PETALING JAYA: Penyanyi versatil, Nadeera Zaini, kini tampil melahirkan single terbaharunya berjudul Panah yang telah dilancarkan pada 1 Oktober lalu.
Sehubungan itu, juara program realiti Lagu Cinta Kita Musim Ke 2 ini memaklumkan Panah merupakan single keempatnya.
Seterusnya, gubahan lirik lagu berkenaan adalah daripada pengacara dan penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya dan penyanyi itu sendiri serta sentuhan komposer terkenal tanah air, Sharon Paul.
“Panah mengisahkan tentang seorang gadis dipermainkan oleh teman lelakinya dan membuatkannya patah hati!
“Bak kata pepatah, cinta sejati dilihat dalam tindakan bukan hanya melalui kata-kata.
“Oleh itu, dalam korus tersebut menyatakan bahawa dia menyedari itu adalah cinta palsu dan tidak mahu terus hanyut dalam jerat percintaan lagi,” kongsinya mengenai Panah menerusi kenyataan.
Sekadar informasi, Nadeera memulakan langkah pertama beliau dalam industri muzik melalui rancangan realiti televisyen, Vokal Bukan Sekadar Rupa Musim ke 2 (2012) dan menyertai Mentor Legend pada tahun 2014.
Kemudian, lagu Panah juga akhirnya terpilih menjadi salah satu runut bunyi bagi drama Kisah Cinta Kita, hasil karya A.Aida Production untuk slot Akasia di TV3menjelang bulan November ini.









