Jana pendapatan dengan replika bot - Utusan Malaysia

Jana pendapatan dengan replika bot

Mat Nor menunjukkan salah satu replika bot penambang dihasilkannya. -UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segalanya bermula ketika hanya duduk di tepi sungai melihat bot-bot kecil nelayan lalu kemudiannya cuba menghasilkan segala yang dilihat dengan menggunakan gabus pelambung pukat.

Setelah melihat percubaan itu berjaya, nelayan dari Kampung Bukit Gasing, Marang ini terus mencabar diri demi kepuasan sendiri dengan hasilkan replika bot daripada pelbagai jenis kayu yang sesuai.

Siapa sangka, aktiviti bagi mengisi waktu lapang itu akhirnya membolehkan Mat Nor Abu Bakar, 43, kini mampu menjana pendapatan sampingan lumayan hasil kreativitinya dalam bidang ukiran replikas bot nelayan.

Berkongsi kisah, bapa tiga anak ini berkata, dia tidak pernah mengikuti sebarang kursus seni ukiran sebaliknya hanya berbekalkan minat, kesungguhan serta anugerah bakat semula jadi dan menambah ilmu menerusi YouTube.

“Sejak remaja saya sudah turun ke laut menangkap ikan. Suatu hari, selepas pulang saya duduk berehat di tepi sungai dan melihat bot kecil nelayan lalu tiba-tiba timbul idea untuk cuba hasilkan bot seumpama itu.

“Tidak melengah masa dengan menggunakan gabus pelampung pukat, sebuah bot kecil siap dalam tempoh lebih kurang dua jam sahaja. Melihat ia terapung-apung di permukaan air timbul rasa seronok.

“Sejak itu, hari-hari berikutnya pantang ada masa terluang hobi saya akan hasilkan replika bot bersaiz kecil menggunakan kayu-kayu lembut yang mudah didapati sekitar kampung. Bot telah siap saya bawanya ke sungai,” katanya.

Kerja-kerja pembuatan replika bot dilakukan secara teliti kerana itu Mat Nor tidak boleh menjanjikan tempoh masa ia boleh disiapkan.

Menurut Mat Nor, seorang rakannya yang bekerja di pelantar minyak menzahirkan rasa minat dengan hasil seninya itu dan bertitik tolak daripada itu replika bot nelayan dihasilkan menjadi sumber pendapatan sampingan buatnya sekeluarga.

Permintaan yang menggalakkan terus diterima bukan sahaja dalam kalangan nelayan atau individu berkerja berkaitan laut tetapi juga pelbagai latar belakang termasuk ahli perniagaan dari luar Terengganu.

“Sehingga kini hampir 200 buah bot telah berjaya menarik perhatian peminat dengan harga bermula RM300 sehingga mencapai lebih RM3,000 sebuah bergantung kepada saiz, jenis bot dan aksesori digunakan.

“Terdapat hampir 10 jenis replika bot yang dihasilkan. Antaranya bot laut dalam, bot bubu, bot kecil, bot penampang, bot pukat tunda serta perahu besar bedor. Paling mendapat tempahan ialah bot laut dalam dan paling rumit untuk menghasilkannya.

“Saya tidak utamakan kuantiti sebaliknya meletakkan kualiti sebagai asas utama. Begitu juga dengan harga kerana hasil sesuatu seni adalah subjektif, nilainya berbeza bagi setiap individ atau bagi mereka yang menilainya,” ujarnya.

GUNA KAYU PULAI

Mengenai cara pembuatan replika bot, Mat Nor hanya melakukannya secara sambilan apabila ada masa lapang selepas pulang dari laut atau ketika musim tengkujuh.

Katanya, bot dihasilkan menggunakan kayu pulai yang boleh didapati di sekitar kampung itu mengambil masa satu hingga tiga bulan untuk disiapkan bergantung kepada jenis dan saiz.

“Saya lakukannya bersendirian di bengkel terletak hadapan rumah dan hanya akan tumpu sekiranya punyai masa lapang. Sesuatu hasil kerja yang melibatkan kreativiti juga perlu dilakukan dalam keadaan santai, tidak boleh tergesa-gesa.

“Kualiti ukiran pembuatan perkara paling saya pentingkan, sedaya-upaya saya akan cuba hasilkan replika yang rupa bentuknya sama dengan bot sebenar dari segenap aspek termasuk aksesori

“Selain dijadikan hiasan di rumah atau pameran, ada juga bot dihasilkan lengkap dengan enjin sebenar yang mampu mengharungi ombak dan dimainkan menggunakan alat kawalan jauh,” katanya.

Tambah nelayan kreatif ini lagi, dia akan membuat lakaran kasar atas kertas terlebih dahulu sebelum memulakannya pada kayu dan kemudiannya ditambah mengikut kesesuaian berdasarkan imaginasi sewaktu sedang jalankan kerja-kerja pembuatan.

“Proses awal ialah membuang kulit kayu sebelum disusuli kerja-kerja lain seperti mengukir, memahat, melicinkan kayu, mengecat dan menambah aksesori.

“Semuanya tidak boleh dilakukan sambil lewa sekiranya ingin hasilkan replika bot berkualiti.

“Membentuk ukiran antara proses paling sukar dan begitu memerlukan ketelitian dalam menghasilkan sesebuah replika bot kerana di situ terletaknya antara kunci utama nilai sebuah kesenian,” ujar Mat Nor.

Antara replika bot dihasilkan Mat Nor hasil daripada minat dan kesungguhan tanpa pernah ikuti sebarang kursus.

Menyifatkan luka-luka jari terkena alatan tajam sering dialami sebagai asam garam, beliau berkata, kebanyakkan kerja-kerja pembuatan dilakukanya secara manual tanpa bantuan mesin kecuali ketam kayu.

Mat Nor memaklumkan dia tidak lakukan promosi secara menyeluruh berkaitan hasil kreativiti replika bot nelayan itu kerana khuatir tidak dapat penuhi permintaan selain tidak mahu pelanggan menunggu terlalu lama.

“Saya ambil masa panjang bagi siapkan sesebuah bot, jadi tidak boleh janji tarikh dapat disiapkan.

“Kalau pelanggan sanggup tunggu walaupun berapa lama, tidak mengapalah dan setelah siap saya akan hubungi mereka tanya sama ada masih berminat atau sebaliknya.

“Bagi saya duit bukannya tidak penting, tetapi dalam konteks ini kalau semata-mata mengejar kuantiti untuk berniaga produk dihasilkan mungkin boleh terjejas keseniannya. Kepuasan sebenar saya ialah kualiti.

“Nilai seni sebenar bukan terletak pada duit tetapi pada ketelitian kerja dihasilkan.

“Mungkin bagi sesetengah individu apa dilihat sudah cantik tetapi bagi orang yang biasa ke laut atau arif dalam pembuatan bot mereka melihat serta menilai dari sudut kehalusan,” katanya.

Ujar Mat Noor, dia tidak berhasrat menjadikan kemahiran dimilikinya itu sebagai sumber rezeki utama buatnya sekeluarga.

Sebaliknya beliau akan terus turun ke laut sebagai seorang nelayan dan berkreativiti jika ada masa lapang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN