Ayam Goreng Korea pedas, manis - Utusan Malaysia

Ayam Goreng Korea pedas, manis

Ayam Goreng Pedas Korea yang turut dikenali Yangnyeom Chicken antara menu kegilaan ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN Korea banyak menepati tekak atau selera rakyat Malaysia.

Ayam Goreng Pedas Korea atau Korean Spicy Fried Chicken yang turut dikenali sebagai Yangnyeom Chicken (Seasoned Fried Chicken), antara menu menjadi kegilaan ramai.

Ayam Goreng Pedas Korea ini adalah ayam bahagian kepak atau paha yang digoreng rangup kemudian disaluti dengan sos berperisa yang rasanya pedas-pedas manis apabila dimakan.

Taburan bijannya sudah pasti menambat selera. Jika di Korea, Yangnyeom Chicken ini disalut menggunakan pes Gochujang yang sangat pedas tetapi agak mahal.

Namun resipi yang dikongsi oleh Siti Fatimah Ahmad, 40, ini akan menggantikan sos Gochujang kepada Sos Korea yang dibuat sendiri (homemade). Rasanya masih sama, terasa pedas dan manis.

Ayam Goreng Pedas Korea sedap dimakan begitu sahaja tetapi lebih enak dinikmati panas-panas bersama kentang goreng, nasi mentega atau Spaghetti Aglio Olio.

SITI FATIMAH AHMAD

Bahan-bahan untuk ayam goreng:

500 gram atau 10 ketul kepak ayam
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 kiub ayam
1 senduk tepung Bestari

Cara-cara penyediaan ayam goreng:

1. Ayam bahagian kepak diperap dengan bawang putih, halia, kiub ayam dan tepung Bestari.
2. Perapkan sekurang-kurangnya 30 minit.
3. Sebelum menggoreng, salutkan ayam yang sudah diperap dengan sedikit tepung jagung dan goreng hingga garing.
4. Setelah masak, tos dan ketepikan.

Bahan-bahan Sos Korea:

10 tangkai cili kering – dikisar
1 labu bawang putih
2 biji bawang besar
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili Thai
2 sudu besar sos plum
2 sudu besar madu
2 sudu besar minyak bijan
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
Sedikit air
Sedikit bijan untuk ditabur (sebagai hiasan)
Garam dan gula secukup rasa

 

Cara-cara penyediaan sos Korea:

1. Panaskan sedikit minyak. Tumiskan cili kering bersama bawang besar dan putih hingga garing.
2. Kemudian masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram, sos cili Thai dan sos plum. Tambahkan air dan reneh sehingga sos masak.
3. Masukkan madu, minyak bijan dan serbuk lada hitam. Masak sehingga agak pekat. Perasakan dengan sedikit garam dan gula sebagai pelengkap (tidak perlu tambah garam dan gula jika sos sudah cukup rasa).
4. Salutkan atau gaul ayam yang digoreng tadi dengan Sos Korea yang telah dimasak dan taburkan bijan sebagai hiasan untuk tampak lebih menyelerakan.

Hidangan siap untuk dijamu. Selamat mencuba!

Nota: Seeloknya sos dimasak terlebih dahulu dan dibiarkan sejuk sebelum disalut dengan ayam goreng supaya ayam kekal rangup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN