Aksesori merah jambu penyeri kediaman - Utusan Malaysia

Aksesori merah jambu penyeri kediaman

Rona dinding berwarna putih sengaja dipilih sebagai warna utama. Ia memberikan impak manis dan cantik pada keseluruhan ruang kediaman Siti Nursakinah Nazeri di Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZONE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebut sahaja warna merah jambu atau pink, semestinya ia dikatakan warna feminin. Ini kerana rona itu lebih menjadi tarikan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Meskipun menyerlahkan aura ketenangan dan kelembutan, tidak ramai berani menggunakan rona ini untuk dekorasi kediaman kerana dikatakan terlalu keanak-anakan.

Malah sebelum ini ada portal media melaporkan suami ‘naik angin’ apabila isteri menghiasi ruangan dapur dengan aksesori serba merah jambu.

Namun, situasi berbeza bagi Siti Nursakinah Nazeri, 32, apabila suaminya, Kamal Che Deraman, 37 tidak banyak soal.

Sebaliknya hanya menuruti kerenah isteri yang terlalu meminati rona merah jambu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nursakinah berkata, suaminya menyokong 100 peratus minatnya itu. Malah lebih menarik, keempat-empat anak lelakinya juga menuruti minat ibunya.

“Ramai mengatakan pada saya, susah untuk dapat suami yang bertolak ansur bila isteri mahukan hiasan rumah semua warna pink. Namun saya bersyukur kerana suami tidak menghalang,” kongsi Nursakinah tersenyum.

Berlatarkan rona putih sebagai penaik seri, setiap penjuru rumah anak jati Selangor ini dihiasi dengan aksesori pelbaga tona merah jambu.

Saat menjengah masuk ke ruangan rumah flat bersaiz 650 kaki persegi di Seksyen 7 Shah Alam ini, dekorasi kediaman kecil itu cukup cantik, kemas dan teratur.

Siti Nursakinah bersama suami dan anak-anaknya.

HIASAN & AKSESORI PINK

Menurut Nursakinah, rumah itu sudah didiaminya sejak 18 lalu. Namun dia baru sahaja menghiasi kediaman itu dengan lebih indah dan berkonsepkan merah jambu, selepas anak-anaknya kian membesar iaitu kira empat tahun lepas.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama keluarga, apabila sudah berkahwin ibu menyerahkan rumah sepenuhnya kepada saya.

“Saya menghabiskan masa mencari inspirasi melalui aplikasi Pinterest. Dari situ saya mendapat idea mengubah suai hiasan rumah,” katanya.

Nursakinah memberitahu, hampir semua barangan dalam kediamannya berasaskan merah jambu.

Daripada peralatan dapur seperti pisau, kuali dan periuk hinggalah ke pinggan mangkuk, set sudu garfu dan bekas pencuci pinggan pun, bertonakan merah jambu.

“Kalau aksesosi saya minati bukan berwarna merah jambu, saya usahakan menukarnya mengikut kreativiti.

“Contohnya peti sejuk. Saya balut dengan pelekat dinding berwarna merah jambu,” katanya tersenyum. Hal ini kerana bagi barangan sedemikan memang jarang dihasilkan berwarna merah jambu mengikut nuasa kegemarannya.

Namun bukan semua dipilih berwarna merah jambu dengan alasan, kalau semua pink, tidak naiklah seri kediaman.

“Untuk meja makan, saya pilih warna putih untuk menaikkan seri kerusi yang berwarna merah jambu,” katanya.

Dek kerana minat mendalam, nuansa itu turut melatari dekorasi hiasan di ruang tamu dan bilik Nursakinah, antaranya permaidani, bantal dan set sofa.

Selain itu, bunga tulip tiruan dalam rona sama turut menjadi pilihan hatinya bagi menambah seri dan menghiasi ruangan rumah.

“Begitupun hanya ruang tamu, dapur dan bilik tidur saya sahaja dihiasi warna itu. Saya tidak mengubah warna bilik tidur anak-anak saya,” katanya.

Kebanyakan aksesori rumah Siti Nursakinah hanya dibeli secara dalam talian.

BELANJA IKUT KEMAMPUAN

Sakinah berkata, memandangkan dia hanya suri rumah yang bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami, dia akan menunggu musim gaji untuk membeli barangan berkenaan menerusi dalm talian.

“Saya akan membuat bajet dahulu. Contohnya untuk bulan ini, hanya RM200 sahaja dikeluarkan.

“Tips membeli barangan dalam talian, ialah dengan sentiasa membuat perbandingan harga, pilih yang paling murah dan mempunyai komen paling baik.

“Saya beli dan hias sedikit demi sedikit mengikut bajet yang ada. Paling penting harga berbaloi dan kualiti terbaik,” katanya yang menganggarkan lebih RM2,000 sudah dihabiskan untuk membeli produk daripada warna kecintaannya itu.

SEPENUH MASA DI RUMAH

Nursakinah hanya tertawa bila diaju pertanyaan mengenai reaksi suami bila memutuskan untuk menghias ruang kediaman dengan warna merah jambu.

Katanya, sebagai suri rumah, masanya sepenuhnya dihabiskan mengurus makan dan pakai empat orang anak lelakinya.

“Saya perlu lakukan sesuatu untuk memastikan saya kekal bersemangat.

“Oleh itu, saya memutuskan untuk mengubah suai hiasan rumah mengikut warna kegemaran saya.

“Apabila menyuarakan hasrat pada suami, dia tidak membantah dan menyuruh saya buat apa yang dimahukan asalkan saya bahagia,” katanya.

Bukan setakat aksesori, pakaian juga Nursakinah memilih merah jambu.

“Selain suami, anak-anak juga tidak kisah untuk keluar rumah mengenakan pakaian serba merah jambu semata-mata mahu sepadan dengan saya.

“Anak sudah terbiasa dengan warna itu sehingga menganggap tidak menjadi masalah untuk lelaki mengenakan pink.

“Kadangkala sewaktu keluar berbelanja, apabila mereka terlihat barang-barang berwarna pink, mereka akan menyuruh saya membelinya kerana tahu itu merupakan warna kegemaran saya,”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×