kepada kaum bukan kulit putih dalam dunia perfileman mereka.
Natijahnya pada hari ini, hampir mustahil untuk kita menonton filem Hollywood yang hanya menonjolkan pelakon kulit putih sepenuhnya.
Persoalan yang timbul sekarang ialah bagaimana pula dengan industri perfileman di Malaysia? Adakah filem-filem di tanah air kita benar-benar menonjolkan imej sebagai sebuah negara yang berbilang kaum? Para penggemar filem tempatan pasti akur akan hakikat bahawa dunia perfileman di Malaysia terpecah kepada perfileman Melayu, Cina dan India dengan naratif dan gayanya yang tersendiri.
Pernahkah kita pernah menonton sebuah filem yang mana watak utamanya seorang lelaki Cina bercinta dengan seorang gadis Melayu atau watak seorang wanita India yang menjadi seorang CEO di sebuah syarikat besar?
Kita tidak nafikan bahawa terdapat sebahagian filem atau drama tempatan yang menghimpunkan barisan artis berbilang kaum seperti sitkom pi mai tang tu yang sangat berjaya pada awal 2000an. Namun filem dan drama yang menonjolkan pelbagai artis berbilang kaum ini selalunya bersifat sementara dan mengikut kepada musim sesebuah perayaan atau sambutan.
Skrip, limitasi watak
Isu ini sangat penting untuk diketengahkan kerana filem sentiasa diberi perhatian orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur bahkan dengan filem, kita dapat merapatkan lagi jurang antara kaum dan merialisasikan impian untuk melihat sebuah negara yang bersatu padu.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang perkara ini, saya menemuramah dua orang artis tempatan, Atikah Suhaime dan Chew Kin Wah selaku pemain seni profesional yang berpengalaman luas dalam dunia lakonan di pelbagai negara berbeza.
“Kalau kita perhatikan, filem-filem Melayu zaman dulu banyak menonjolkan watak-watak bukan Melayu yang stereotaip seperti orang India diberi watak Ceti dan orang Cina tauke syarikat judi. Perkara seperti ini perlu dihentikan kerana stereotaip menghalang perubahan,” kata Atikah Suhaime.
Atikah yang pernah berlakon dalam filem Banglasia terbitan artis kontroversi, Namewee pada 2014 turut menjadikan filem Paskal sebagai contoh terbaik yang menghimpunkan pelbagai pelakon berbilang bangsa dan bersatu padu.
Namun, berbeza pula dengan pandangan Chew Kin Wah. Artis yang sedang menempa nama di Indonesia ini berpandangan antara perkara perlu diubah oleh filem di tanah air kita ialah watak.
“Bagi saya, stereotaip bukanlah suatu masalah kerana saya memerlukan kerja dan saya telah menjadi subjek stereotaip banyak kali seperti diberi watak seorang penjahat, taiko bahkan komunis.
“Namun masalah sebenar ialah penulisan skrip. Begitu sikit watak yang diberikan untuk orang Cina, India, Iban dan Serani. Sebab itulah tidak banyak daripada mereka yang ingin masuk ke dunia hiburan Melayu.
“Rakan saya dari luar negara sering terkeliru dengan filem-filem Cina di Malaysia yang tidak terdapat watak Melayu dan India apatah lagi dengan menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya.
“Mereka sangkakan filem itu mungkin filem China dilakonkan di Malaysia. Tidak terlepas juga dengan filem-filem Melayu yang sekadar menampilkan pelakon Melayu sepenuhnya sekalipun kita tahu di KLCC terdapat pelbagai bangsa!,” katanya.
Chew Kin Wah yang sudah berlakon dalam lebih 40 filem, siri, dan teater merasakan bahawa kekangan bahasa antara faktornya. “Bangsa Cina ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu walaupun sudah lebih lima puluh tahun merdeka.
“Lihat sahaja Indonesia dan Thailand yang sekadar menggunakan satu bahasa tetapi tidak menghalang bahasa suku kaum lain dari digunakan. Bagi saya, bahasa kebangsaan perlu diutamakan dengan sempurna dan secara holistik,” katanya. Beliau berjaya merangkul anugerah pelakon pembantu terbaik anugerah filem box office Indonesia pada 2014.
Realitinya banyak cara merapatkan jurang antara kaum dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun semua pihak perlu memainkan peranan dan ikhlas berjuang demi perubahan.
Dari pihak pemerintah hinggalah ke stesen televisyen, semuanya perlu bertanggungjawab dalam segala gerak kerja mereka.










