Nabi SAW rahmat yang dianugerahkan - Utusan Malaysia

Nabi SAW rahmat yang dianugerahkan

Para malaikat bertebaran meraikan kelahiran rasul akhir zaman ini. Namun kita sebagai manusia yang diberi akal dan iman, kitalah yang selayaknya meraikan kehadiran dan kelahiran Baginda SAW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Menjelang 12 Rabiulawal, seluruh umat Islam daripada segenap pelosok dunia pasti akan bergembira dan berseronok. Manakan tidak, ia adalah hari ulang tahun kelahiran seorang insan yang sangat agung dan mulia.

Bahkan insan tersebut menjadi rahmat dan petunjuk seluruh alam sama ada manusia, jin dan hidupan yang lain. Rasulullah SAW, kekasih Tuhan yang dinantikan kelahirannya. Cahaya memancar saat baginda SAW jejak ke bumi sebagai tanda telah datang rahmat dan hidayah bagi alam raya.

Kehidupan baginda SAW bukan sekadar menyampaikan wahyu Tuhan seperti yang disangka oleh sebahagian orang, yang memandang baginda sebagai posmen yang membawa risalah. Selesai tugas, maka tiada apa lagi yang boleh diambil manfaat dari posmen itu.

Namun, tidak bagi Rasulullah SAW yang kehadiran dan pemergian baginda tetap memberi manfaat yang besar buat umat di akhir zaman ini.

Setiap langkah dan gerak, kejap dan diam baginda SAW semuanya menjadi contoh yang bermakna buat umat akhir zaman.

Tiadalah sesuatu yang dilakukan oleh Nabi SAW itu sia-sia melainkan ia adalah sunnah yang menjadi suri tauladan untuk umatnya. Baginda juga adalah rahmat yang dinantikan oleh umat ini untuk berdepan dengan zaman yang serba mencabar.

Setiap sunnah dan tauladan yang dilakukan sepanjang kehidupan baginda menjadikan kehidupan kita lebih terpimpin dan terpandu dengan syariat yang dibawa oleh baginda.

Ini dijelaskan Allah SWT menerusi firman di dalam kitab-Nya yang agung: Tidaklah Kami (Allah) mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’: 107)

Diutus Rasulullah SAW kepada kita adalah hadiah yang tiada tolok bandingnya. Suatu nikmat dan anugerah yang besar buat ummah ini kerana Nabi SAW adalah kunci bagi kehidupan di akhir zaman.

Bayangkan jika kita tidak mengenali Rasulullah SAW sepanjang kehidupan, pasti kita tidak beriman kepada Allah SWT dan hidup dengan kekufuran.

Jika tidak diutuskan kepada kita seorang rasul sebagai pedoman dan ikutan, pasti berlaku bermacam-macam kerosakan dan kemungkaran yang akan berlaku tanpa disekat penularannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya telah dianugerahi Allah kepada orang mukmin, seorang rasul yang dibangkitkan dalam kalangan mereka, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, dan yang menyucikan mereka (daripada dosa) dan mengajarkan mereka Kitab dan hikmah (sunnah kehidupan), dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Rasul) itu, mereka berada dalam kesesatan yang nyata. (ali-Imran: 164)

Lihatlah betapa besarnya anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada kita, untuk kita jadikan panduan dan tauladan sepanjang kehidupan.

Allah SWT saat menurunkan wahyu seperti yang dinyatakan di atas, menggunakan kalimah Minnah yang membawa maksud suatu anugerah yang tidak dapat dibalas walau dengan apa jua sekalipun.

Ditegaskan sekali lagi, betapa besarnya anugerah yang dikirim Allah SWT ini. Bahkan Nabi SAW mengisytiharkan diri baginda sebagai rahmat yang dihadiahkan oleh Allah kepada kita semua.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah buat kalian). (Riwayat at-Tabrani).

Anugerah daripada Tuhan inilah yang ditunggu-tunggu oleh sekalian makhluk di muka bumi. Beburung menari-nari meraikan kehadiran baginda, gunung-ganang dan langit mula berbangga-bangga dengan kedatangan rasul akhir zaman ini.

Para malaikat bertebaran meraikan kelahiran sang rasul akhir zaman ini. Namun kita sebagai manusia yang diberi akal dan imanlah yang selayaknya meraikan kehadiran dan kelahiran baginda SAW.

Setiap syariat yang diajar baginda merupakan pedoman yang akan menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Jika ditinjau dalam kalangan masyarakat kita sekarang, sunnah Rasul SAW semakin lama semakin pudar dan hampir tidak diikut dalam kehidupan seharian kita.

Budaya hedonisme (melampau dalam hiburan), pemikiran yang songsang dan bebas seperti liberalisme, pluralisme dan bermacam-macam lagi, saban hari meracuni jiwa dan akal masyarakat kita.

Semua ini berlaku apabila kurangnya kesedaran sebagai umat kepada rasul yang agung, Nabi Muhammad SAW yang banyak mengajar kita sunnah-sunnah kehidupan.

Kurangnya pendedahan perihal sirah kehidupan Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga juga menjadi salah satu faktor anak muda kita terdedah kepada hal-hal yang mungkar.

Sedangkan di zaman baginda, para pemuda menjadi benteng kukuh yang mempertahankan baginda daripada tindakan jahat kaum musyrikin Mekah.

Lihat sahaja Saidina Ali Abi Thalib, Amru al-As, Usamah Bin Zaid, Anas Bin Malik, Zaid bin Harithah dan ribuan sahabat daripada kalangan anak muda yang sentiasa mendokong dan menjunjung perjuangan Rasulullah SAW.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik. Ia seperti yang tercatat dalam sirah Rasulullah SAW kerana anak-anak akan mengadaptasi setiap tindakan ibu bapa sepanjang hidup bersama.

Jika ibu bapa tidak mempamerkan akhlak Rasulullah SAW di dalam rumah, bagaimana anak-anak boleh mengenal sosok agung Nabi SAW?

Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku…… (Riwayat Tirmidzi)

Baginda adalah contoh terbaik untuk diikuti oleh setiap insan. Sifat-sifat baginda seperti yang Allah rakamkan dalam al-Quran: Maka disebabkan rahmat Allah, engkau (Muhammad) bersikap lemah-lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar dan hati keras, nescaya mereka berpaling darimu… (ali-Imran: 159)

Rahmat inilah menjadi harapan buat ummah ini apatah lagi di zaman yang penuh pancaroba.

* HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID, PENGERUSI YAYASAN AR-RIAYAH

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×