Masjid kubah biru terlalu indah untuk tak diendah - Utusan Malaysia

Masjid kubah biru terlalu indah untuk tak diendah

Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Tumpat yang dibuka sejak Mei lalu mempunyai keluasan 27,000 kaki persegi mampu memuatkan 3,000 jemaah dalam satu-satu masa. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dalam perjalanan ke Pekan Pengkalan Kubor di Tumpat, luangkan masa untuk menoleh ke sebelah kanan jalan, kira-kira 100 meter selepas anda melalui persimpangan lampu isyarat di Kampung Kubang Batang.

Di situ, tersergam bangunan bertatah jubin tona warna bumi keemasan dan berpayungkan kubah biru kehijauan yang mampu membuat sesiapapun terpegun selain sekurang-kurangnya menoleh sekali lagi.

Masjid Ar-Rahman Kubang Batang terlalu indah untuk tidak diendah. Selain mempesona, kewujudannya ibarat simbol terbaharu keagungan syiar Islam di Kelantan, sekali gus menjadi kebangggaan penduduk tempatan.

Popularitinya bahkan dikhabarkan melonjak mendadak selepas rentas negeri dibenarkan. Dalam tempoh sebulan ini, ia menjadi sebutan dan dianggap mercu tanda paling menonjol di negeri ini selain Masjid Razaleigh di Gua Musang.

Masjid Ar-Rahman Kubang Batang dibuka kepada orang ramai sejak Mei lalu. Ia mempunyai keluasan 27,000 kaki persegi atau 2,508 meter persegi dan mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah dalam satu-satu masa.

LAMPU chandelier gergasi di siling ruang solat utama diilhamkan daripada corak geometri Masjid-Katedral Cordoba di Sepanyol.

Di samping menjadi rumah Allah dan pusat komuniti Mukim Kubang Batang, masjid ikonik tersebut turut menempatkan sebuah pusat tahfiz selain menawarkan kemudahan homestay kepada orang awam.

Setiausaha Masjid Ar-Rahman Kubang Batang, Daud Sulaiman memberitahu Utusan Malaysia, pembinaan masjid itu mengambil masa agak panjang, iaitu selama lima tahun dengan kos keseluruhan RM18.5 juta.

“Ia dibina menggantikan Masjid Mukim Kubang Batang sedia ada yang sudah tidak mampu menampung pertambahan bilangan jemaah terutama ketika solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

“Masjid ini asalnya Surau Mukim Cenderung Batu yang dibina pada 1954 sebelum dinaik taraf menjadi masjid pada 1976. Pada 1983, binaan kayunya digantikan kepada binaan konkrit dan pada 2016, kita gantikan kepada bangunan yang baharu ini.

“Pembinaannya bermula pada Jun 2016 dan siap pada Mei 2021, menggunakan dana dicari sendiri merangkumi sumbangan pelbagai agensi negeri dan pusat, orang ramai serta hamba Allah yang dermawan,” katanya.

AMBIL MASA LIMA TAHUN

Daud turut menjelaskan, projek itu mengambil masa sehingga lima tahun untuk disiapkan kerana dirancang penuh teliti selain melibatkan kerja-kerja tangan yang rumit bagi memastikan objektif pembinaannya tercapai.

“Di samping memenuhi keperluan pertambahan jemaah, kami ingin melihat masjid baharu ini muncul sebagai satu lagi lokasi tumpuan di Tumpat, selain Pekan Pengkalan Kubor, Pantai Sri Tujuh serta Wat Buddha,” katanya.

Sementara itu, arkitek yang mengetuai projek pembinaan tersebut, Kamal Salleh memberitahu, reka bentuk Masjid Ar-Rahman diinspirasi daripada gabungan seni bina tempatan dengan Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidilharam di Mekah.

“Keindahan seni corak geometri Masjid-Katedral Cordoba di Sepanyol pula dijadikan inspirasi di bahagian kemasan dan hiasan dalaman, termasuk rekaan sebuah lampu chandelier gergasi di siling ruang solat utama.

“Memandangkan kerja seninya yang halus dan rumit, kami mengambil keputusan menggunakan khidmat tukang ukir dari Uzbekistan.

“Dia dibawa berkampung di sini sehinggalah kerja-kerja ukiran siap,” katanya.

Reka bentuk Masjid Ar-Rahman diilhamkan daripada gabungan seni bina tempatan, Masjid Nabawi, Masjidilharam dan Masjid Cordoba.

Kamal menambah, selain keindahan reka bentuk luaran dan dalamannya, Masjid Ar-Rahman Kubang Batang juga unik dalam aspek pembinaan apabila setiap komponen dihasilkan menggunakan konsep in-situ construction.

“Ini bermaksud, tidak ada satu pun bahagian masjid ini seperti menara, kubah, pagar, cermin termasuk hiasan dalaman dibeli atau dihasilkan di tempat lain. Sebaliknya dirancang, direka bentuk dan dibuat terus di masjid.

“Setiap bahagian masjid juga mempunyai perlambangan tersendiri.

“Sebagai contoh, lima kubah utama melambangkan lima rukun Islam manakala empat kubah kecil pada menara yang mengelilingi kubah utama pula melambangkan empat mazhab dalam Islam,” katanya.

Bagi memastikan identiti Kelantan dapat ditonjolkan kata Kamal, lambang bendera negeri ini berada hampir di setiap hiasan dalaman Masjid Ar-Rahman Kubang Batang termasuk mimbar utamanya.

“Satu lagi fakta ramai yang tidak tahu, pendekatan jawatankuasa masjid menguruskan sendiri semua kerja seperti merancang, mereka bentuk, mencari bahan dan mengupah tukang, walaupun mengambil masa panjang berjaya menjimatkan kos pembinaan.

“Pihak pengurusan membelanjakan RM18.5 juta untuk menyiapkannya, berbanding RM27.5 juta kos asal pembinaan Masjid Ar-Rahman jika menggunakan kontrak yang disarankan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN