Pantai selamat pikat penyu bertelur - Utusan Malaysia

Pantai selamat pikat penyu bertelur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi pantai yang kurang dikunjungi oleh orang ramai semenjak pandemik Covid-19 menjadi faktor utama penyu kembali bertelur di kawasan berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli yang mengulas mengenai video tular seekor penyu Agar yang mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, kurang aktiviti masyarakat di kawasan pantai menjadi faktor penyu kembali bertelur.

Penyu yang bertelur itu berkemungkinan akan mendarat semula selepas 10 hingga 12 hari di pantai yang sama.

“Penyu akan bertelur secara purata lima kali ketika musim bertelur dan ia akan kembali bertelur di pantai yang sama setiap dua hingga tiga tahun,” katanya.

DR. MOHD. UZAIR RUSLI

Tambahnya, spesies penyu berkenaan adalah populasi yang paling banyak bertelur di kawasan pantai negeri itu.

“Memandangkan negara masih lagi dilanda pandemik, aktiviti atau kegiatan luar kurang dianjurkan di kawasan pantai.

“Ini mewujudkan situasi selamat bagi penyu untuk bertelur tanpa sebarang gangguan atau ancaman.

“Penyu mula mencari kawasan bertelur seawal pukul 3 petang lagi. Ini bukti bahawa jika kita jaga pantai dan jadikan kawasan tersebut ‘mesra penyu’, tidak mustahil penyu akan naik sepanjang 245 kilometer (KM) pantai di negeri ini,” ujarnya lagi.

Penambahbaikan pesisir pantai suatu keperluan

Dalam pada itu, Dr. Uzair yang juga Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran optimis pendaratan penyu akan semakin bertambah sekiranya beberapa penambahbaikan dilakukan di pesisir pantai.

Antaranya ialah usaha seperti mengurangkan pencahayaan terus ke pantai serta penanaman pokok.

“Kita perlu tambah baik pantai kita seperti mengurangkan pencahayaan terus ke pantai.

“Limpahan cahaya perlu ditutup supaya tidak boleh dilihat dari arah laut. Tukar pencahayaan kepada lampu berwarna merah kerana penyu kurang sensitif dengan gelombang cahaya ini.

“Seterusnya, saya mencadangkan agar pihak berkaitan mempertimbangkan untuk menanam pokok renek di sepanjang pantai, contohnya pokok merambong yang didapati sesuai untuk melindungi penyu ketika aktiviti persarangan,” katanya memberi cadangan.

Suasana pantai lengang dan kurang dikunjungi orang ramai menarik penyu untuk bertelur dengan lebih selesa. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Menaikkan papan tanda pemberitahuan awam bagi mendidik pengunjung pantai berkaitan aktiviti yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika beriadah di kawasan pantai juga antara kaedah boleh dilakukan dalam menarik pantasi menjadi sebagai persarangan penyu.

Dalam perkembangan sama, Dr. Uzair turut bersedia menawarkan kerjasama dalam bentuk kolaborasi pemindahan ilmu.

Katanya, UMT bersedia menawarkan latihan kepada mana-mana organisasi atau individu yang berminat untuk turut serta dalam usaha ini.

“Terbaharu kami menerima pelawaan dari Pasukan Pengakap Kelana C, Kuala Terengganu yang bersedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Perikanan melakukan aktiviti pemantauan secara berkala.

“Seeloknya dari komuniti setempat untuk berganding bahu bersama memelihara pantai dan memantau aktiviti persarangan penyu ini,” jelasnya lagi.

Spesies penyu Agar yang sering bertelur di kawasan pantai Kuala Terengganu.

Dr. Uzair turut menegaskan, semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan spesies terancam itu terus kekal mendarat di pantai-pantai dalam negara.

Lantaran itu, usaha mendidik terutamanya dalam komuniti pesisir pantai perlu dipertingkatkan.

Dalam masa sama kerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan badan-badan lain perlu diteruskan.

Katanya, sekurang-kurangnya, komuniti perlu diberi pencerahan dan perkara asas supaya tidak mengganggu penyu yang hendak naik bertelur.

“Usaha penyebaran maklumat berkaitan penyu itu perlu sebagai ilmu luar kelas supaya setiap tindak tanduk masyarakat tidak menjadi ancaman kepada penyu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN