KEPELBAGAIAN yang ditonjolkan dalam senarai 200 lagu terbaik Anugerah Lagu Indie (ALI) 2021 cukup membuktikan kemewahan karya dalam industri muzik Malaysia.
Dari genre popular seperti hip hop, pop rock dan pop balada sehingga genre ekstrem seperti death metal dan hardcore; bak kata Elmi Elmo, semua ada!
Selain genre, ALI2021 turut menolak diskriminasi bahasa apabila menampilkan lagu dalam bahasa Tamil dan Jepun, selepas edisi sulungnya tahun lalu menampilkan lagu bahasa Iban dalam senarai 200 terbaiknya.
Rekod baharu penyertaan
Jika tahun lalu ALI mengutip 630 penyertaan, tahun ini rekod baharu dicatat dengan 757 lagu.
Daripada 200 lagu yang disenarai pendek, hanya 30 lagu layak ke peringkat separuh akhir berdasarkan tapisan 12 juri profesional termasuk Jennifer Thompson, Amylea Azizan, Amir Jahari, Kmy Kmo dan SXPH.
ALI2021 turut membuat kejutan dengan melonggarkan syarat penyertaan apabila artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman bukan major seperti Luncai Emas turut diterima bertanding.
Finalis kembali
Pemenang tempat kedua tahun lalu, Nusarasa tampil dengan lagu terbaharu mereka, Jauh. Begitu juga beberapa finalis tahun lalu seperti Bihzhu dengan Alive, Kapow (Helang dan Garuda) dan Servants (Hands In Mine).
Hasha Roslan pula tampil solo dengan dua lagu, Koma dan Emosi manakala rakan duetnya tahun lalu, Heidi Moru mempertaruhkan tiga karya kolaborasinya bersama Ruang Hati (Bingkai Rasa) dan KidiDaNoto (Janji dan Kangen).

Sementara itu, Ainina Hasnul kali ini berduet dengan satu lagi finalis tahun lalu, Teman Lelaki melalui lagu ciptaan Aziem Rashidi, Tentang Siang, Malam dan Romantis.
Dominasi Rap
Dijangka jumlah lagu rap di peringkat separuh akhir tahun ini bertambah drastik berdasarkan dominasi genre tersebut dalam senarai 200 terbaik. Tambahan lagi, tiga daripada 12 juri tahun ini adalah penyanyi rap iaitu Kmy Kmo, Luca Sickta dan SXPH.
Ternyata lapangan hip hop Malaysia tidak pernah ketandusan karya berkualiti. Tanpa nama besar seperti Joe Flizzow, K-Clique, Yonnyboi mahupun sensasi baharu, ForceParkBois, lagu-lagu hip hop yang tersenarai sudah cukup hebat.
Perhatian perlu diberi kepada Secto yang tampil dengan Bahtera; Lawalah Familia (1tojaga); Steff Fleur (To Whereever I Wanted dan If You Don’t Love Me Now); Munchie, Kamrul Hussin dan Bean Hafiz (Salam Serumpun) serta yang paling menarik, penyanyi rap Tamil, Arunboii (Enge Port).
Dijangka cemerlang
Selain nama-nama dalam genre hip hop di atas, beberapa penyanyi yang cemerlang tahun ini juga dijangka akan melepasi saringan ke separuh akhir.
Antaranya, Ramayan yang mempertaruhkan tiga lagu, Lamunan Anak Bulan, Puas dan Jakarta. Begitu juga rakan mereka dalam Luncai Emas iaitu Margasatwa (Yang Asli), Satwo (Untok Kita Hanya Kita) dan lagu yang diedarkan di bawah syarikat rakaman itu, Hujan Pasti Berhenti dendangan Mafidz.
Pasca Sini lebih cemerlang dengan empat lagu dalam senarai 200 terbaik iaitu Damansara City Lights, Kali Pertama, Recover dan Apa Yang Kau Mahu yang dinyanyikan bersama Saniy Wickweaky.
Begitu juga dengan nama baharu yang meninggalkan impak tersendiri dalam lapangan independen tahun ini iaitu Jemson (Antara Benua dan Nostalgia); Late Night Frequency (Fun Lust Love dan Ruang); Joyberry (Prospektor dan Selamanya); Alchemist (Babyrina); Motherwit (Amanah dan Thunder); BER_ menampilkan Leaism (Senja Temu Lelah) serta Kolar Hijau (Khayalan).
Melihat kecenderungan pertandingan lalu untuk mengangkat lagu berasaskan balada dan pop, Nawi Zharif (Dalam Gerimis Kita Keliling Kota), Amir Alif (Lover Boy), maddame… (The Vow) dan Night Skies & Visions (Luka dan Benci) juga dijangka berpeluang layak ke separuh akhir.











