Semester baharu telah mula membuka tirai bagi semua mahasiswa seluruh negara.
Meskipun sesi persekolahan sudah mula dibuat secara bersemuka dan berperingkat sejak 4 Oktober lepas, ia berbeza bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana masih perlu menghadiri kelas secara dalam talian.
Mahasiswa berkongsi persiapan serta perkembangan terkini kelas dalam talian mereka.
PERKEMBANGAN KELAS DALAM TALIAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia Nor Aniza Omar dari Universiti Utara Malaysia berkata, memandangkan semester baru sahaja bermula, mereka masih dalam tempoh suai kenal bersama rakan dan pensyarah menerangkan silibus yang akan dipelajari untuk setiap kelas.
“Saya baru sahaja mula semester baharu dan hadir ke kelas dalam talian seperti biasa, buat masa ini kami masih belum memulakan sesi pembelajaran mengikut setiap silibus serta pemberian tugasan juga masih belum dimulai,” kongsinya.
Turut berkongsi pengalaman serupa, Al Allysha Alkhadi dari Universiti Sains Islam Malaysia berkata, sesi perkuliahan baru sahaja bermula, namun memandangkan ia sudah dijalankan sejak setahun lalu, jadual pembelajaran yang ditetapkan lebih sistematik dan sesuai dengan masa pelajar dan pensyarah.
“Bagi jurusan saya iaitu Bioteknologi Makanan, terdapat subjek yang memerlukan sesi makmal tetapi pihak fakulti telah mengeluarkan kenyataan dengan lebih awal agar sesi tersebut dijalankan sepenuhnya secara atas talian,” katanya.
Manakala, Nurul Najwa Mohammad Fuzzee dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengekspresi perasaan terujanya untuk memulakan kelas dalam talian berikutan baru mula menyambung pengajian di peringkat ijazah dan baru selesai menghadiri Minggu Destini Siswa (MDS) iaitu minggu suai kenal.
“Kelas dalam talian saya bermula 11 Oktober ini, memandangkan ini pengalaman pertama saya, perasaan gementar itu ada kerana saya tidak pernah mengikuti kelas dalam talian sebelum ini, namun saya juga agak teruja dan sudah membeli Komputer riba baharu serta membuat sedikit dekorasi bagi ruang belajar saya agar saya berasa semangat,” katanya teruja.
Sementara itu, Nurzakirah Ghazali dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata proses pembelajaran atas talian berjalan dengan lancar dan baik buat masa ini kerana ia mengikut sukatan pengajian ditetapkan oleh pihak universiti.
“Saya dapat menyesuaikan diri dengan pengajian berbentuk kuliah alam maya berikutan sudah menghadapi pembelajaran tersebut selama tiga semester. Sepanjang pembelajaran atas talian ini saya tidak menghadapi sebarang masalah dan kekangan yang menyebabkan tidak dapat menghadiri kelas,” kongsinya.
HARAPAN
Pelajar kewangan dan perbankan islam, Aniza berkata dia mengharapkan agar semester ini lebih sistematik dan dapat memberi ruang kepada pelajar untuk tidak menghadap gajet yang digunakan untuk kelas dan tugasan dengan terlalu lama agar kesihatan tubuh badan dan mental dapat dijaga.
“Saya juga sangat berharap agar pada masa akan datang setiap pelajar universiti dapat pulang ke kampus dan belajar secara bersemuka seperti sebelum ini kerana pada saya kaedah pembelajaran secara bersemuka adalah lebih efektif berbanding secara dalam talian,” luahnya.
Sementara itu, Allysha berkata dia berasa penat fizikal dan mental akibat berada terlalu lama di hadapan komputer riba sekaligus menjelaskan, tugasan lebih bertambah dari sebelum ini bagi menilai dan menguji tahap kefahaman seseorang pelajar berkenaan subjek tersebut.
“Harapan saya semoga pihak kementerian menyediakan garis panduan lebih jelas untuk pembukaan semula IPT agar pembelajaran dapat dilakukan sepenuhnya secara bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di samping memastikan mahasiswa dan kakitangan IPT sudah mendapat vaksinasi lengkap,” katanya.
Menyatakan perkara sama, pelajar pendidikan ekonomi rumah tangga, Nurzakirah berkata pelaksanaan pembelajaran secara atas talian bukan sahaja memberi kesan baik kepada pelajar IPT malahan terdapat juga kesan buruk iaitu tekanan.
“Saya berharap agar mahasiswa boleh menyesuaikan diri dalam keadaan belajar secara dalam talian kerana ia wajar diteruskan sekiranya kes penularan pandemik Covid-19 masih tinggi, namun jika ianya melibatkan kursus kritikal, amat wajar untuk pembelajaran secara bersemuka,” kongsinya.
Manakala bagi pelajar perniagaan kewangan, Najwa berkata sebagai pelajar baharu, dia mengharapkan agar kelas secara bersemuka dapat dijalankan kerana perlu menyesuaikan diri dan perlu bimbingan dari pensyarah.
“Sebagai pelajar baharu, kaedah pembelajaran secara bersemuka itu lebih efektif kerana saya boleh bertanya secara terus dan mendengar jawapan serta penerangan lanjut dari pensyarah berbanding secara dalam talian. Oleh itu, saya berharap agar kaedah belajar secara bersemuka dapat segara dilaksanakan,” katanya.










