Persediaan ekonomi M40 ke B40 - Utusan Malaysia

Persediaan ekonomi M40 ke B40

Dalam situasi kritikal dengan kos sara hidup yang tinggi seperti hari ini, isu ini harus diperhalusi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHILANGAN pekerjaan ketika pandemik memberi kesan mendalam terhadap rakyat tidak terkecuali golongan pertengahan, M40.

Namun golongan dalam pendapatan enam angka ini, kurang diperkatakan kerana pendapatan mereka tidak begitu teruk terjejas berbanding B40.

Begitupun, sebarang perubahan kepada tahap ekonomi individu pasti meninggalkan beban.

Pakar Kewangan Pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, tergelincirnya kira-kira 600,000 isi rumah daripada M40 ke B40, gara-gara pandemik, realitinya menjejaskan persekitaran kewangan.

Justeru katanya, penilaian semula perbelanjaan dan pelarasan untuk memberi keutamaan kepada yang penting perlu dilakukan dalam mengukur tahap komitmen diri dan keluarga.

“Kalau dulu M40 boleh berbelanja mengikut kehendak, kini berubah mengikut keperluan.

“Perkara penting perlu dilaksanakan adalah tidak panik dan bersedia menghadapinya dalam apa jua keadaan.

“Mereka rumah perlu melakukan adjustment atau pelarasan kewangan daripada segi gaya hidup dan menilai semula perbelanjaan isi rumah,” katanya.

DR. MOHAMAD FAZLI SABRI

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas isu persediaan M40 beralih kepada B40 menjelang Pembentangan Belanjawan 2022, esok.

Mohamad Fazli berkata, antara yang perlu diberikan fokus ialah keperluan bukannya kehendak.

“M40 ini lebih kepada live within your means atau hidup bersesuaian dengan kemampuan. Tetapi itu dahulu ketika dalam kelompok M40.

“Sekarang apabila beralih kepada B40, mereka perlu ubah kepada living below your means. Contohnya, jika gaji RM5,000 hiduplah seperti mempunyai pendapatan RM3,000 atau RM4,000, itu sudah memadai,” katanya.

ANALISIS PENDAPATAN

Ujar Mohamad Fazli, langkah yang perlu dibuat bagi memastikan komitmen kewangan dan perbelanjaan terkawal adalah dengan membuat semula analisis pendapatan.

Ini berikutan walaupun pendapatan terjejas, komitmen kewangan keluarga perlu diteruskan untuk membayar pinjaman rumah, kereta, kad kredit bil dan sebagainya.

“Buat analisis daripada segi kedudukan kewangan semasa, diri dan keluarga. Kenal pasti berapa peratus pendapatan terjejas dan paling penting bagaimana cara untuk mengantikan pendapatan itu.

“Kalau pendapatan tiada, simpanan kecemasan bolehlah digunakan. Tapi, kalau tiada simpanan kecemasan, perlu fikirkan cara lain.

“Sebagai contoh, sebelum ini moratorium diberikan dalam jangka masa pendek sekurang-kurangnya, ia dapat membantu mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Cadangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti Program i-Sinar dan i-Citra turut membantu menyediakan pendapatan tambahan dan menyelesaikan masalah kepada ahli yang terkesan.

PELARASAN WANG

Melakukan pelarasan kewangan dapat menentukan kedudukan kewangan isi rumah yang merangkumi komitmen atau perbelanjaan tetap dan berubah.

Ada dua kedudukan kewangan perlu difahami dalam menganalisis data perbelanjaan isi rumah iaitu perbelanjaan tetap dan berubah.

“Perbelanjaan tetap seperti pinjaman peribadi, perumahan, perniagaan dan pendidikan yang boleh dibayar atau tidak. Jika tidak boleh dibayar, mohon moratorium atau berbincanglah dengan bank untuk menentukan cara penyelesaian terbaik,” katanya.

Perbelanjaan tetap lain yang boleh dibuat pelarasan ialah pemotongan langganan siaran televisyen berbayar, internet dan sebagainya yang boleh mengurangkan komitmen.

Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, perlu menyelaraskan kewangan dari segi perbelanjaan berubah untuk kembali pada asas dalam waktu yang mencabar ini.

Memetik Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, keseluruhan perbelanjaan rakyat berkurangan lebih 50 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini menunjukkan dalam keadaan terdesak, kita perlu menyelaraskan kewangan dari segi perbelanjaan.

Ada 13 item atau kumpulan perbelanjaan isi rumah. Antara kesemua, hanya satu sahaja yang meningkat iaitu perbelanjaan makanan sebab ia merupakan keperluan asasi.

Perbelanjaan lain masih boleh berubah namun tidak mendominasi perbelanjaan isi rumah.

“Oleh itu, pentingnya kita kembali kepada asas seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal berbanding memenuhi kehendak,” katanya.

Analisis pendapatan penting dalam memastikan komitmen kewangan perbelanjaan terkawal.

KONSEP PERK

Pengurusan kewangan boleh dilakukan mengikut konsep PERK iaitu postpone, eliminate, reduce dan keep dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan penting.

Mohamad Fazli, berkata sebagai contoh menamatkan bayaran televisyen berbayar, keahlian kelas kecergasan seperti dan melanggan buku atau majalah dalam talian yang dilihat kurang kritikal.

“Gunakan PERK untuk merancang perbelanjaan dan komitmen. Mengurangkan kos perbelanjaan tertentu dapat membantu menstabilkan kedudukan kewangan,” katanya.

Bagaimanapun kalau pelarasan kewangan tidak berjaya dan aliran tunai masih berkurang dan sukar untuk teruskan kelangsungan hidup individu disaran memohon bantuan zakat atau bantuan disediakan kerajaan.

KECAIRAN ASET

Mohamad Fazli, berkata dalam situasi genting, ia boleh dicairkan (mudah ditunaikan) atau dijual dahulu untuk menampung kelangsungan hidup.

Mengenai kenderaan, Mohamad Fazli, berkata ia boleh dilihat sebagai aset dan liabiliti.

“Kereta tidak semestinya satu liabiliti. Tetapi harga akan turun (susut nilai. Kenderaan juga dikira aset jika digunakan untuk memperoleh pendapatan.

“Tetapi jika tiada, ini pilihan terakhir untuk dicairkan setelah membuat pelarasan kewangan,” katanya.

Beliau turut menyarankan individu mendapatkan khidmat rundingan daripada agensi kewangan sekiranya sukar membuat keputusan.

“Contohnya anda mungkin boleh menelefon bank dan berbincang jenis bantuan boleh diberikan.

“Bank akan membantu kerana itu tanggungjawab mereka, Dalam masa sama, pasti mereka tidak mahu kehilangan pelanggan.” katanya.

KEMAHIRAN

Norma baharu menuntut semua golongan memanfaatkan kepelbagaian kemahiran dimiliki untuk keluar daripada kesempitan hidup.

Kadang-kadang apabila diuji, kita baharu tahu kita sebenarnya mampu membuat banyak kerja kerana memiliki kemahiran antaranya memasak, menukang, menjadi rider, ghost writer dan sebagainya.

“Saya rasa setiap orang ada kemahiran tambahan. Melalui kemahiran itu, ia boleh digunakan sebagai menjana pendapatan.

“Dalam masa sama ada juga yang melakukan dua hingga empat kerja sehari. Ya, memang itu terdapat dalam strategi pengurusan iaitu pertama, kurangkan perbelanjaan dan kedua, perlu fikir bagaimana kaedah strategi untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Jelasnya, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan terutama untuk menggalakkan rakyat terlibat dalam ekonomi gig, perniagaan digital dan e-dagang, membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat.

BIJAK URUS KEWANGAN

Bebanan hutang M40 jika tiada pelarasan kewangan dibimbangi memberi tekanan dan menjejaskan kelangsungan hidup kumpulan itu.

Namun beliau menasihati agar tidak melibatkan diri dengan meminjam daripada pinjaman wang tanpa lesen atau membuat pelaburan cepat kaya apabila terdesak.

“Meminjam wang daripada ah long sebagai melunaskan bayaran hutang atau tersepit dengan masalah kewangan.

Walaupun ia merupakan jalan mudah untuk mendapatkan wang segera, tetapi ia memberi kesan jangka masa panjang kepada keluarga.

“Perlu ingat, ketika ini juga ada yang akan mengambil kesempatan menawarkan pelbagai bentuk skim pelaburan cepat kaya.

“Saya selalu cakap, mana ada orang cepat kaya, cepat kayap adalah. Orang terdesak akan bersetuju walhal skim itu tipu dan tidak betul.

“Terbaharu, orang sibuk melabur dalam mata wang digital malah kita juga sibuk belajar tentang itu. Tetapi jika tiada ilmu, akhirnya merugikan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks sekarang yang mencabar, setiap individu perlu berkorban untuk masa depan yang lebih selesa iaitu sentiasa kreatif, inovatif, reda dan positif.

“Paling penting lakukan pelarasan kewangan dan jangan berada dalam kelompok yang selesa demi kebaikan diri dan keluarga,” katanya.

Secara peribadi Mohamad Fazli melahirkan harapan agar peluang pekerjaan terus diwujudkan untuk kelangsungan rakyat.

Inisiatif dan bantuan kepada sektor ekonomi gig atau digital ekonomi perlu diberi perhatian dan peruntukan sesuai kerana ia dilihat antara pemangkin kepada pemulihan dan perkembangan ekonomi negara masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×