Langkawi, The Danna dan memori - Utusan Malaysia

Langkawi, The Danna dan memori

Princess Beach Villa ini menjanjikan memori penginapan yang indah belaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI bukan kali pertama saya ke Langkawi. Jika dihitung, mungkin lebih empat kali. Tetapi kali ini berbeza.

Meraikan ulang tahun pertama perkahwinan sekali gus merehatkan minda daripada bebanan kerja. Nama pun bercuti kan?

Perjalanan kami lancar. Baik di lapangan terbang sehingga menjejakkan kaki ke pulau legenda itu. Norma baharu bukan sesuatu yang asing. Ketika saya ke Langkawi, kami masih perlu menjalani ujian calitan. Tetapi segala prosedur lancar.

Sampai di Langkawi, saya terus mendaftar masuk ke hotel pilihan, The Danna.

Izinkan saya mengambil masa sebentar untuk menarik nafas. Untuk apa? Kerana pengalaman menginap di The Danna adalah antara memori percutian yang cukup manis!

The Danna Langkawi

Kami disambut mesra dengan senyuman. Perkara pertama, mestilah check-in MySejahtera.

Sementara menunggu urusan pendaftaran selesai, kami dihidangkan minuman istimewa cukup menyegarkan. Ikut hati mahu sahaja tambah lagi, tapi malu.

Tidak cukup itu, kami juga sempat menerima urutan bahu percuma selama tiga minit. Penat menunggu penerbangan yang dilewatkan dua jam hilang begitu sahaja. Itu antara servis istimewa yang diberi oleh hotel lima bintang itu.

Melangkah ke dalam bilik hotel, sekali lagi kami terpesona. Rekaan dalaman yang berkonsepkan British dengan sentuhan Melayu cukup menarik. Malah, melangkah sahaja biru lautan sudah terbentang luas di depan mata. Nikmat Tuhan yang cukup indah.

Tidak membuang masa, kami mengambil peluang untuk berjalan-jalan sekitar hotel. Menawarkan harga sepadan indah pengalaman, The Danna semestinya perlu menjadi antara hotel wajib tidur jika anda ke Langkawi. Tidak ada alasan lain!

Antara fasiliti menarik yang ditawarkan The Danna adalah kolam mandi terbesar di pulau legenda itu. Sebelum ini, saya difahamkan ramai perenang yang menginap di The Danna untuk berlatih.

Dengan pemandangan laut biru dan angin yang sepoi-sepoi menyentuh pipi, hati juga tenang mendengar bunyi desir pantai yang cukup dirindukan.

Kita sudah lama ‘terkurung’, tiba masa untuk menikmati keindahan alam Tuhan. Pilihan yang tepat!

Penulis bersama isteri mengabadi kenangan di air terjun Temurun, antara lokasi yang menjadi tarikan utama pengunjung jika ke Langkawi.

TEMURUN, LAKSA IKAN SEKOQ

Itu cerita hari pertama. Hari kedua, seperti biasa kami bersarapan di hotel. Sajiannya bertaraf antarabangsa. Tak perlu risau kerana prosedur operasi standard (SOP) yang dipraktikan cukup teliti.

Semuanya tersusun dalam norma baharu.

Usai menjamu selera, kami bergerak ke air terjun Temurun. Tiada perkataan mampu saya ungkapkan apabila melihat ciptaan Tuhan yang cukup indah. Bunyi air terjun cukup mengasyikkan.

Pengunjung juga tidak ramai.

Barangkali kerana percutian kami ketika hari bekerja. Jadi sesi mandi manda kami tenang ditemani kicau burung dan beberapa pengunjung lain yang riuh ramahnya. Ini kali pertama saya ke situ dan percayalah, Temurun akan menjadi lokasi wajib pergi juga.

Sesudah sesi menyejukkan badan, kami pulang ke The Danna untuk sesi pertukaran bilik. Orang kata, alang-alang bercuti kan. Kali ini, Princess Villa Beach menjadi pilihan. Kami dibawa menaiki buggy ke vila itu. Perasaan teruja segera hadir.

Melangkah sahaja ke laluan menuju vila, kami sudah seperti mahu ‘pengsan’ melihat keindahan vila tersebut. Seperti di Bali!

Dengan kolam peribadi dan deko bilik yang cukup mengasyikkan, sepertinya kami mahu terus sahaja menetap di situ.

Kalian tatap sahaja gambar yang dipaparkan atau boleh terus Google untuk menempah kerana percaya, anda tidak akan menyesal. Bayangkan, vila itu untuk anda sahaja. Menikmati percutian dengan yang tersayang, tanpa gangguan sesiapa.

Kami mengambil keputusan berehat sebelum keluar mencari makan petang. Semestinya, laksa ikan sekoq menanti. Rasanya tidak berubah, masih sama dan membuatkan kami berpuas hati. Makan laksa sambil tengok ombak menghempas pantai? Asyik!

JANJI DATANG LAGI

Hari ketiga. Terasa seperti pantas masa berjalan. Kami belum puas menikmati percutian indah terutama di The Danna ini. Masa yang singkat ini kami putuskan untuk berehat berdua sahaja. Apa guna bercuti di vila mewah jika singgahnya sekadar untuk tidur.

Kami sempat berenang pagi. Konon gaya orang kaya.

Menikmati suasana pantai ditemani makanan yang sempat dibeli malam tadi ketika berkunjung ke Pantai Cenang. Lupa pula mahu cerita kan? Kemeriahan Pantai Cenang masih sama, tetap ada ‘jiwa’.

PRINCESS Villa Beach dengan kemudahan kolam mandi peribadi pasti memikat penghuni  The Danna.

Cuma banyak kedai sudah ditutup, tetapi tidak banyak yang berubah. Di tepi pantai, banyak restoran baharu menyajikan pelbagai hidangan panas sebagai pilihan. Kami sempat duduk minum air kelapa di tepi pantai. Berbicara tentang masa depan, konon.

Itu kisah malam sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Tiga hari tidak cukup sebenarnya, jadi kami akan kembali lagi mungkin untuk lima atau enam hari.

The Danna pasti akan menjadi pilihan sekali lagi. Satu destinasi penginapan yang serba mewah dan menenangkan.

Selain bilik dan vila yang bertaraf lima bintang, The Danna juga menawarkan pakej spa dan pelbagai fasiliti seperti bilik permainan, perpustakaan, bilik jagaan kanak-kanak dan gimnasium.

Selain bilik yang diinap kami, Viceroy Room dan Princess Beach Villa, The Danna turut menawarkan 125 bilik dan 10 vila mewah lain sebagai pilihan.

Dan tahukah anda, dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah menginap di The Danna? Ternyata ini percutian yang indah!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN