Antara mengumpat, menjaga aib - Utusan Malaysia

Antara mengumpat, menjaga aib

Mendedahkan aib dilarang, namun bukan mutlak. Ada kalanya dibolehkan mengumpat bila ada sebab yang membenarkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Syariat Islam mempunyai lima hal penting yang wajib dilindungi dan dipelihara. Ini dinamakan maqasid syariah. Di antara maqasid syariah itu ialah menjaga maruah atau kehormatan, tidak boleh menodai maruah orang lain bahkan hukumnya haram.

Di antara kewajiban menjaga maruah ialah larangan untuk mengumpat, atau mendengarkan umpatan.

Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

Kebelakangan ini ramai yang membicarakan tentang aib seseorang bahkan mendedahkan di media sosial. Tujuannya memberitahu orang ramai agar berhati-hati dengan perbuatan orang itu.

Di sisi lain ramai juga yang menilai bahawa perbuatan itu adalah salah kerana dilihat sebagai perbuatan membuka dan mendedahkan aib, sementara perbuatan mendedahkan aib dilarang dalam syariat Islam.

Masyarakat jadi keliru antara menjaga aib atau mendedahkannya sebagai peringatan.

Sebenarnya kedua-nya adalah betul berdasarkan kondisi atau sebab yang membenarkan perbuatan mengumpat atau yang melarangnya.

Islam melarang mengumpat bila tiada sebab yang dibenarkan walaupun apa yang diumpatkan itu benar dan ada pada seorang yang diumpat.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Tahukah kamu apa itu mengumpat? Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. Rasulullah SAW menerangkan: “mengumpat itu ialah apabila saudara menyebut sesuatu berkenaan dengan orang lain yang ia tidak suka. Ada seorang yang bertanya: sekiranya orang itu memang begitu sifatnya? Rasulullah SAW menjawab: sekiranya ia memang begitu maka saudara telah mengumpatnya, tetapi sekiranya ia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan maka saudara telah memfitnahnya. (riwayat Muslim).

Oleh sebab itu, perbuatan mengumpat atau mendedahkan aib adalah sesuatu yang dilarang. Namun larangan ini bukan mutlak, ada kalanya dibolehkan mengumpat bila ada sebab yang membenarkannya.

DIBENARKAN MENGUMPAT

Mengumpat dibenarkan apabila ia bertujuan baik dalam pandangan agama dan terpaksa dilakukan. Ia merangkumi sebab-sebab berikut:

*Mengumpat orang yang zalim, orang yang dianiaya boleh mengadu kepada hakim atau pihak berkuasa lain yang mampu mengubah perbuatan zalim si pelaku.

*Mengumpat bagi meminta bantuan supaya mengubah perbuatan jahat seseorang agar dia balik ke pangkal jalan.
Contohnya mengatakan: si fulan melakukan begitu dan begini, tolong halang dia daripada meneruskannya. Tujuan memberitahu mestilah untuk menghentikan perbuatan dosa. Jika bukan itu tujuannya, hukumnya tetap haram.

*Mengumpat dalam keadaan meminta fatwa, iaitu bertanya berkenaan hukum-hakam agama.

Aisyah r.a meriwayatkan Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi Muhammmad SAW: “Abu Sufyan, lelaki yang kedekut, dia tidak memberi belanja yang cukup kepada saya dan anak-anak, kecuali saya ambil tanpa pengetahuannya. Nabi Muhammad SAW menjawab: “Puan, ambillah sekadar keperluan puan dan anak-anak dengan cara yang baik. (riwayat Bukhari dan Muslim).

*Mengumpat bagi mengingat dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap kejahatan seseorang. Ini termasuklah pendedahan sifat tidak elok para perawi hadis, para peniaga yang tidak jujur, sifat tidak amanah seseorang dan lain lain.

Diriwayatkan Fathimah binti Qais berjumpa Rasulullah SAW dan berkata: Abu Jaham dan Mu’awiyah datang meminang saya, Rasulullah SAW pun berkata: Mu’awiyah itu miskin orangnya, tidak berharta, manakala Abu Jaham pula suka memukul. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

*Mengumpat orang yang terang-terang melakukan kejahatan, seperti orang yang minum arak secara terbuka, lintah darat atau mengeluarkan perintah melakukan perkara jahat dan sebagainya.

*Memperkenalkan seseorang yang memang dikenali dengan nama tertentu seperti “Si Rabun”, “Si Tempang”, “Si Pekak” dan lain-lain.

Namun begitu, ia bukan bertujuan merendahkan atau menghina. Jika itu maksudnya maka berdosalah ia. Walau bagaimanapun lebih elok diperkenalkan dengan nama yang lebih baik.

Selain daripada itu tidak boleh mendedahkan aib orang lain, lebih-lebih lagi melalui media sosial. Ini kerana setiap orang tidak terlepas daripada kekurangan dan kesilapan. Maka tiada seorangpun melainkan ia mempunyai aib.

Perbuatan pendedahan aib tanpa sebarang tujuan yang dibolehkan dalam agama adalah satu pelecehan kepada maruah seseorang.

Bahkan memalukannya di hadapan awam sehingga menyebabkan keresahan di tengah-tengah masyarakat.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (al-Nur: 19)

 

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID, PENGERUSI YAYASAN AR-RI’AYAH
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×